Google+ Followers

Tuesday, 20 August 2013

Bab 22


BAB 22

Sudah dua minggu mereka menjadi penghuni di rumah kebajikan itu. Tidak sedar begitu pantas masa berlalu meninggalkan mereka yang sibuk menyesuaikan diri di sini. Masih tercari-cari rentak untuk menjadikan diri mereka sebahagian dari mereka di sini. Mereka berdua sahaja yang datang dari bandar. Kebanyakkan penghuni di sini datang dari kawasan sekitar dan kampung yang bersebelahan. 

Kadang-kadang, tidak terlayan oleh Dayana akan pandangan sinis penghuni lelaki tambahan pula yang sebaya terhadapnya. Sedaya upaya dia cuba berlagak tenang tetapi jauh di sudut hati rasa sedih menghuni. Rasa rendah diri semakin kuat mahu menjerutnya namun dia perlu merungkainya. Dia perlu bangkit, tidak mahu menjadi dirinya yang lama.

 Hampir saban malam, tidur Dayana bertemankan air mata. Merindui kehidupannya yang lalu penuh dengan suka dan duka bersama arwah emaknya. Walaupun kehidupan mereka susah, jelas mereka bahagia. Selang empat hari kin dia saling berutus surat dengan Azreena. Hari ini, surat ketiga dari Azreena dibaca.


Ke hadapan sahabatku Yana. Kau tahu Yana hanya Allah S.W.T saja yang tahu macam
mana aku rindukan kau. Banyak perkara yang berubah sejak kau takde kat sini.
Sunyilah rasa hidup aku dengan Sofia sekarang. Kalau kau nak tahu, sekarang aku duduk dengan Sofia. Bosan gila kami sejak kau takde ni. Rasa macam nak aje aku ikut kau pindah sekali. 

Kau tahu, Fahim selalu tanya aku pasal kau. Kadang-kadang, aku kesian sangat dengan dia.  Nak aje aku bagi alamat kau pada dia. Memandangkan aku ni dah berjanji
dengan kau, terpaksalah aku lupakan.  Dia dah jadi pendiam macam kau Yana sekarang ni.  Kalau kau nak tahu, banyak sajak yang dia cipta dan katanya  khas untuk orang yang dia sayang. Dah nama pun penyajak sekolahkan. Dahlah tu, semua sajak tentang cintan-cintun. Sabar jelah. Jeles kami dengan kau tau tak?

Sampai bila kau nak lari dari kenyataan Yana? Sampai bila kau nak menidakan
kehadiran dia dalam hati kau? Janganlah keras hati sangat. Aku tak tahu,
sampai bila aku mampu jaga amanah kau ni. Aku takut aku tewas dengan
pujuk rayunya Yana. Sahabatku, janganlah kau jadi seorang yang kejam. Aku
rindu pada sahabat lama aku yang lembut hatinya. Walau apa pun, hanya kau
yang tahu apa yang kau rasa. Kau fikirkanlan ya.

Aku bukan nak cerita pasal buah hati kau je. Ada berita gembira nak bagitau
pada kau ni.  Abang aku yang sulung nak kahwin cuti sekolah bulan lima nanti. 
Aku saja bagitau kau, manalah tahu kau sudi nak datang.  Tak dapat
dibayangkan kalau kau betul-betul datang masa tu.  Apa pun, kau bagitau aku
kalau kau nak datang sini.  Aku akan jemput kau kat perhentian Larkin. 

Kalau boleh, janganlah menghampakan aku ek. Aku kena berhenti setakat ni.  
Sebelum aku terlupa, semua kawan kita kirim salam.  Dan tak lupa, buah hati
kau. Dia pesan, kalau aku dapat hubungi kau dia suruh sampaikan salam rindu dia.
Dia kirim salam rindu dendam pada kau. Lepas dapat balasan dari kau,
aku tulis lain ya. Jaga diri elok-elok.  Aku rindukan kau.

Sebelum aku terlupa,  SELAMAT HARI RAYA aku ucapkan pada kau.
Maaf andai ada silap dan salah  aku pada kau selama ini.
Tak seronok raya tahun ni tanpa kau dan mak aku. 
Makan ketupat kat sana tu, jangan lupakan aku ye.


Yang benar,
Sahabatmu… Azreena  

Air mata yang terbit di tubir matanya, diseka. Dayana melipat kembali helaian surat dari sahabatnya itu. Panjang benar karangan Azreena kali ini. Hampir tiga muka surat semuanya. Terselit juga sekeping gambar yang turut dikirim oleh Azreena. Siap letak pelekat nama pada gambar itu. 

“Azreena..Azreena, macamlah aku tak kenal kawan-kawan aku.” Ujar Dayana perlahan sambil menggelengkan kepala dengan senyuman lebar terukir di bibirnya. Tersenyum dia melihat keletah rakan-rakannya di dalam gambar itu. Lama juga dia memandang wajah Fahim yang turut sama ada di dalam gambar itu. Dialah lelaki pertama yang berjaya mengusik hatinya walaupun hanya seketika. Ah, cinta monyet, mana mungkin akan berkekalan.

“Maafkan saya Fahim. Biarlah masa yang menentukan segalanya andai ada jodoh antara kita.” Kata Dayana perlahan. Jauh di sudut hatinya, perasaan sayang terhadap Fahim masih kuat membayanginya. Namun, yalah cinta monyet bagaimana akan bertukar menjadi cinta sejati sedangkan cinta sejati itu adalah cinta yang hakiki. Hanya cinta kepada Allah S.W.T sahaja yang hakiki dan abadi. Cinta itulah yang perlu dikejarnya.

            Hubungan antara Dayana dengan penghuni asrama yang lain, semakin baik sekarang. Kadangkala, terhibur hatinya dengan telatah adik-adik. Comel. Nampaknya, Liana sudah dapat teman akrab, Marlia sejak dari mula lagi. Dayana pula lebih selesa bergaul secara terbuka dengan penghuni yang lain. Nak dikata dia rapat dengan Iza, tidak  juga. Pada Dayana, Iza okey sahaja. Bolehlah kalau setakat mahu dibuat peneman untuk berbual. Tetapi untuk berkongsi rahsia, payah sedikit rasanya. 

Malam kian kelam. Selesai membuat kerja rumah masing-masing, mereka semua mengemas ruang tengah bilik itu dan menuju ke katil. Katil Dayana dan Liana terletak bersebelahan. Mereka berdua mengambil bahagian atas kerana kasihankan adik-adik. Bimbang jika mereka terjatuh pula, maklumlah masing-masing tidur boleh tahan lasaknya. 

Setelah lampu dipadam dan memastikan semuanya telah tidur, Dayana mengambil kesempatan untuk menulis surat kepada sahabatnya. Mujurlah lampu di blok sebelah menerangi ruangan tempatnya menulis. Hanya dia sahaja yang masih berjaga dan sedang menulis di satu sudut di bilik besar itu. Surat Azreena perlu dibalas semula. Sebatang pen sudah di dalam genggaman dan kini pantas tangannya menari-nari di atas kertas putih itu. Mencatatkan segala yang mula terbit dari benak ke atasnya. Banyak yang perlu dia kongsikan dengan Azreena di sana.


         Kepada sahabatku yang comel lagi cute.  Terima kasih sebab ingat pada aku.
            Aku bangga kerana memilih kau sebagai sahabat aku.  Jangan lupa nanti
            sampaikan salam sayang dan rindu aku pada teman yang lain.  Pada Fahim,
            kau katakan pada dia semoga dia berjaya lupakan aku. Aku tak mampu
            Azreena.  Korang nak kata aku kejam ke ape ke, biarlah.  Aku tak nak seksa
            hidup dia dengan membuang masa menunggu aku. 

Aku tak tahu perjalanan hidup aku bagaimana nanti. Aku kena pegang
amanah emak aku untuk jaga kembar aku.  Aku dah takde siapa dalam dunia
ni Azreena.  Hanya dia yang aku ada sekarang.  Beritahulah pada dia, terimalah
kenyataan ini. Aku akan doakan semoga dia dapat kebahagiaan kelak dan aku redha
andainya bukan dengan aku.
           
            Tentang majlis abang kau, Insya Allah aku akan cuba.  Aku pun rindu nak
            jumpa korang semua tau. Aku gembira sebab kau sudi menjadi pengganti aku duduk
            sebelah Sofia.  Dia seorang sahabat yang baik Azreena.  Aku doakan korang bahagia
tapi janganlah sampai lupakan aku pula.  Hehehehe. Okeylah sahabat, hanya
setakat ini yang dapat aku tulis.  Aku bukan penyajak macam ‘buah hati’ aku tu.

Kau tahu, Liana kata aku dah pandai melawan balik kalau aku tak puas hati.
Dia kata, pedas juga kata-kata aku sekarang. Patutkah aku berperangai begitu?
 Insya Allah, panjang umur kita berjumpa lagi.  Selamat hari raya juga aku ucapkan.
 Maaf zahir dan batin atas segala dosa dan khilaf aku pada kau. 
Sampaikan juga pada rakan yang lain.


Yang ikhlas,
Lily Dayana.

Selesai menulis, Dayana mengemas kembali semua peralatannya dan kemudian kembali semula ke katilnya. Dengan perlahan dia memanjat katilnya, bimbang jika menganggu lena teman di bawah iaitu Rahimah. Lena benar tidur mereka yang lain. Penat agaknya kerana hari ini solat Sunat Terawih agak panjang. Esok, kena bangun awal pula untuk bersahur dan bersiap ke sekolah.


Post a Comment