Iqbal Hakimi
memandang tepat ke wajah tunangnya di hadapan. Terkejut bukan kepalang dengan
permintaan gadis itu. Ini bukan perkara yang boleh dibuat main-main. Resah
jadinya Iqbal Hakimi saat ini. Duduknya jadi tidak tentu arah. Sekejap
tangannya meramas rambut, sekejap menggosok belakang tengkuknya. Dia merenung
tepat ke mata gadis itu. Mahu panahan matanya itu tertusuk tepat ke jantung
gadis tersebut.
“Awak marah saya ke..” soal Iqbal
Hakimi pada gadis itu yang hanya diam seribu bahasa dari tadi lagi.
“Kacau kalau berterusan macam ni. Salah aku juga yang tidak reti nak jaga
hati dia.” rungut Iqbal Hakimi dalam hati. Dia berdecit. Buntu fikirannya
sekarang.
“Awak ada buat salah ke untuk saya
marah?” Tanya Iman Nasuha kembali pada jejaka itu. Dia sebenarnya geram pada
lelaki itu. Disebabkan rasa geram, marah, sakit hati dan entah apa lagi yang
ada dalam hatinya ketika ini dia tidak mampu untuk berkata apa-apa. Hendak
dipandang muka lelaki itu pun, antara mahu atau tidak sahaja. Dia benar-benar
terluka dengan apa yang telah dilakukan oleh lelaki itu ‘di belakangnya’.
Suasana sepi lagi…
“Nampak sangat awak memang marahkan
saya. Janganlah menyepi begini Nasuha. Tindakan awak ini benar-benar menyeksa
saya. Tolonglah Nasuha. Dengar penjelasan saya..” rayu Iqbal Hakimi. Dia perlu
memujuk gadis itu yang telah menjadi tunangannya selama dua tahun, setelah
hampir tujuh tahun mereka menyulam kasih sejak dari bangku sekolah lagi.
“Hmm…” hanya itu yang keluar dari
mulut Iman Nasuha. Acuh tidak acuh sahaja. Siapa yang tidak marah! Sedangkan
berdongkol geram dalam hatinya terhadap lelaki itu. Kejadian sebentar tadi
benar-benar meragut segala kepercayaan yang diberi kepada lelaki itu. Selamba
sahaja Iman Nasuha melihat Iqbal Hakimi bukan main asyik lagi memeluk seorang wanita
semasa mereka terserempak di sebuah restoran. Terasa terhenti seketika degupan
jantungnya melihat adegan itu. Sampai hati lelaki itu memainkan perasaannya.
Pernah juga sahabat Iman Nasuha
memberitahunya tentang kecurangan lelaki itu. Namun sedaya upaya dia cuba menepis
semua itu ke sudut yang jauh di lubuk hatinya. Selagi semuanya tidak
diperlihatkan di depan matanya, selagi itulah Iqbal Hakimi dianggap baik. Dan hari
ini, Allah S.W.T telah memakbulkan doanya dan ianya terbukti sekarang.
“Sayang, janganlah macam ni. Saya
dengan dia tiada apa-apa hubungan. Kami cuma berkawan sahaja. Lagipun, dia
berjumpa dengan saya tadi sebab ada masalah. Saya cuma nak menolong dia. Itu
sahaja.” kata Iqbal Hakimi lagi. Dia sangat berharap semoga alasan itu dapat
diterima oleh tunangnya. Habislah, kalau tembelangnya pecah kali ini.
“Oh tiada apa-apa hubungan. Yang
berpeluk sakan tadi tu apa? Sampai begitu sekali awak melayan dia jika
berkawan, andai kalau bergelar pasangan kekasih bagaimana pula? Keputusan saya
muktamad Iqbal. Saya mahu putuskan tali pertunangan kita hari ini juga. Dari
awak terus-terusan membuat dosa, adalah lebih baik saya mengundur diri. Saya
harap awak bahagia dengan pilihan awak. Saya tidak mahu lagi menjadi
penghalang. Jika dia yang terbaik untuk awak, saya redha dengan perpisahan ini.”
kata Iman Nasuha. Diam bukan bererti dia mengalah. Diam kerana mencari kekuatan
untuk meluahkan apa yang dia rasa.
“Tolong jangan begini Nasuha. Dia
bukan sesiapa dengan saya. Awak, wanita yang saya sayang dan cintai. Mana
mungkin perempuan seperti itu saya mahu jadikan isteri. Tengoklah cara
pakaiannya, jauh berbeza dengan awak. Saya senang berkawan dengannya. Itu
sahaja.” Bersungguh-sungguh Iqbal Hakimi menyatakannya. Mana mungkin Shakila
Hana akan dipilih menjadi suri hatinya. Perempuan yang hidupnya terlalu sosial
seperti itu tidak layak terikat dengan perkahwinan.
“Iyalah tu. Jangan nak mengutuk wanita itu pula sedangkan jika awak
pandai menjaga diri dan iman, semuan ini tidak akan berlaku. Bertepuk sebelah tangan
tidak berbunyi Iqbal. Saya rasa cukup setakat ini hubungan kita. Jangan
sesekali awak mencari kelemahan wanita itu. Ya, dia punyai kekurangan dan awak
mungkin kelebihan bagi dia. Bimbinglah dia ke jalan yang lurus. Saya akan doakan
yang terbaik untuk awak.” terus sahaja Iman Nasuha bangun, pergi meninggalkan
lelaki itu. Dia perlu pergi jauh. Bukan membawa hati yang luka tetapi cuba
untuk muhasabah dirinya. Harus redha dengan semua ketentuan ini. Mungkin belum
masanya untuk dia menjalani kehidupan berumah-tangga. Mungkin juga ilmu di dada
belum penuh lagi untuk ke arah itu.
“Iman Nasuha!” jerit Iqbal Hakimi yang hanya mampu melihat saja gadis itu
berlalu pergi. Dia sendiri tergamam dengan tindakan gadis itu yang selama ini
sangat lembut hatinya. Tidak dia menyangka sama sekali akan keras begini hati
gadis itu.
