Monday 19 August 2013

Bab 20



BAB 20

            Dik, jangan lupa tulis surat kat abang. Kalau boleh, hari-hari tau.” Cadang Iman yang kini turut sama menyertai abahnya menghantar Dayana dan Liana ke rumah anak-anak yatim.

 “Hmm… yalah tu. Banyaklah duit adik nak beli setem. Jangan nak mengada-ngadalah bang.” Jawab Dayana.

“Tak kira, tulis juga. Kalau tak abang akan rindu kat kau dik.” Balas Iman. Buat-buat merajuk.

 “Eh, eh. Kalau rindu, pergilah cari calon buah hati untuk abang kat luar sana tu. Cari yang cantik tau. Biar sepadan dengan sepupu adik yang segak bergaya ni.” Seloroh Dayana. Tak kuasa dia dengan keletah merenyam mamat ulat bulu tu.

“Hai, kenapa pula abang nak cari kat luar sana? Kan kat depan abang ni dah ada. Jadi, buat apalah abang nak penat-penat mencari. Cuma nak tunggu orang tu bagi lampu hijau je. Lama dah abang menanti dia tau,” balasnya. Senyuman manis tersimpul di bibir nipis yang berkumis di atasnya. 

Toing! Macam nak pengsan pula Dayana dibuatnya. Matanya dijulingkan ke atas. Malas Dayana mahu melayan mamat sengal itu. Geli-geleman dia sekarang.

“Ooo, kat sini rupanya korang ya. Tak habis-habis merendek. Tu, pak long panggil. Buat apa entah sampai aku panggil pun tak dengar kau ni dik.” Sergah Liana. Berbulu matanya melihat kemesraan Iman dan Dayana.

 “Amboi ni kau ni kak. Tak ada insuran agaknya mulut kau? Siapa yang nak merendek dengan abang kesayangan kau ni?” balas Dayana. Dia bingkas bangun dari kerusi lalu berlalu untuk mendapatkan pak longnya. Biarlah dia meninggalkan Liana berdua pula dengan mamat ulat bulu tu. 

“Kau layanlah dia kak. Abang pada segala ulat bulu tu. Jangan dengan kau sekali terasa miang nanti, sudahlah.” Bisik Dayana sambil tersenyum meleret. Kedua bahunya diangkat, digoyangkan sedikit, tanda geli. Yalah, kan kalau kena ulat bulu, kulit akan gatal-gatal  nanti.

“Ada apa-apa lagi ke yang adik nak? Meh pak long belikan. Ko janganlah segan nak beritahu apa-apa yang kurang nanti.” Bakri menawarkan bantuan yang kepada anak buahnya itu.

Dayana terasa sebak pula mendengar pak longnya berkata begitu. Macam dalam mimpi pun ada kerana dia  jarang mendapat perhatian sebegitu dari pak longnya. Alangkah bagusnya jika mak long juga melayaninya begitu. Dayana akan sentiasa mendoakan semoga mak longnya itu akan berubah satu hari nanti. Sejahat-jahat wanita itu, dia tetap emak saudaranya juga.

 “Ish kau ni dik. Abah tanya kau, sempat lagi kau sengih. Macam kerang busuk da. Adik..adik..” hampir terhambur gelaknya melihat telatah Dayana yang sedang mengelamun itu, sedikit terkejut dengan tegurannya.  

‘Hmm, aku ada sengih ke?’ bisik Dayana sambil menggaru kepalanya yang berlapikan tudung itu. Dia tersengih lagi dan kali ini dalam sedar pula. 

 “Tak apalah pak long. Rasanya semua dah cukup. Apa pun, terima kasih banyak-banyak ya pak long sebab sudi hantar kami kat sini.” Ucap Dayana sedikit sebak.

