Google+ Followers

Wednesday, 29 May 2013

Bab 10


BAB 10

Dayana yang sedang menguli tepung untuk dibuat kulit karipap, berhenti seketika. Matanya memandang wajah emak yang sedang berbaring di hadapannya yang sedang bersila itu. Bukan dia tidak nampak emaknya menyeka air mata dengan hujung jari tadi. Tengahari tadi, emak tiba-tiba mengadu tidak sedap badan. Badannya juga tiba-tiba sahaja membahang. Dayana sedikit resah dengan kesihatan emaknya.

“Kenapa mak? Panas sangat ke badan mak tu?” soal Dayana. 

“Tak ada apalah dik. Ko buat ajelah keje ko tu.” Balas Zakiah.

Dayana tidak terkata apa-apa. Dia meneruskan sahaja kerjanya itu, bimbang lambat pula siap. Setelah hampir tiga jam akhirnya karipap pusing Dayana telah siap. Tugas menggoreng diserahkan kepada Liana yang memang pakar dalam hal goreng-menggoreng. Lenguh terasa pinggangnya itu. Setelah semuanya telah dia bersih dan kemaskan, dia mahu membersihkan diri kerana sebentar lagi dia perlu menghantar kuih karipap itu ke surau. Mujurlah mamat ulat bulu itu sedang tidur dengan begitu nyenyak sekali semasa dia sibuk dengan kerjanya tadi. Sepupunya itu kalau tidur, bom meletup sebelah dia pun tidak akan sedar. Silap haribulan, hanya membuka sedikit sebelah matanya kemudian pejam kembali. 

Dayana menyarungkan tudung ke kepalanya. Setelah membelek dirinya di hadapan cermin, dia melangkah keluar dari bilik. Tangannya kini mengangkat bakul berisi kuih karipap yang telah siap digoreng oleh Liana lalu melangkah menuju ke pintu. Baru sahaja dia mahu melangkah, terasa belakang tudungnya ditarik lembut. Dayana berpaling.

‘Ish dia ni lagi. Bila pula dia bangun? Siap pakai baju melayu lagi.’ Gumamnya dalam hati. Sebaik muka lelaki itu dipandang, kedua keningnya diangkat. Iman sedikit terleka memandang wajah Dayana.
‘Ayunya dia bila pakai baju kurung,’ puji Iman di dalam hati.

“Ya, ada apa Abang Iman?” soal Lily Dayana. Apa masalah lelaki itu hingga menghalang langkahnya?

            “Nak ke mana tu? Dah masuk. Ni, mak ngah suruh abang yang hantar. Hari dah nak senja, tak elok anak dara macam awak tu keluar.” Kata Iman. Terus sahaja dia mengambil bekas itu dari tangan Dayana. Jangan harap dia akan membenarkan pujaan hatinya itu yang pergi. Kelam kabut dia bersiap tadi apabila mengetahui Dayana yang akan ke surau.

 “Terima kasih banyak ya Abang Imanku sayang. Bawak elok-elok ya karipap tu. Jangan sampai hancur pula.” Sempat lagi Lily Dayana memberi pesanan khidmat masyarakat kepada Iman. Bukan dia tidak perasan bagaimana Iman asyik memandang wajahnya tadi. Gugup seketika jadinya Lily Dayana dan mujurlah dia dapat menutup kegugupan itu dengan baik.

“Aduh dik. Rasa macam mimpi pula bila kau panggil abang ‘sayang’. Ulang sekali lagi dik?” pinta Iman. Berbunga-bunga rasa dalam hatinya. Rasa seperti di awang-awangan pula.

            “Sudah Encik Amzar Shahiman. Rasanya lebih baik encik pergi sekarang sebab waktu Maghrib dah nak masuk ni. Maaf ya, tiada siaran ulangan okey.” Balas Lily Dayana kembali. Bergegas masuk ke dalam rumah. Malas dia mahu bertentang mata dengan mamat senget itu. Iman pun tanpa banyak songeh terus sahaja berlalu pergi dengan senyuman manis terhias di bibirnya. 

“Yang pasti, lamalah kau duduk kat surau tu nanti. Silap-silap, pukul sepuluh baru balik. Fuh lega aku. Jadilah, dalam beberapa jam ni, aku boleh buat apa yang aku suka. Tak payah nak mengadap muka mamat ulat bulu tu. Dahlah tu, dia pun tidur kat sini juga malam ni. Menyemak betullah mamat ulat bulu tu.” Bebelnya sendiri. 

Dia sedang mengintai Iman yang sedang mengatur langkah dari celahan pintu. Memang dia tidak nafikan, kekacakan lelaki itu sangat terserlah namun ia belum cukup untuk menggetarkan hati kerana Dayana memang tiada apa-apa perasaan istimewa padanya. Hanya perasaan seorang adik kepada abang sahaja. Itu yang Dayana rasakan selama ini kerana mereka membesar bersama-sama.

Demam emaknya semakin teruk pula. Setelah memberi emak dua biji panadol untuk ditelan, Dayana memapah emaknya ke tempat tidur. Dia kemudiannya menyambung kembali menonton televisyen setelah memastikan emak sudah tidur. Liana dan atuk pula sedang rancak bersembang di atas. Terasa berat pula mata Dayana untuk diangkat. Habis semua saluran televisyen yang ada ditukar namun tiada satu pun rancangan menarik yang boleh menghilangkan rasa mengantuknya itu. Akhirnya, dia terlena di situ.