“Argh!” Jerit Iqbal Hakimi sambil meramas rambutnya. Tidak langsung
dihiraukan semua mata yang memandangnya saat ini.
Dari kejauhan, Shakila Hana hanya tersenyum puas setelah melihat babak
drama itu dari awal hingga akhir. Senyumannya dileretkan lagi…
*****
“Kamu sihat di sana
Nasuha.” soal Khadijah sebaik menerima panggilan dari puteri kesayangannya yang
hampir tiga bulan berjauhan darinya. Dia juga kecewa dengan pertunangan
puterinya yang putus di pertengahan jalan. Pernah dia menanyakan pada Nasuha,
mengapa? Persoalan itu hanya dibiarkan sepi. Diajukan pula soalan itu pada
Iqbal Hakimi. Anak muda itu masih bergelut melawan kesedihan akibat perpisahan
ini. Pening kepala Khadijah memikirkan semua yang terjadi. Lalu dia berkeras
juga memujuk hati tuanya bahawa tiada jodoh antara mereka berdua.
“Alhamdulillah umi. Saya sihat saja di sini. Umi, pula bagiamana? Nasuha
rindukan umi. Insya Allah, andai kekuatan telah diri ini perolehi, ke sana juga
akan Nasuha kembali umi. Doakan yang terbaik untuk anakmu ini. Nasuha sangat
menyayangi umi..” balas Iman Nasuha cuba mengawal rasa sebak yang kian
menghimpit jiwanya. Terasa pedih di matanya ketika ini, menahan dari tumpah air
mata perempuannya.
“Sudahlah tu Nasuha. Apa yang berlaku sudah pasti punyai hikmahnya.
Bersabarlah sayang. Umi sentiasa berdiri tegak di belakangmu selagi kudrat ini
terdaya. Pulanglah sayang. Umi juga rindukan kamu..” Kata Khadijah sedikit
sebak. Mengalir air mata tuanya ke pipi. Rindu untuk memeluk dan mendakap
puteri kesayangannya itu tidak dapat dibendung lagi.
“Tak mengapalah umi. Nasuha harus pergi. Nanti saya hubungi umi kembali.
Nasuha sayangkan umi. Assalamua’laikum..” kata Iman Nasuha. Terus sahaja dia
mematikan talian telefon bimbit sebaik mendengar umi di sana menjawab salamnya.
Hilang kecekalan hatinya sebaik mendengar suara sebak umi di hujung talian.
Semakin menguncup ketabahan dirinya sekarang.
“Maaf..” kata Iman Nasuha sebaik terlanggar seseorang. Beg yang
disandangnya terjatuh ke lantai. Saat dia mahu mengambil semula beg itu, dengan
tidak sengaja tersentuh tangannya dengan lelaki tesebut. Dia terkesima lantas
menoleh ke arah orang itu. Sekali lagi dia terkejut! Lelaki…
“Tak mengapa saudari. Lain kali, hati-hati bila berjalan. Bukan semua
orang boleh menerima perkara ini. Boleh di anggap sebagai saudari cuba
mengambil kesempatan pula. Nah, beg saudari…” kata lelaki itu sambil
menghulurkan beg kepada gadis yang masih kaku di hadapannya. Matanya melirik
pada gadis yang manis bertudung litup itu. Merah mukanya. Menahan marah
barangkali.
“Terima kasih. Saya tiada apa sebab untuk mengambil kesempatan pada
encik. Saya minta diri dahulu..” balas Iman Nasuha. Pantas mengatur langkah
seribu meninggalkan lelaki itu. Padanya, lelaki itu agak biadap. Jelek melihat
lelaki itu yang menyimpang pemikirannya terhadap insiden sebentar tadi. Hatinya
benar-benar kepanasan.
*****
“Cik Iman Nasuha..” panggil suara itu. Tersentak sedikit tubuh Iman
Nasuha. Dia bangun lalu berjalan menuju ke bilik doktor. Sudah dua hari dia
demam. Masuk hari ketiga ini, rasa tidak tertahan pula. Sakit seluruh badannya.
Bagai mahu patah segala sendinya akibat dari demam ini. Tidak pernah dia demam
sebegini teruk. Masuk sahaja ke bilik doktor itu, dia melabuhkan duduk di
kerusi yang disediakan. Tulisan ‘Doktor Ahmad Hanif Ismat’, terukir di papan
nama yang terletak di atas meja itu.
“Ya, cik sakit apa?” soal doktor itu sebaik muncul di pintu sambil
mengelap tangannya dengan sehelai tuala putih. Terhenti langkahnya di situ
sebaik melihat siapakah gerangan pesakitnya. Bulat matanya sebaik terpandang
wajah wanita di hadapannya. Pandangan mereka besatu namun dengan cepat gadis
itu mengalihkannya.
“Sakit apa..?” dua kali soalan yang sama keluar dari mulutnya. Dia duduk
di kerusi, masih lagi memandang tanpa mahu mengalih mukanya dari gadis itu.
“Emm… saya demam doktor.” ringkas jawapan dari Iman Nasuha. Tergamam dia
sebaik melihat doktor muda itu. Kelu jadi lidahnya. Suratan atau kebetulan
apakah ini?
“Sudah berapa hari cik mmm.. Iman Nasuha demam?” tanyanya kembali cuba
melawan kegugupan yang datang menyerbu dirinya secara tiba-tiba. Sempat matanya
melirik ke kad pesakit itu.
“Nama yang cantik, secantik pemiliknya.” desis Ahmad Hanif Ismat dalam
hati. Matanya melirik nakal ke arah gadis itu.
“Masuk hari ini, hari yang ketiga...” tidak tahu mengapa ringkas sahaja
jawapan yang mampu dia berikan. Berdebar-debar rasa hati Iman Nasuha saat ini.
Perasaan apakah ini? Tidak tahu samada masih bersisakah benci pada lelaki itu
atau sebaliknya.