“Janganlah kata macam tu dik. Kitakan bersaudara. Walaupun Abang Eddy jarang bersembang dengan korang, arwah mak ngah sebenarnya rapat dengan kami. Kalau adik nak tahu, mak ngah banyak bagi nasihat pada abang. Kata mak ngah, hanya ilmulah harta yang paling berharga buat kita. Jadi, abang nak adik kakak, belajar bersungguh-sungguh.” Kata Zuraidi. Pesan mak ngah diturunkan kepada waris arwah. Dia kagum dengan semangat dan ketabahan hati kedua-dua gadis kembar itu.

 Insya Allah Abang Eddy. Pesanan tu akan selalu tersemat dalam kepala adik.”  Ya, dia berazam ingin menjadi yang terbaik seperti yang arwah mak harapkan. 

“Nah, ambillah buat belanja. Jangan segan dengan pak long kalau mahukan apa-apa ya. Hari pun dah petang, pak long beransur dulu. Jaga diri baik-baik. Ni, nombor telefon pak long. Jangan lupa bagitahu kalau nak apa-apa ya.” Pesan Bakri lagi sambil menghulurkan kad namanya.

Insya Allah pak long. Terima kasih ya pak long.” Ucap Dayana sekali lagi. Benar-benar dia rasa terharu.

 “Ingat adik, kakak. Jaga diri korang tau. Kalau ada apa-apa masalah, bagitau pak uda. Pak uda pun nak minta diri. Ni, ada duit belanja dari pak uda dan mak uda ko. Ambillah. Dekat nak raya nanti, pak uda datang jemput korang ya,” Pesan Zakaria kepada mereka berdua. Hanya dibalas dengan anggukkan oleh mereka. 

Dayana menyambut wang yang dihulurkan oleh pak uda lantas memasukkan ke dalam poket baju kurungnya. Dia menyalami mereka yang ada di situ. Dengan selamba badak airnya, Iman juga menghulurkan tangan. Terbeliak mata Dayana memandang ke arah lelaki itu. Serba salah jadinya dia, mahu sambut atau tidak? Di belakangnya lelaki itu pula kelihatan Zulaikha mengenyitkan mata pada Dayana. Zuraidi pula hanya menggelengkan kepala dan menepuk lembut bahu Iman yang sedang tersengih. 

“Cepatlah, lenguh dah tangan abang ni dik,” gesa Iman. Mana boleh dia lepaskan peluang ini. 

Dayana mendecit. Terpaksa juga dia menyambut tangan lelaki itu namun dengan pantas menarik kembali tangannya. Mana tidaknya, ringan sahaja tangannya di bawa ke bibir gatal mamat ulat bulu itu. Benar-benar tidak tahu malu mamat itu. Dayana melihat mak udanya mencubit lengan Iman sebaik menyedari perangai miang anak bujangnya itu. 

‘Hahaha, padan dengan muka mamat ulat bulu. Rasakan cubitan dari ‘bentara guru’!’ Dayana hanya ketawa di dalam hati.

 “Auww, sakitlah mak. Bukan Iman buat apa pun salam je, salah ke?” soal Iman sambil menyeringai kesakitan menahan bisa cubitan emaknya itu.

 ‘Ish, tak salah kata dia. Tak tahu ke dia ni bahawa antara kami, halal bernikah! Erk. Bermaksud, aku dengan dia boleh kahwin. K.A.H.W.I.N!’ getus Dayana. Tiba-tiba terasa meremang bulu romanya saat itu. Orang kata kalau meremang macam tu, ada  H.A.N.T.U! Hantu apa lagi, hantu ulat bulu itulah. 

            “Banyaklah ko punya tak salah. Merenyam je yang ko tahu. Ei, geramnya mak dengan ko nih. Dahlah dik. Ko jangan ambil hati dengan perangai Abang Iman ko nih. Nanti mak uda kahwinkan dia cepat-cepat. Biar merenyam dia tuh kurang sikit.” Tajam jelingan yang Salmah berikan kepada anak bujangnya itu. 

“Yang ni, memang adik setuju sangat mak uda.” Jawab Dayana sambil tersengih. 

