Google+ Followers

Wednesday, 4 September 2013

Bab 30


BAB 30

Sinis sahaja pandangan masyarakat di situ. Sekejap sahaja surau di dalam kampung itu dipenuhi orang. Satu-persatu wajah yang dikenalinya, ditatap tetapi tidak lama. Dayana benar-benar dalam kesulitan sekarang kerana gagal membuktikan kebenaran. Dia sudah buntu. Sudah berbuih mulutnya menerangkan duduk perkara yang sebenar sedang Ammar pula hanya lebih selesa mendiamkan diri. Membiarkan sahaja dirinya dipandang serong oleh mereka di situ.

‘Ya Allah kuatkanlah semangatku dalam mengharungi semua ini.’ Rintih Dayana lagi. Matanya terasa sangat pedih sekarang kerana terlalu banyak menangis.

            “Macam mana boleh jadi macam ni Ammar? Kan, saya pesan suruh kamu hantar Dayana balik tadi? Patutlah dua tiga hari ni, saya rasa tak sedap hati je. Rupa-rupanya ini yang akan terjadi. Tak baik awak buat Dayana macam tu Ammar…” 

            “Cikgu jangan nak menuduh anak saya macam tu. Anak saya ni baik orangnya. Entah-ntah, perempuan yang tak tahu dari keturunan mana tu yang dah goda anak saya ni. Yang duduk di rumah kebajikan tu, ingat baik sangat ke perangai mereka? Macam-macam yang saya dengar tentang diorang selama ni…” hambur wanita itu. 

Pedih hati Dayana mendengar ayat yang keluar dari mulut wanita itu. Hebatnya kata-kata nista yang keluar dari mulutnya. Tidak tahukah dia bahawa anaknya yang mencipta perkara yang memalukan ini?  

            “Makcik, sumpah demi Allah, bukan saya yang...”

           “Lily Dayana. Cukuplah! Sudah-sudahlah awak malukan kami. Sekarang nama baik asrama juga dah tercemar dengan insiden ni. Lebih baik awak diam je. Tak guna menegakkan benang yang basah. Empat saksi telah menyaksikan perbuatan kamu tu. Apa yang kamu nak nafikan lagi?” Kata-kata Ayah Abu itu benar-benar menusuk ke jantungnya. 

            Dayana bungkam! Rayuannya diitolak mentah-mentah. Semua jari menunding ke arahnya sekarang. Mengapa harus dia dipersalahkan? Hanya kerana dia penghuni rumah kebajikan yang selama ini memang dipandang serong oleh penduduk setempat. Bukan dia tidak tahu umpat keji yang dilemparkan oleh mereka di luar. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Salahkah jika mereka menghuni rumah kebajikan itu?

          “Cakap banyak pun dah tak guna sekarang! Apa kita nak buat dengan budak berdua ni?” soal pakcik yang menangkap mereka tadi. Rupa-rupanya, dia adalah Tok Imam di kampung itu. Patutlah dia kenal dengan Dayana kerana dia pernah mengajar mengaji di rumah kebajikan itu. Dayana, pelajarnya yang payah untuk dilupakan kerana kebolehannya mengaji dengan baik.

            “Saya nak mereka dinikahkan malam ni juga!” Semua mata serentak  memnadang ke arah susuk tubuh yang sedang berjalan masuk ke dalam surau itu.

            Dayana tergamam! Pak udanya yang muncul secara tiba-tiba, terus sahaja menuturkan ayat itu. Tidak mahukah pak uda menyoalnya terlebih dahulu? Memeriksa duduk sebenar akan perkara itu. Saat itu, Dayana sangat merindui emaknya. Mengapa dia dibiarkan sendirian? 

            ‘Mak...’ rintihnya. Betapa dia merindui emaknya saat ini.

            “Tak nak pak uda,” digagahkan dirinya untuk bersuara.

            “Kau jangan nak melawan. Kesalahan kau ni bukan kecil tau.” Balas Zakaria. Bergegas dia ke mari tadi sebaik mendapat panggilan telefon. Mengucap dia saat mendapat berita buruk mengenai Dayana.

“Adik tak nak kahwin pak uda. Adik tak salah. Kau memang setan Ammar. Kerana kau, aku jadi macam ni. Kau memang dasar jantan tak guna...” Dayana bagai kerasukan pula. Terpekik, terlolong jadinya dia.

            “Sudah! Kau jangan nak meraung macam orang gila. Aku tak kira, korang akan dinikahkan malam ni juga. Aku tak nak tanggung malu. Sampai hati kau buat kami macam ni.” Jerkah Zakaria. Bertambah rasa malu apabila anak saudaranya itu bertindak sebegitu.

            “Tak, adik takkan kahwin dengan dia. Banyak lagi cara untuk selesaikan benda ni.” Tingkah Dayana.

“Walau banyak cara hanya satu penyelesaiannya. Kahwin! Kalau kau tak nak kesiankan aku, tolonglah kesiankan arwah mak kau dengan kakak kau tu.” Sudah tiada lagi panggilan nama di bibir Zakaria. Hanya berkau, aku sahaja. 

“Kau memang dasar lelaki tak guna Ammar. Kerana kau, porak peranda keluarga aku jadinya.” Hambur Dayana. Kecil sahaja dia melihat Ammar saat itu.

“Lily Dayana!” tengking Zakaria. 

Dayana terdiam. Kini dia sudah tidak mampu lagi mempertahankan diri. 