“Saya minta maaf atas kejadian tempoh hari. Tiada maksud untuk menyakiti
hati saudari dengan kata-kata berbisa saya itu.” Akhirnya. Dapat juga Hanif
mengejar keberaniannya yang lari sebentar tadi. Aura apakah yang ada pada gadis
itu hingga menjerat dirinya menjadi kaku sebegini. Dia benar-benar terpukau
dengan ciptaan Allah S.W.T yang sempurna di hadapannya ini.
“Tak mengapa.” Lihat, sama juga. Ringkas lagi jawapan dari Iman Nasuha.
Suasana sepi lagi pengap menyelubungi mereka saat ini. Debaran demi
debaran dirasakan oleh mereka berdua. Tiada lagi dialog antara mereka hinggalah
selesai pemeriksaan dilakukan. Iman Nasuha berlalu pergi. Meninggalkan
persoalan yang menjerut hati masing-masing. Gelodak di hati mereka.. hanya Dia
yang tahu.
*****
Pulang sahaja ke rumah, Iman Nasuha menjadi bingung dengan apa yang
berlaku sekarang. Penuh dengan sanak-saudaranya. Hiruk-pikuk jadinya rumah umi.
Berbulan-bulan lamanya dia pergi meninggalkan teratak uminya. Kini, semuanya
telah bertukar. Kamar tidurnya dihiasi dengan begitu indah sekali. Rumah umi,
jangan dikatalah. Macam-macam hiasan yang ada. Majlis apakah ini hinggakan
melampau rumahnya di rias sebegitu rupa?
“Balik juga akhirnya anak umi ini. Kamu sudah makan ke Nasuha? Kalau
belum, mari umi temankan kamu makan. Tidakkah kamu rindu masakan umi..” riang
kedengaran nada suara Khadijah ketika ini. Dia menuntun puterinya hingga ke
ruang makan. Perlahan dia melihat gadis itu melabuhkan duduk di kerusi.
Bersusah-payah memujuk puterinya supaya pulang ke rumah ini. Bersyukur Khadijah
kerana doanya dimakbulkan. Tetapi, setelah helah mengatakan dia kurang sihat,
baharulah puterinya itu mahu pulang. Bukannya dia mahu berbohong. Sememangnya
hati dia tidak sihat kerana asyik teringatkan puterinya pergi membawa hati yang
lara.
“Majlis apa ini umi?” soal Iman Nasuha sebaik melabuhkan duduknya. Penuh
makanan di atas meja makan umi. Semuanya adalah makanan kegemarannya hinggakan
tidak tahu mana satu yang mahu di makan. Gulai ikan bawal beserta lauk
sampingannya, sambal belacan dan ulam-ulaman. Benar-benar membuka seleranya
yang telah sekian lama ketandusan masakan umi yang amat dirindui. Dengan penuh
selera Iman Nasuha menikmati semua makanan itu.
“Nasuha. Sebentar lagi, pergilah kamu bersiap. Nanti, pakai baju yang umi
telah gantung di bilik kamu itu. Ada orang yang akan menghiaskan kamu..” arah Khadijah.
Dari tadi lagi becok mulut gadis bertanyakan itu dan ini. Dia hanya diamkan
sahaja. Iman Nasuha anak yang baik. Dia akan menurut sahaja apa yang Khadijah
katakan tanpa banyak soal.
“Sabarlah wahai anakku. Kamu akan tahu juga nanti.” bisik hati kecil Khadijah.
Lirikan matanya bergerak mengikut arah anaknya pergi. Air mata jernihnya gugur.
Bukan kerana sedih, tetapi bahagia kerana sinar kebahagiaan puterinya mula
nampak kini. Khadijah pasrah dengan keputusan yang dibuatnya.
*****
“Kamu sememangnya cantik Nasuha. Berseri-seri sekali. Pasti terpegun
sesiapa yang melihat kamu sekarang. Umi beruntung ada anak seperti kami yang
cantik ‘segala-galanya’. Sejuk perut umi mengandungkan kamu.” Ucapnya. Khadijah
bagaikan terpukau dengan kejelitaan puterinya itu. Persis bidadari. Sebagaimana
eloknya rupa, begitu juga akhlaknya.
“Umi..” panggil Iman Nasuha sebaik melihat uminya mahu mengatur langkah.
Kelihatan uminya berpaling. Dia kegugupan pula.
“Ada apa
sayang. Jika kamu mahu menanyakan tentang semua ini, umi harap kamu simpan saja
soalan itu. Akan umi terangkan bila semuanya sudah berakhir. Umi telah lakukan
apa yang patut. Setelah mendapat petunjuk dari Allah S.W.T , inilah yang umi dapat.
Inilah juga jawapan kepada semua persoalan umi selama ini. Nasuha, kamu anak
yang baik. Percayakan umi.. ya sayang.” kata Khadijah sambil mengusap kepala
anaknya. Dia terpaksa menahan soalan anaknya itu. Sampai masa, akan dia
ceritakan segala-galanya. Khadijah berlalu pergi.
Iman Nasuha termanggu-manggu sendirian di kamarnya. Selepas solat Asar
tadi, bergegas uminya menyuruh siap. Sekarang, semua sanak-saudaranya ada di
ruang tamu. Tinggalkan dia keseorangan di kamarnya yang luas tetapi ‘sempit’
dirasakan saat ini. Semput rasa dadanya sekarang. Walaupun dia pernah melalui
majlis seperti ini sedikit masa dahulu, tetapi mengapa debaran kali ini amatlah
hebat. Dia beristighfar dalam hati. Cuba mengurangkan gundah di hati
yang kian bercambah.
“Jemput masuk Puan Hajar. Inilah anak gadis saya, Iman Nasuha BintiZabidi.”
pelawa Khadijah. Seorang demi seorang tetamunya memasuki kamar puteri
kesayangannya itu. Sekejap sahaja penuh dengan tetamu dari pihak lelaki kamar
anaknya itu. Khadijah terkejut pada mulanya. Sungguh ramai rombongan pihak
lelaki yang datang.