            “Ish biar betul mak ni? Iman muda lagilah. Enjoy pun tak puas lagi. Lagipun, buat apa penat-penat nak cari calon isteri untuk Iman. Kan depan mak dah ada sorang cuma calon menantu mak tu tak cukup umur lagilah. Bawak-bawak bersabar sikitlah mak. Tak lari gunung yang dikejar. Kalau dia lari, kita tawan terus gunung tuh mak.” Seloroh Iman sambil mengenyitkan matanya kepada Dayana. 

‘Uwek, nak muntah aku. Ada juga yang kena cepuk nanti.” Rungut Dayana. Dia mencebik mulutnya ke arah lelaki itu.  

“Banyaklah ko punya loyar buruk. Dah, mak uda balik dulu dik. Jangan kau layankan sangat Abang Iman ko nih. Jom Iman.” Terus sahaja Salmah berlalu. Iman mengikut emaknya dari belakang. Sempat lagi dia menoleh lalu menghadiahkan satu flying kiss buat Dayana. Dayana pun apa lagi, dijelirkan lidahnya ke arah Iman. Mengada!

Dayana dan Liana melangkah masuk ke dalam bilik asrama yang akan menjadi tempat tinggal mereka sekarang. Deretan tujuh buah katil dua tingkat yang saling berhadapan di pandang silih berganti. Kosong bilik itu kerana penghuninya masih berada di sekolah. Mereka berjalan beriringan sedang di tangan masing-masing menjijit sebuah beg yang agak besar. 

            Kini, mereka sedang bersila di hadapan almari yang dikhaskan untuk mereka. kebetulan, terletak bersebelahan. Ligat tangan mereka berdua menyusun pakaian masing-masing. Liana secara tiba-tiba, tersedu-sedan. Dayana lekas-lekas memandangnya.

            “Kenapa kak?” soal Dayana. Dia juga turut ditempias dengan kesebakan Liana itu. Berair kedua matanya kini.

            “Aku rindukan mak dik. Aku rindu hidup kita yang dulu.” Balas Liana, tersekat-sekat.

            “Kak, kita kena sabar kak. Selagi kita hidup, selagi itulah kita akan diuji. Sekurang-kurangnya, kita ada juga tempat untuk berteduh kak. Bayangkan nasib orang lain yang lebih terseksa dari kita.” Pujuk Dayana. Dia menggosok bahu kiri Liana.

            Liana kehilangan kata-kata. Pantas dia menyeka air matanya. Hatinya dipujuk dengan kata-kata Dayana tadi. Ya, benar kata kembarnya itu. Mengapa perlu dia berkeluh kesah sedangkan nasib mereka berdua sangat baik. Dia cuba membuka pintu hatinya untuk menerima Dayana sebagai sahabat akrabnya walaupun mereka pasangan kembar.

            Tidak sedar pantasnya masa berlalu. Bilik itu kini penuh dengan penghuni lain yang telah pulang dari sekolah. Comel-comel belaka mereka semua. Ramah-tamah pula adik-adik di situ. Becok mulut masing-masing menemuramah mereka berdua. Seronok pula Dayana dan Liana melayan kerenah mereka hingga terlupa seketika kesedihan yang bertapa di hati mereka.

            “Hai, nama saya Nor Aniza. Semua orang panggil saya Iza. Saya ketua kat sini. Kalau tak salah, kita sebaya, kan?” dihulurkan tangannya untuk berjabat dengan penghuni baru itu. 

“Hai. Saya Lily Dayana dan itu kembar saya Lily Hasliana. Panggil je saya Yana dan kembar saya tu Liana. Selamat berkenalan.” Balas Dayana pula memperkenalkan dirinya

 “Yana, Liana. Selamat berkenalan ya. Nasib baik tak seiras awak berdua, kalau tidak mesti susah kami nak cam, kan. Legalah sikit saya dengan Marlia lepas ni. Sekarang dah ada empat orang ‘kakak’ kat sini. Letih juga saya dan Marlia nak melayan adik-adik yang lain sebelum ni.” Ujarnya lagi. 

“Hehehe... ada-ada ajelah awak ni Iza. Biasalah, budak-budak.” Balas Liana. Dia memang sukakan kanak-kanak.