          “Karia, ko janganlah terburu-buru buat keputusan. Ko jangan jadi macam aku. Siasat perkara ni dulu. Janganlah ikut sangat perasaan ko tu. Aku tak nak, budak ni jadi mangsa nanti. Dia muda lagi, Karia. Kesianlah kat dia. Kalau setakat kena denda, aku mampu bayar. Janganlah ko rosakkan masa depan dia Karia.” Celah satu suara. 

Dayana tersentak lantas menoleh ke arah wanita di belakangnya. Langsung tidak sedar akan kehadiran mak longnya itu. Tersentuh hati Dayana. Dia tidak menyangka wanita yang membencinya dulu, sanggup mempertahankan dirinya. Mengapa harus makciknya itu yang memahami sekarang? Kenapa tidak pak udanya yang rapat dengannya sejak kecil lagi?

            “Sebab saya tak nak dia terus rosaklah Kak Leha, saya nak dia kahwin malam ni juga. Esok-esok, entah apa lagi yang dia akan buat. Kenapa kau jadi macam ni, Lily Dayana? Sanggup kau conteng arang ke muka pak uda.” Hambur Zakaria lagi.

Kata-kata itu ibarat pisau yang menghiris jantung Dayana. Pedihnya rasanya ibarat disiram dengan air yang dicampur limau. Dayana sebak kerana ditebak dengan perkara yang tidak dia lakukan. Matanya merenung tajam ke arah Ammar yang hanya diam menikus sahaja. Ringan sahaja tangannya mahu melayangkan satu penumbuk ke arah lelaki itu.

‘Dasar lelaki,’ gerutunya.

“Sabar Encik Zakaria. Janganlah bertindak melulu. Saya takut ada sikit salah faham kat sini. Saya kenal pelajar saya ni. Sentiasa menjaga tingkah laku dia. Saya takut dia hanya jadi mangsa keadaan.” Pujuk Wahid sambil menjeling ke arah Ammar.

 Hairan Wahid, Ammar adalah antara pelajarnya yang baik juga. Mengapa dia boleh jadi begini? Selama ini, dia tahu Ammar memang ada menyimpan perasaan pada Dayana tapi takkanlah sejauh itu dia bertindak. Apa sebenarnya yang berlaku antara mereka berdua? Kalaulah dia tahu akan jadi begini, pasti dia yang menghantar Dayana pulang tadi. Penyesalan yang tiada gunanya sekarang.

            “Saya tak kira sebab saya adalah waris dan wali dia yang mutlak! Mereka tetap akan dikahwinkan malam ni juga!” Tegas Zakaria lagi. 

            “Tapi Encik...” kata-kata Wahid dicelah,

            “Kalau dah itu keputusannya, saya turutkan. Saya juga malu dengan perbuatan anak saya ini.” Lelaki itu bersuara. Serentak mata dua lelaki yang hampir bertelagah itu, memandangnya.

            “Saya tak setuju bang! Takkan abang nak ambil perempuan yang entah dari mana asalnya ni jadi menantu kita. Awak dah gila ke bang? Anak kita tu muda lagi. Saya tak setuju. Saya sanggup, kalau kita turun naik mahkamah bang. Hesy, tak kuasalah saya nak bermenantukan budak tu. Ei, cubalah awak tengok dia, manalah padan dia dengan anak kita tu…” panjang muncung Munirah. 

Dayana mengetap gigi. Terasa hinanya Dayana di mata wanita itu, ibu kepada Ammar. Ayat anaknya muda lagi itu yang membuat Dayana terfikir, ‘adakah dia terlalu tua untuk Ammar?’ Bukankah mereka sebaya?

“Kak, anak saudara saya ni masih ada keluarga. Mungkin didikan saya tidak sehebat didikan yang akak beri pada anak akak tu. Kami pun ada maruah juga kak. Apa yang terjadi hari ini, sudah suratan takdir. Saya pun kalau boleh tak mahu ia nya berakhir begini. Saya harap akak faham.” Terang Zakaria lagi. Berdesing jugalah telinganya mendengar kata-kata wanita itu. Walaupun marah dengan perbuatan anak buahnya itu namun dia tidak rela gadis itu dihina. Darah dagingnya juga.

            “Ya, betul kata Zakaria tu Munirah. Biarlah kita selesaikan dengan cara elok.  Awak nak kalau perkara ni terpampang kat suratkhabar nanti. Dari sekampung, terus je satu Malaysia tahu pasal ni. Awak sanggup?” soal Shukri. Dia melihat isterinya sedikit tersentak dengan pertanyaannya itu.

            “Suka hati awaklah! Apa pun, saya takkan terima perempuan ni jadi menantu saya.” Kata putus telah diberi. Terus sahaja puan itu duduk di sebelah anak terunanya itu. Malas mahu mengiyakan kata-kata suaminya walaupun terselit kebenaran. 

Dayana bungkam. Dia sudah tidak mampu untuk berkata apa-apa lagi. Kehendak bapa saudaranya terpaksa jua dituruti. Dia sudah terlalu penat mahu mempertahankan dirinya. Demi menjaga nama keluarganya, direlakan jua. Biarlah mereka mencaci, menghina dirinya tetapi jangan sesekali melibatkan keluarganya. Dayana rela berkorban untuk itu jika habuannya berbaloi untuk keluarganya. 

Pernikahan yang dia tidak inginkan itu terjadi juga akhirnya. Nikah koboi? Logik atau tidak, itulah yang terjadi padanya. Membuak-buak rasa bencinya terhadap lelaki yang telah memusnahkan hidupnya dalam sekelip mata.

 ‘Jangan ingat yang kau terlepas, jantan tak guna.’ Kata Dayana sebaik selesai akadnya.


Post a Comment