“Janganlah panggil saya puan. Panggil Hajar saja kak, kan lebih senang. Cantik dan manis anak dara
akak ini. Saya sudah tertawan dengannya pada pandangan pertama. Tak sangka,
pandai anak saya memilih calon isterinya.” Puji Hajar. Dia terkejut dengan
keputusan anak bujangnya yang seorang itu untuk masuk meminang. Tiada angin,
tiada ribut tiba-tiba sahaja dia begitu. Bingung Hajar pada mulanya. Bila
diselidiki, gadis itu dari keturunan yang baik malah ada rupa. Itu yang
membuatkan dia tidak mahu berlengah lagi.
“Mari sayang jarinya. Mama mahu sarungkan cincin ini..” kata Hajar sebaik
duduk di sebelah gadis itu. Perlahan dia melihat gadis itu mengangkat tangan
kanannya. Cincin belah rotan tersarung kemas di jari manis tangan kiri gadis
itu. Dengan sopan gadis itu menundukkan kepalanya, melekat bibir dan hidungnya
di tangan Hajar. Usai, Hajar mencium dahi kemudian kedua pipi bakal menantunya
itu.
“Terima kasih kerana sudi menerima anak mama dalam hidup kamu.” Sedikit
sebak Hajar menuturkannya. Berbunga-bunga rasa hatinya. Siapa yang tidak gembira
apabila dapat menantu yang sebegini rupa. Elok semuanya.
Di satu sudut, Khadijah mengelap air mata dengan hujung lengan bajunya.
Terharu dia dengan apa yang dilihatnya. Semoga apa yang dia rancangkan ini,
mendapat restu dari Illahi dan moga anak gadis itu disinari oleh limpahan sinaran
kebahagiaan.
******
Debaran kini berada di kemuncak. Baru sahaja petang semalam dia
bertunang, pagi ini dia akan dinikahkan. Iman Nasuha benar-benar kebingungan.
Siapa yang menjadi suaminya serta persoalan berkaitan dengan lelaki misteri itu
masih tergantung hingga kini. Dibuang jauh segala anggapan buruk. Uminya masih
waras lagi. Takkanlah uminya tergamak untuk menghancurkan hidupnya. Pasti umi
tahu siapa yang terbaik untuknya. Iman Nasuha cuba memujuk hati yang sedang
rawan. Menyerahkan semua urusan kepada takdir.
“Aku terima nikahnya Iman Nasuha BintiZabidi dengan mas kahwinnya seribu lima puluh dua ringgit,
tunai…” ucap suara itu. Lancar, jelas dan tenang nadanya. Tok kadi memandang
kedua saksi di belakang lelaki itu. Kedua saksi itu kelihatan menganggukkan
kepala. Sempurna. Kemudian..
“Sah… Alhamdulillah.” Kata tok kadi. Doa selamat dibaca tanda segalanya
telah selesai.
Iman Nasuha menitiskan air mata. Dalam masa yang singkat ini, sekelip
mata statusnya berubah. Umi memeluknya. Mencium seluruh wajahnya. Sedang dirinya,
masih berperang dalam hati. Masih tertanya-tanya siapakah suaminya? Mengapa
teramatlah sukar untuk dia melihat wajah lelaki itu.
“Beri ruang pada pengantin lelaki menyarungkan cincin...” kata satu
suara. Lelaki itu duduk di hadapan pasangannya yang sedang duduk bersimpuh
dengan wajah memandang ke permaidani di dalam masjid itu. Dengan lembut, dia
meraih tangan wanita itu. Menyarungkan sebentuk lagi cincin di jari manis
sebelah kanan. Tanpa dipaksa, laju saja gadis itu menundukkan wajah ke
tangannya. Dapat dia rasakan kucupan hangat di tangannya. Gadis itu mendongak.
“Awak...” hanya itu yang terkeluar dari mulut Iman Nasuha. Terasa seperti
dia sedang tercekik air liurnya sendiri tatkala melihat ‘suaminya’ itu. Bulat
matanya ketika ini.
“Ya, saya. Ahmad Hanif Ismat Bin Ismail. Suami kepada Iman Nasuha BintiZabidi.”
jawab lelaki itu dengan senyuman yang meleret. Habis sahaja dia menuturkannya,
Iman Nasuha rebah di permaidani. Semua yang ada di situ menjadi tidak keruan...
*****
“Tahulah suami awak ini seorang doktor. Janganlah sesuka hati mahu
pengsan di mana-mana. Biarlah pengsan di tempat yang betul..” seloroh Ahmad
Hanif Ismat. Lega rasa hati sebaik melihat isterinya membuka mata. Lucu pula
dia rasakan ketika ini. Hinggakan acara persandingan mereka terpaksa dibatalkan
kerana pengantin perempuan telah tidak sedarkan diri pada hari pernikahannya.
“Encik doktor. Pengsan ini bukanlah boleh dilaraskan untuk waktu
tertentu. Nak buat macam mana, saya mahu pengsan waktu itu. Cubalah encik
doktor bayangkan, bagaimana seksanya hidup saya dua hari ini. Semalam
bertunang, pagi tadi kita nikah. Itu pun saya pengsan, kalau tidak sekarang
kita sedang bersanding. Tahu tak bagaimana kelam-kabutnya hidup saya ini.
Soalan saya pada umi tidak pernah berjawab. Jantung ni, bagai mahu pecah
rasanya cuba
menahan debaran tentang semua ini.” Hampir semput Iman Nasuha. Habis semua
dilepaskan. Yang terpendam, semuanya telah terhambur keluar. Puas rasa hatinya
sekarang. Ada
lagi sebenarnya, tapi disimpan. Cukuplah setakat ini dahulu. Tetapi, mengapa
lelaki itu masih boleh senyum.