Waktu berbuka kian menghampiri. Dayana dan Liana berada dalam barisan penghuni perempuan, menunggu giliran untuk mengambil makanan yang disediakan. Pertama kali merasakan pengalaman seperti itu, Dayana dan Liana saling berpandangan. Di tangan masing-masing pula sedang menatang sebuah tray makanan. Sesudah penuh tray mereka dengan makanan, mereka berlalu melintasi di hadapan sekumpulan penghuni lelaki. 

“Tu ke budak baru yang riuh satu asrama dibuatnya? Kenapa yang sorang tu cantik dan yang sorang lagi tu berlegam?” kata satu suara agak kuat. 

Dayana mengalihkan wajah memandang ke arah kelompok itu. Dia mengecilkan mata memandang mereka. Bibir bawahnya digigit, hatinya sedang menahan rasa geram.

“Apa tengok-tengok?” ujar mamat yang memakai baju melayu berwarna biru muda itu. Dayana memberikan satu jelingan yang sangat tajam sebagai balasan. 

‘Tak sayang mulut betul budak-budak kampung ni. Tak sedar ke sekarang ni bulan puasa? Ada juga mulut yang kena tonyoh dengan selipar aku ni nanti.’ Bisik Dayana. Dia memandang semula ke arah mereka yang mempamerkan senyuman yang amat menjengkelkannya. Senyuman yang terang dan nyata terkandung makna, mengejek.

            “Dah dik, tak payah kau layan diorang tu. Jom, aku dah chup tempat untuk kau.” Kata Liana menarik tangan Dayana yang mengikut dari belakang. Risau juga dia, kalau dibiarkan pasti akan tercetus perang mulut antara Dayana dengan kelompok penghuni lelaki itu. Dia tahu sangat akan perangai Dayana yang suka melawan dan membangkang sejak kebelakangan ini. 

Mereka mengambil tempat masing-masing. Mata Dayana masih enggan melepaskan pandangannya terhadap mamat yang bermulut celupar itu. Dari tadi dia melihat gelagat lelaki itu yang berbisik sesama mereka sambil menjeling ke arahnya, benar-benar memaksimakan rasa geramnya.

“Kalau kau nak tahu Liana, tu yang pakai baju melayu biru muda nama dia Farizal. Sebelah dia tu yang pakai baju melayu hijau terang pula nama dia Hamdi, yang pakai baju, bla..bla..bla…” satu persatu diperkenalkan oleh Marlia yang lebih senang mereka panggil Lia. 

Dayana menjulingkan matanya ke atas. Malas dia mahu melayan Liana dan sahabat barunya, Marlia. Sebenarnya, Dayana tengah anti gila dengan mamat yang memakai baju melayu biru muda dan hijau terang itu. Merekalah yang telah menuturkan dialog hingga hampir sahaja membuatkan Dayana menonyoh mereka dengan selipar Jepunnya. Kecil sahaja dia melihat mereka-mereka itu. Memang dia geram dengan kelancangan mulut mereka itu. Dayana tahu, dia tidaklah secantik mana pun. Apa, hina sangat ke orang yang berkulit gelap sepertinya? Adakah menjadi satu kehinaan jika dia tidak cantik? Dayana menarik nafas yang panjang dan melepaskan satu keluhan yang berat. Hatinya sedih apabila dihina sebegitu. Dia juga punyai perasaan.

Selesai sahaja berbuka puasa, mereka dikehendaki membasuh tray makanan dan gelas masing-masing. Memang itu yang dilatih jika sesiapa mendiami rumah seperti itu. Mereka juga perlu membasuh pakaian masing-masing. Setelah selesai semuanya, mereka  kembali ke bilik bagi menyiapkan segala keperluan untuk ke sekolah esok. Sekolah baru!  Hati Dayana terusik. Tiba-tiba dia teringatkan rakan-rakannya yang berada di Johor Bahru. Matanya mula mengalirkan air jernih yang suam. Pantas dia menyekanya.  

“Aku rindukan kalian.” rintihnya sendirian.


No comments: