BAB 31
Sudah
tiga hari dia menumpang tidur di rumah emak angkatnya. Sejak kejadian malam
itu, dia langsung tidak mahu melihat wajah Ammar. Jangan hanya wajah, bayangnya
juga sudah mampu membuat Dayana meluat. Dia menyangkut dagu di lengannya,
sedang termenung di sisi jendela. Merenung akan nasibnya. Betapa kelam kabut
hidupnya beberapa hari lepas. Dia menarik nafas panjang. Sedikit tennag dia
saat memandang pohonan yang menghijau yang menjadi santapan matanya kala ini.
Mengapa hidupnya tidak boleh setenang itu? Dayana tersentak. Dia memalingkan
wajah menatap susuk tubuh yang memanggilnya.
“Yana, ayah mertua kau datang tu.”
Ujar Kamriah yang melabuhkan duduk di sebelah anak angkatnya itu. Diusap kepala
Dayana.
“Buat apa dia datang? Biarlah kak
ngah. Suruh ajelah dia balik.” Balas Dayana.
“Tak baik kau buat macam ni Yana.
Yang salah tu anaknya. Lagipun, dia dah sah jadi suami kau. Pergilah jumpa dia.
Kesian kak ngah tengok.” Pujuk Hamisah.
“Habis, Yana ni tak kesianlah.
Macamlah Yana yang buat salah.” Tingkah Dayana. Benar-benar terasa dengan
kata-kata emak angkatnya itu.
“Hesy,
ke situ pula kau merepek. Baik aje kak ngah tengok ayah mertua kau tu. Ada juga
budi bahasanya. Yang kau nak ungkit lagi benda yang dah jadi kenapa? Sudahlah
Yana, tak salah kalau kau mulakan hidup baru. Manalah tahu, Ammar memang dah
insaf.” Pujuk Kamariah.
Besar mata Dayana memandang Kamariah. ‘Biar betul kak ngah? Kena rasuah
ke apa mak angkat aku ni? Melangit betul pujian dia.’ Dayana mencebikan
mulutnya. Dua tiga hari sebelum ini, beria-ia emak angkatnya itu marah-marah. Tidak
puas hatilah, itulah inilah. Alih-alih hari ini, boleh pula dia puji segalanya baik.
“Yana
tak naklah kak ngah. Biarlah Yana duduk kat sini. Nak balik kampung pun, orang
tak suka. Kak ngah pun nak halau Yana ke? Sampai
hati kak ngah.” Laju saja air matanya turun. Sedih rasa hatinya.
“Bukan macam tu Yana.
Kau kan sekarang dah jadi isteri orang. Tempat seorang isteri adalah di sisi
suami. Takkan kau tak belajar masa kat sekolah agama dulu. Kau mesti tahukan
tanggungjawab seorang isteri macam mana? Ni, kak ngah pun dah kongsi saham dosa
dengan kau tau.” Kata Kamariah.
“Kenapa kak ngah ni? Kak ngah tahu
kan macam mana kami kahwin. Lelaki macam tu tak layak untuk ditaati.” Tingkah
Dayana lagi. Pap!
“Sakitlah kak ngah,” ujarnya lalu menggosok bahu kirinya yang ditampar
oleh Kamariah.
“Masalahnya, kau dah sah jadi isteri dia. Dah, kau jangan nak mengada
Yana. Kemas barang kau, ikut diorang balik. Buatnya diorang lapor kat polis
kata aku sorok isteri orang, tak ke naya.” Dayana tersengih. Boleh pula hingga
ke situ pemikiran emak angkatnya.
“Lah, kan ke suami kak ngah tu polis. Kalau nak ugut Yana pun, carilah
idea lain.” Seloroh Dayana. Sempat lagi dia.
“Ada juga yang kena sekeh
nanti. Yana, kalau kau sayangkan kak ngah, pergi ya nak. Alah pasal mak mertua
kau tu, jangan layan sangat. Lama-lama nanti, berubahlah dia.” Lembut nada itu
menerjah ke telinga lantas melantun tepat ke hati Dayana. Terpujuk dia dengan
kata-kata Kamariah.
“Yalah kalau dah tu yang kak ngah nak,
Yana ikutkna je.” Jawab Dayana yang semakin kendur keegoannya. Dia kini pasrah
dan redha dengan takdir yang tercipta untuknya.
“Itu pun menantu ayah. Mari, kita
balik ke rumah ya, Yana. Ammar, tunggu apa
lagi, pergi ambil
beg isteri kamu tu.” Arahnya.
‘Nasib baik ayah kau ada, kalau
tak mahunya aku campak je beg tu kat muka kau. Ei, geramnya aku,’ gerutu Dayana.
Bibir bawahnya digigit. Menggunung, api kebencian di dalam hatinya sebaik
melihat muka selamba Ammar yang mendekatinya. Terasa ringan tangannya mahu
melayangkan penampar ke muka lelaki itu.
“Yana pergi dulu ya, kak ngah.” Terus sahaja dia memeluk wanita yang
setia menjadi teman untuk mendengar segala keluh-kesahnya selama ini.
“Jaga diri elok-elok Yana.” Pesan Kamariah. Bergenang air matanya saat
itu. Dia melihat Dayana menganggukkan kepala, terus sahaja gadia itu berpaling
melangkah pergi. Sekejap sahaja gadis itu hilang dari pandangannya. Laju
luncuran kereta yang dinaiki gadis itu meninggalkan perkarangan rumahnya.
“Yana, ayah minta maaf atas apa yang berlaku tempoh hari. Ayah harap,
Yana tak ambil hati dengan perangai mak mertua kamu tu.” Ujar Shukri, memecah
kesunyian.