“Wah, marah benar isteri abang ini. Yalah, abang minta maaf atas
semuanya. Abang yang minta umi rahsiakan. Manalah tahu, andai ‘orang itu’ tahu
semua ini, lagi jauh pula dia lari. ‘Larian’ yang dulu bukanlah abang
penyebabnya. Jadi, untuk apa abang nak menjadi penyebab kedua. Sudahlah tu
sayang. Masih marahkan abang..” tanyanya lalu mencuit hidung isterinya. Pertama
kali melihat gadis itu tanpa ‘penghalang’ di kepala. Benar-benar hatinya
tertawan pada gadis itu. Tidak sia-sia usahanya memujuk rayu kedua ‘emaknya’
supaya menyatukan mereka.
Gigih Ahmad Hanif Ismat mencari maklumat mengenai Iman Nasuha. Dengan
segala maklumat yang ada pada kad pesakit gadis itu, dapatlah dia dengan mudah
menjejakinya. Allah S.W.T telah memudahkan segala urusannya. Dan hari ini, apa yang
dia hajati telah tercapai...
*****
“Nasuha, panggil suami kamu turun makan. Semua umi sudah siapkan. Kamu
makan berdua ya. Umi mahu keluar sebentar dengan mama kamu.” kata Khadijah.
Lapang dadanya kini kerana hajat untuk melihat puterinya dimiliki oleh lelaki
yang baik telah tertunai. Dia amat mengharapkan agar menantunya itu dapat
membahagiakan Iman Nasuha.
“Tapi umi… Nasuha…” terhenti di situ pertanyaannya. Bagaimana harus dia nyatakan ketidakpuasan hatinya tentang semua
ini. Bimbang kecil pula hati uminya itu.
Iman Nasuha tahu niat umi menjodohkannya adalah murni. Tapi, lelaki itu...
Terlalu pantas semua ini berlaku. Tujuh tahun mengenali Iqbal Hakimi hingga
mengheret mereka mengikat tali pertunangan. Bayangkan selama itu dia
mengenalinya, tetapi pertunangan mereka terputus begitu saja. Inikan pula
dengan lelaki yang kini sudah menjadi suaminya sedangkan baru sahaja dua kali
mereka bertemu dalam masa beberapa bulan ini. Itu pun tiada langsung kata mesra
apatah lagi yang romantis antara mereka yang bisa menggetarkan jiwanya. Kusut
fikirannya memikirkan semua ini.
“Anak umi Iman Nasuha. Percayalah, dia yang terbaik untuk kamu. Umi tahu
kamu memang kurang berpuas hati dengan umi. Umi bukanlah kejam untuk menghancurkan
hidup anak umi ini. Sudahlah, pergilah kamu panggil suami kamu itu. Umi sudah
lewat sayang. Tidak elok biarkan orang ternanti akan kita. Assalamua’laikum…”
kata Khadijah. Dikucupnya dahi puterinya itu lalu terus sahaja mengatur
langkah. Lama-lama nanti terpujuklah hati anaknya itu. Semoga menantunya pandai
memainkan peranan. Senyumannya makin dilebarkan.
“Encik doktor. Umi suruh turun makan…” katanya sebaik memasuki kamarnya.
Tidak sanggup dia untuk memandang lelaki itu yang hanya bertuala paras
pinggang.
“Aduh, salah masa pula aku ini. Malunya…” bisik hati Iman Nasuha. Pantas,
dia memalingkan muka dari lelaki itu. Tanpa membuang masa, dia terus sahaja
berlari-lari anak menuju ke pintu. Dia perlu keluar dari kamar ini.
“Encik doktor dipanggilnya aku. Ini tidak boleh jadi. Takkan selamanya
dia nak panggil aku ‘Encik doktor.” Ahmad Hanif Ismat merengus. Dirasakan tidak
patut isterinya memanggil dengan gelaran itu. Dia ketawa terbahak-bahak
kemudiannya hingga berair ke dua mata. Lucu benar dengan telatah isterinya itu.
Benar-benar menggeletek hati. Sesuatu harus dilakukan. ‘Misi menawan hati Iman
Nasuha’. Perlukan strategi yang baik untuk melaksanakannya.
“Patutlah dia lari…” katanya lagi sambil mata terarah ke tubuhnya yang
‘kosong’ hanya dibaluti tuala dari paras pinggang ke lutut. Dia ketawa lagi…
*****
“Nasuha tidak sarapan sama?”
soalnya kepada gadis itu yang sedang menuang air milo panas ke dalam cawannya.
Leka seketika dia menatap wajah wanita itu. Kalaulah orang lain tahu bagaimana
tidurnya malam tadi, pasti ketawa hingga senak perut mereka. Mereka memang tidur
sekatil. Boleh pula wanita itu tidur dengan memakai telekung. Pernahkah wanita
lain membuat perangai begitu pada malam pertama.
“Tidak mengapa. Encik doktor minumlah dahulu. Saya..” terhenti di situ
ayat Iman Nasuha.
“Amaran terakhir. Kedengaran lagi gelaran itu, denda yang berat akan
terlaksana. Apa dendanya, bergantung pada abang. Masa itu, jangan ada sebarang
rayuan dari kamu sayang.” Dia bangun lalu berdiri betul-betul di hadapan
isterinya. Kedua tangannya kini berada di bahu wanita itu. Dicengkam lembut
bahu isterinya. Jarak mereka terpisah hanya beberapa inci sahaja. Jelas
kelihatan bagaimana riak cemasdi wajah
mulus itu. Ahmad Hanif Ismat duduk kembali.
“Maaf. Er… abang, jemputlah minum.”
pelawa Iman Nasuha. Hampir luruh jantungnya tadi. Hampir-hampir saja fikirannya
mula menyimpang terhadap tindak-tanduk ‘suaminya’. Mujurlah doktor itu tidak
merawat pesakit mental. Kalau iya, habislah dia jika lelaki itu terbawa-bawa
karektor para pesakit yang mentalnya tidak sihat itu.
“Mari, temankan abang...” ajaknya. Dia suka melihat muka isterinya yang
sedang kemerahan. Adakah kerana malu atau marah? Dibiarkan sahaja begitu
keadaan mereka sekarang. Sepi tanpa bahasa. Indah sungguh suasana ketika ini.
Kali pertama bersaparan sambil menatap wajah indah ciptaan Allah S.W.T yang ada
di hadapannya kini. Jika waktu terhenti, sekarang masanya.
*****
“Kau memang dasar perempuan tak guna! Di mana kau sorokkan Iqbal? Sudah
berhari-hari aku mencarinya..” keras nada Shakila Hana terhadap wanita itu.
Dengan perut yang sedang memboyot, merata dia mencari di mana suaminya berada.
Dia buntu. Hampir hilang arah hidupnya saat ini.
“Puan. Apa yang puan repekkan ni? Bila pula saya sembunyikan suami orang.
Saya tidak tahu apa yang berlaku. Mengapa berat tuduhan yang puan lemparkan
pada saya.” balas Iman Nasuha. Terhenti sedutannya ketika itu. Mujur tidak
tersembur air oren di dalam mulutnya. Terkejut kerana disergah secara
tiba-tiba. Sebaik melihat siapa dia, ligat juga otaknya bekerja. Kini dia
pasti, inilah wanita yang dilihatnya bersama dengan Iqbal Hakimi suatu masa
dahulu.
“Kau jangan nak menipu aku. Ke mana lagi suami aku kalau tidak bersama
kau. Kau kan
tunangnya yang selalu dipuji baik. Baik sangat ke kau? Telinga aku ni, hampir
saja bernanah bila setiap kali mendengar dia menyebut nama kau..” Hamburnya
lagi suku dari apa yang ditanggungnya selama ini. Deritanya dia apabila setiap
kali mendengar nama Iman Nasuha disebut.
“Puan, ada baiknya cakap puan itu berlapik. Saya masih boleh bersabar
dengan puan. Saya kata tidak tahu maka saya tidak tahu. Lagipun, apa
kena-mengena saya dengan keluarga puan. Saya tiada kaitan dengan semua ini.
Harap puan tarik balik kata-kata puan itu.” Iman Nasuha cuba memberi
amaran. Masih lagi cuba
menyabarkan hatinya. Masih lagi boleh berbudi bicara dengan wanita yang sedang
sarat mengandung di hadapannya ini. Kasihan pula melihat keadaannya yang
kusut-masai itu. Pasti jiwanya terbeban dengan hebat sekali.
“Kau jangan nak berlagak baik..” tidak sempat Shakila Hana mahu
menghabiskannya, tiba-tiba…
“Sha. Apa yang awak buat di sini? Nasuha!” buntang mata Iqbal Hakimi
sebaik melihat gadis yang amat dirinduinya selama ini. Ingin sahaja dia
mendakap gadis itu. Melepaskan rindu yang terbuku dengan tebal di hatinya. Namun,
akalnya masih waras lagi. Tidak pernah mereka bersentuhan selama mereka
berkenalan hinggalah bertunang, inikan pula sekarang. Di buang jauh niatnya
itu. Kewarasannya seperti diragut selepas wanita itu meninggalkannya.
“Iqbal! Sampai hati awak tinggalkan saya. Empat hari saya mencari awak
bagai nak gila. Tak sangka, awak masih lagi bersama dengan perempuan ini. Apa
semua ni?” Hampir-hampir saja dia mahu menempik. Mujurlah tidak ramai orang dalam
restoran ini. Kebetulan pula tempat ini agak tersorok sedikit. Sangkanya Iqbal
Hakimi masih berhubungan dengan Iman Nasuha.
“Jangan menuduh begitu Sha. Kebetulan saya lalu di sini. Saya tidak tahu
yang Nasuha juga ada di sini. Jaga sikit mulut awak Sha. Saya sudah bosan
dengan perangai ‘gila’ awak itu. Saya tidak sanggup lagi sekarang. Perangai
‘mengawal’ awak semakin menjadi-jadi hingga saya sendiri rasa muak!” Luah Iqbal
Hakimi. Benar-benar tertekan dengan perangai wanita, kini isterinya yang
semakin hari semakin teruk. Dua puluh empat jam dia di kawal oleh wanita itu
hingga pergerakannya terkunci. Hidup yang sebelum ini bebas ke mana-mana,
tiba-tiba sahaja berubah dengan drastik sejak kehadiran Shakila Hana dalam
hidupnya.
“Adalah lebih elok jika soal rumahtangga tidak dibincangkan di sini.
Kurang manis jika didengari orang. Tidak mengapalah, saya minta undur diri
dahulu. Selesaikan dengan cara yang baik.” pesan Iman Nasuha. Dia menggalas beg
tangannya lalu bangun. Terhenti langkahnya saat terasa lengan bajunya ditarik.
Dia menoleh.
“Jangan tinggalkan saya Nasuha. Jangan tambahkan penderitaan saya ini.
Tolong kembali pada saya…” pinta lelaki itu. Sudah seperti orang hilang akal
lagaknya. Berani meluahkan isi hati di depan isterinya yang sedang sarat
mengandung. Terbeliak mata Iman Nasuha memandangnya. Shakila Hana pula melopong
mulutnya.
“Saudara. Adalah lebih baik dilepaskan lengan baju isteri saya itu.
Setakat ini, kesabaran saya masih menebal lagi..” kata seseorang yang muncul
secara tiba-tiba. Iman Nasuha merentap kembali lengan bajunya lalu pergi
mendapatkan lelaki itu. Pantas sahaja dia berlari lalu memeluk lelaki itu. Sudah
terbang kini perasaan malunya pada lelaki itu.
“Siapa kau?” soal Iqbal Hakimi. Panas hatinya melihat gadis kesayangannya
itu memeluk lelaki yang dianggap sebagai durjana. Merah matanya menahan marah.