“Encik tak salah apa pun kat Yana.” Jawab Yana, mendatar nada suaranya.
“Eh, apa pula berencik-encik ni?
Ayah tahu Yana sedang marahkan anak ayah ni. Ya, kamu memang berhak untuk
marah. Tapi, perkara dah berlaku nak. Kenyataan yang bagi kamu pahit tetapi
terselit kemanisan yang akan datang perlahan-lahan kelak. Siapa tahu, kan?”
berfalsafah pula Shukri. Wajah anak bujang yang duduk di sebelahnya dikerling.
“Ayah tahu Yana tak bersalah. Yana kena terima hakikat ni. Lembaran baru
kehidupan Yana sedang terbentang sekarang. Tentang warna apa yang Yana nak
gunakan untuk mencorakkannya, terserah. Ayah tak nak paksa. Walau apa pun, ayah
terima dengan hati yang terbuka kehadiran Yana dalam keluarga kami. Tentang mak
kamu tu, jangan diambil pusing sangat.” Benar-benar Shukri pandai berfalsafah.
katanya.
Dayana memejamkan matanya. Terasa damai di hati mendengar kata-kata
puitis lelaki itu. Pandai juga ayah Ammar bermadah. Jika difikirkan kembali,
Ammar juga mewarisi kepakaran itu. Cuma dia sahaja yang enggan mengambil
pusing. Terselit kebenaran di sebalik kata-kata ayah Ammar. Rela atau tidak,
dirinya sudah dimiliki walaupun menggunung kebenciannya terhadap Ammar, lelaki
itu tetap memegang gelaran suami buatnya. Dayana menghela nafas yang agak
panjang.
“Maafkan Yana kalau selama ini berkasar. Insya Allah, Yana akan cuba menjadi muhasabah diri.”
jawabnya. Menantu? Ah, seksanya dia memegang gelaran itu dalam usia muda
seperti ini. Mahu memanggil ayah, betapa kekoknya dia. Hampir tergeliat
lidahnya mahu menyebut perkataan yang telah lama dibisukan itu.
“Baguslah kalau macam tu. Kita
singgah asrama dulu ya, ambil barang-barang Yana kat sana.” Ujar Shukri.
Dayana hanya mendiamkan diri. Tidak tahu bagaimana dia mahu berdepan dengan
penghuni di sana lebih-lebih lagi, Ayah Abu dan Ibu Sarah. Dia terlupa terus akan
Liana kerana terlalu asyik memberatkan pemikiran tentang masalah hidupnya. Kasihan
Liana. Sihatkah dia?
“Kak..” Laju sahaja dia melangkah mendapatkan
Liana. Tubuh Liana berada di dalam dakapannya. Dia menghamburkan tangisan di
bahu Liana. Liana yang terkejut pantas membalas pelukan Dayana.
“Dik, jangan macam ni. Sabarlah.” Pujuk Liana.
“Aku minta maaf kak. Aku dah mungkir janji aku kat mak nak jaga kau.
Aku...” Dayana semakin sebak hingga tidak mampu lagi menuturkan sebarang
kata-kata. Pelukannya terlerai dan kini dia sudah berteleku di salah satu katil
dua tingkat di situ. Yang menambah kesedihannya, melihat beg pakaiannya yang
telah siap dikemas oleh Liana. Sedang Liana pula bersiap dan akan pulang ke
kampung mereka. Bagaimana pula dengan dirinya sekarang?
“Sudah dik. Bukan salah kau pun. Nak buat macam mana, benda dah nak jadi.
Kau janganlah risau pasal aku..”
“Apa yang ko nak risau pasal
kakak ko. Mak uda boleh jaga dia. Ko tu, pandai-pandailah nak hidup lepas
ni.” Celah Salmah. Lega hatinya sekarang. Hasratnya yang mahu memisahkan Dayana
dengan Iman terlaksana juga walaupun bukanlah dia yang menjadi perancang utama.
Beria-ia dia memujuk Zakaria supaya menikahkan gadis itu. Mujurlah Zakaria
menuruti kehendaknya. Lagipun, suaminya itu sedang dalam keadaan marah. Semakin
galak Salmah, ibarat mencurah api ke dalam minyak.
“Tapi mak uda, adik...”
“Sudahlah dik. Kau sekarang dah ada suami. Jaga elok-elok laki kau tu.
Jalan ni yang kau pilih, kan? Apa lagi yang kau nak harapkan dari kami
sekarang. Itulah, masa buat tak nak fikir risikonya.” Perli Salmah.
Dayana memujuk hatinya supaya diam. Malas mahu bertegang urat dengan mak
uda yang dari dulu sering sahaja mencari kesalahannya. Dia masih tidak faham,
mengapa dirinya terlalu dibenci oleh wanita itu?
“Aku pergi dulu dik.” Ujar Liana sambil mengenggam tangan Dayana. Wajah
kelat Dayana menjadi tatapannya.
Kini, pegangan itu terlepas. Dayana hanya mampu memandang pemergian Liana
dengan linangan air mata. Terasa seperti mereka akan berpisah untuk
selama-lamanya. Entah bila mereka akan bertemu kembali? Dia kini hidup seperti
di dalam buangan. Terbuang dan hanyut jauh ke tengah lautan. Terumbang-ambing
dilambung ombak dan badai. Hanya menantikan sebuah pelampung dilemparkan
padanya. Dirinya perlu diselamatkan. Dayana lekas-lekas bangun berdiri, menyapu
air matanya. Pantas tangannya mengangkat beg pakaiannya. Dia perlu bangkit!
No comments:
Post a Comment