Tidak termampu pula olehnya untuk melawan lelaki yang tegap dan kelihatan gagah
itu. Sedangkan dirinya hanyalah kurus-kering sahaja akibat dari ‘makan hati’
selama beberapa bulan ini. Hingga menganggu sistem pemakanannya.
“Ahmad Hanif Ismat Bin Ismail. Suami kepada Iman Nasuha BintiZabidi. Saya
tahu kamu siapa. Kamu tunangnya dahulu tapi sekarang saya suaminya. Harap tidak
diulang lagi perbuatan tadi. Boleh terjejas tahap kesabaran saya ini. Mari
sayang.. ” terus sahaja dia menarik tangan isterinya. Berlalu meninggalkan
pasangan itu yang masih tercengang. Dia mendengar semuanya tadi. Geram juga dia
dengan kelancangan mulut isteri lelaki itu. Mahu saja dia menyerang balas.
Tetapi dia berasa kagum dengan isterinya yang kelihatan tenang sahaja tadi.
*****
“Terima kasih..” ucap Iman Nasuha. Selepas tiga hari, barulah dia punya
kekuatan untuk mengucapkannya. Dia meletakkan secawan nescafe panas di atas
meja di laman rumah umi. Itu pun setelah dia menyelidik tentang minuman
kegemaran suaminya dari mama. Dia rasa terhutang budi pada lelaki itu.
“Terima kasih untuk apa, Nasuha?” soalnya kembali pada wanita itu.
Terangkat kening kiri sambil mata terhala ke arah isterinya. Walaupun dia tahu
tujuan ucapan itu, sengaja mahu memanjangkan bicara antara mereka. Sejak
kejadian tempoh hari, dia masih menunggu kata-kata yang akan keluar dari mulut
isterinya. Benarkah penantian satu penyeksaan? Jika ya, pasti terseksa jiwanya.
Tetapi tidak pula begitu. Lagi rindu dia akan wanita itu malah semakin
menginjak sayang dan cinta terhadap gadis itu ke tahap yang tertinggi dalam
carta hatinya.
“Kerana menyelamatkan saya tempoh hari. Saya minta maaf kerana baru
sekarang saya ucapkannya. Abang, sekali lagi terima kasih ya..” tidak tahu
samada ungkapan ‘menyelamatkan’ atau ‘mempertahankan’ harus dikata olehnya. Ada sedikit getar pada
nada suara Iman Nasuha. Bergetar jantungnya saat renungan lelaki itu tepat ke
mata. Sungguh indah apa yang dirasakan. Rasanya, mulai kembang kuntuman sayang
pada lelaki itu. Dia memejamkan mata sebentar, cuba menghayatinya.
“Nasuha isteri abang. Selagi kita masih ‘berjodohan’ abang akan
pertahankan kamu. Tidak tahu bagaimana lagi harus abang buktikan pada kamu
kasih dan sayangnya abang pada kamu. Abang berdoa saban hari moga suatu hari
nanti pintu hatimu akan terbuka untuk abang..” luahnya. Dia berdiri di hadapan
isterinya melihat wanita itu sedang berdiri terpaku dengan mata yang terpejam.
Mengapa begitu keadaan isterinya?
“Maafkan Nasuha abang…” terus sahaja dia memeluk lelaki itu. Kali kedua
pelukan ini adalah dengan ikhlas untuk kali pertama. Ya, Iman Nasuha yakin
kini, nama lelaki itu mula memenuhi segenap ruang di dalam hatinya. Dua bulan
usia perkahwinan mereka, lelaki itu masih mampu bersabar. Menanti dia menerima
lelaki itu dalam hidupnya. Dia sudah nekad, enggan menoleh ke belakang lagi.
Redha bahawa Ahmad Hanif Ismat tercipta untuknya.
“Terima kasih sayang..” balasnya lalu mengeratkan lagi pelukan. Dia
memanjatkan kesyukuran ke hadrat Illahi atas semua ini. Akhirnya, Iman Nasuha
sudi menerima dirinya. Berakhirlah penantian selama ini.
*****
“Aku minta maaf atas apa yang aku katakan hari itu. Aku tenggelam punca
bila Iqbal tidak pulang. Hilang begitu sahaja. Maafkan aku, Iman Nasuha..” kata
Shakila Hana. Tenteram rasa hati kerana wanita itu sudi menjenguknya di
hospital. Dia telah selamat melahirkan seorang anak perempuan yang comel.
Walaupun dia mencemuh wanita itu di restoran tempoh hari, tetap sahaja dia dan
suaminya sudi membantu. Ditakdirkan hari itu, tiba-tiba sahaja dia kesakitan.
Terasa senak perutnya saat itu. Suaminya kelihatan tidak bermaya waktu melihat
darah mula mengalir dari celah paha.
“Saya sudah lama maafkan kamu, Shakila. Jika saya yang berada di tempat
kamu, tidak tahu bagaimana pula tindakan saya. Awak bagaimana. Sudah rasa
sihatkah?” soal Iman Nasuha. Ringan langkahnya ke mari sebaik mendengar
permintaan wanita malang
itu. Tanpa perlu suaminya memujuk dia ke mari, dia rela sendiri. Baginya, wanita
itu tidak bersalah. Hanya mengalami kekeliruan sahaja. Dibuang jauh anggapan
buruk pada Shakila Hana.
“Benar kata Iqbal, kau memang seorang yang budiman. Aku minta maaf kerana
merampasnya dari kau. Aku yang bersalah..” tidak dapat dia meneruskan
kata-katanya kerana mulutnya sudah ditutup. Jari Iman Nasuha melekat elok di
bibirnya.
“Jangan kata begitu Shakila. Semua itu adalah takdir dan jodoh saya bukanlah
dengan Iqbal. Dia memang tercipta untuk awak. Saya tidak pernah putus mendoakan
kebahagiaan awak dengannya. Saya dan awak hanya manusia biasa yang tidak pernah
lari dari melakukan kesilapan. Untungnya, kita sedar lebih awal. Ayuh, kita
sama-sama bangkit, merubah semuanya. Semoga keharmonian rumahtangga kita akan
berkekalan. Hidup berumahtangga tanpa sengketa pasti kosong. Anggaplah dengan
sengketa ini merapatkan hubungan bersama pasangan. Kita belajar dari kesilapan untuk
pembetulan masa hadapan..” kata Iman Nasuha lantas meraih wanita itu dalam
dakapannya.
Iqbal Hakimi turut merasa sebak. Berair matanya. Dia memalingkan muka.
Enggan membiarkan sesiapa melihatnya begitu. Semua kata-kata bekas tunangnya
tadi benar-benar menyentap jiwa. Terus memasung dirinya di situ. Tersedar
dirinya hari ini. Dia juga serba kekurangan. Benar seperti kata gadis itu
dahulu, dia dan isteri perlu seimbang. Kurangnya Shakila Hana, lebih bagi
dirinya. Begitu juga sebaliknya. Dia insaf. Bermula saat ini, dia akan cuba melakar
satu kehidupan baru bersama permaisuri hatinya. Kini, telah hadir orang baru
dalam kehidupan mereka, seorang puteri.
“Siapa namanya puteri kalian..” soal Ahmad Hanif Ismat yang hanya menjadi
permerhati serta pendengar yang setia dari tadi. Dia memaut bahu isterinya lalu
mengukir senyuman yang manis, istimewa untuk suri hatinya. Benar-benar tergoda
dengan kelembutan isterinya itu.
“Nur Imanina bintiIqbal Hakimi. Sempena nama kau yang sudi menerima
diriku yang penuh dengan kekotoran. Sahabat dunia dan akhirat..” ikhlas Shakila
Hana menuturkannya. Dia sangat berkenan dengan nama teman barunya itu.
“Cantik nama puteri ini. Boleh saya dukung anak kamu ini Shakila?” pinta
Iman Nasuha. Kelihatan wanita itu mengangguk. Laju sahaja dia mengangkat bayi
itu dan mengendongnya. Bulat mata bayi itu memandangnya. Jatuh segala rasa
cinta dan kasihnya pada bayi itu. Hatinya mengucap syukur dengan anugerah Allah
S.W.T itu kepada pasangan tersebut. Geram dia melihat bayi comel itu yang
berada bersebelahan ibunya dari tadi lagi. Tiba-tiba hatinya kepingin untuk
mempunyai zuriat sendiri. Pantas memujuk hati bahawa rezeki untuknya pasti akan
menyusul. Insya Allah...
“Nanti kita usahakan untuk memperoleh seorang, ya sayang..” Seloroh Ahmad
Hanif Ismat. Terpegun seketika saat melihat telatah isterinya itu. Benar-benar
bersifat keibuan seiring dengan karektor dan wajahnya yang lembut. Oh Iman
Nasuhaku….
“Abang ni. Ada-ada saja. Tidak malu ke dengan mereka di sini.” Katanya
lalu menyiku lembut tubuh lelaki itu. Mukanya kini sudah bertukar kemerahan. Menahan
malu yang dicipta oleh suami bertuahnya itu. Suasana sedih bertukar ceria
dengan gelak tawa dari mereka semua.
*****
“Untuk kamu sayang..” kata Ahmad Hanif Ismat sebaik melangkah masuk ke
rumah. Sejambak bunga ros bercampur warna dihulurkan kepada wanita itu.
Sekeping kad berbentuk hati berwarna merah terselit di antara bunga-bunga itu.
Matanya terarah pada perut isterinya yang sedang ‘membengkak’. Dua nyawa sedang
dikendong oleh isterinya kini. Dia amatlah bersyukur dengan ‘pemberian’ Yang
Maha Esa kepadanya. Penantian selama dua tahun ini sangatlah manis bagi
dirinya.
“Oh.. abang. Terima kasih..” Iman Nasuha menyambutnya lalu menghadiahkan
satu ciuman di pipi lelaki itu. Bahagia dia rasakan punyai suami yang begitu
baik perlakunya. Romantis lagi. Lelaki yang pernah dipanggil ‘encik doktori itu
tersenyum memandangnya. Kini, mereka tinggal berasingan dengan umi. Selalu juga
umi dan mama datang menjenguk mereka. Tambahan pula dia sedang sarat sekarang.
Sebentar lagi mereka akan ke rumah umi dan dia akan menetap di situ hingga saat
melahirkan.
“Abang pergi bersiap dahulu ya sayang.” Kata Ahmat Hanif Ismat lagi. Dia
bangun selepas mengucup lembut pipi isterinya. Sempat dikerling ke arah
isterinya yang sedang membuka kad berbentuk hati itu. Dia melirik senyum sambil
berlalu pergi.
Perlahan Iman Nasuha membuka kad itu. Tertancap matanya pada tulisan yang
terkandung di dalamnya.
Andai rinduku ini pandai
berbisik, pasti engkau tahu bagaimana rindunya aku padamu.
Andai sayangku ini boleh
berbicara, pasti engkau tahu betapa dalam sayangku itu.
Andai cintaku mampu menjerit, akan ku jeritkan “aku cintakan
kamu, Iman Nasuha!”
Hidup tanpamu di sisi
ibarat pincangnya sebuah lagu tanpa irama. Ibarat kontangnya tanah tanpa air.
Ibarat gelapnya malam tanpa bulan dan bintang.
Kita saling melengkapi
satu sama lain. Terima kasih kerana sudi menerima diriku seadanya.
“Nasuha juga cinta dan sayang pada
abang..” katanya lalu menoleh ke arah suaminya yang masih berdiri di sebalik
tiang itu. Dia menyimpulkan senyuman manisnya.
**TAMAT**
~ Assalamua'laikum semua. Cerpen ini merupakan cerpen pertama hasil garapan saya. Sudi-sudikanlah membacanya. Komen dari anda sangatlah saya hargai.
2 comments:
Semprulll!
Kenapa bahasa skema mcm budak spm?
Post a Comment