Dayana terjaga di tengah malam kerana terkejut apabila terdengar satu suara sedang mengerang. Agak kuat juga bunyinya. Dalam hatinya kuat mengatakan, emak. Dia bingkas duduk. Rupa-rupanya dia tertidur di situ. Dayana memerhatikan sekelilingnya dan dia terkejut! Rupa-rupanya, mamat sengal itu terlena di atas sofa di hujung kepalanya. 

“Macam dah tak ada tempat lain ke dia nak tidur? Ikutkan hati, ada juga aku angkat mamat ni tidur kat luar. Nasib baik tak larat je” Rungut Dayana. Dia bingkas berdiri lalu mengatur langkah menaiki tangga ke ruang tengah tempat yang sepatutnya menjadi medan peraduannya. Di satu sudut, dia melihat atuk dan Liana sedang tidur bersebelahan. Dayana terus sahaja menapak menuju ke tilam emaknya.

            “Ya Allah mak! Kenapa ni?” soal Dayana. Terkejut dia  sebaik melihat emak sedang menggigil kesejukan. Demam ‘kura-kura’ emak kembali menyerang. Sangat kasihan Dayana melihat emak mengerekotkan tubuhnya. Entah sudah berapa lama agaknya emak begitu? Bergegas dia mencari selimut sebanyak mungkin untuk menyelimutkan emak. Beberapa biji bantal diambil dan disusun di sekeliling emak. Itulah yang akan dilakukan oleh Dayana dan Liana setiap kali emaknya diserang demam itu. Dayana menggosok tubuh emaknya yang sudah berbalut itu untuk menghasilkan haba. Kira-kira sepuluh minit kemudian, gigilan emaknya kian berkurangan. Dia masih setia menunggu di sisi emak sambil tersengguk-sengguk kepalanya, menahan kantuk. 

“Dah, ko pegilah tido dik. Mak dah tak apa-apa ni. Dah okey sikit.” Zakiah akhirnya bersuara. 

Dayana tersentak! Terpinga-pinga dia seketika. Bagaimana dia boleh terlelap dalam keadaan bersila? Dia menggaru kepalanya. Berkelip-kelip matanya yang terasa seperti dilekat gam yang kuat pula. Setelah matanya berjaya dicelikkan, dia memandang wajah pucat emak. Tidak sanggup pula dia mahu meniinggalkan emaknya dalam keadaan begitu. Takut demam itu menyerang lagi.

“Tak apalah mak, biar adik tunggu mak kat sini. Kalau mak nak apa-apa panggil je, adik ada kat sebelah mak ni.” Balas Dayana. Kedengaran emaknya mengehemkan sahaja.

Sebiji bantal diambil kemudian tubuhnya direbahkan di sebelah emak. Sempat lagi Dayana mengerling ke arah Liana dan atuknya yang sedang tidur bersebelahan nun di hujung sudut bilik yang besar itu. Liana sudah belayar entah ke mana? Kadang-kadang dia tertanya-tanya sendiri, mengapa atuknya tidak sayangkan dia seperti Liana? Banyak kekurangankah dirinya? Dia akui, Liana lebih cantik darinya. Lumrah manusia, lebih menyukai yang cantik sahaja. Dayana terkenangkan cerita emak saat mahu melahirkan mereka.

Kata emak, semasa mahu melahirkan mereka berdua, disangkakan hanya Liana seorang sahaja. Sejak dari awal mengandung, doktor langsung tidak mengesyaki emaknya mengandungkan bayi kembar. Kehadiran Dayana di dalam rahim emak tidak dapat dikesan dari awal lagi. Selepas sahaja Liana dilahirkan, kakitangan di hospital yang bertugas ketika itu ingat semuanya sudah selesai. Namun, mereka hairan kerana emaknya masih berasa sakit lagi. Selang lima minit kemudian, Dayana pula dilahirkan. Semua terkejut! Benar-benar tidak menyangka bahawa emaknya mengandungkan bayi kembar. Kuasa Allah S.W.T  tiada siapa dapat menyangkal. 

Tetapi fizikal Dayana berlainan dari Liana. Senang cerita, tubuhnya seperti terpenyek sedikit sewaktu dia dilahirkan. Mungkin kerana itu, doktor sukar mengesan kehadirannya di dalam rahim emak. Emak benar-benar sedih apabila melihat keadaannya. Tetapi para doktor telah memberi jaminan bahawa keadaannya akan bertambah baik setelah terdedah dengan udara dan keadaan di sekeliling. Alhamdulillah, berkat usaha gigih emaknya yang tidak pernah berputus asa mengubati Dayana secara tradisional iaitu dengan sedikit teknik urutan, dia kembali pulih. Tetapi, Dayana sahaja yang berkulit gelap dalam keluarganya. Akhirnya, Dayana kembali terlena di sisi emak.




Fajar telah lama menyinsing kini terpacak kedudukannya di kaki langit. Menandakan waktu sudah tengahari sekarang. Selesai mengemas rumah atuk, Dayana duduk di beranda rumah atuknya. Melihat ke arah jalan raya di hadapan dengan pandangan yang kosong. Kesihatan emak, benar-benar menganggu fikirannya. Hari ini, emak sudah tidak larat untuk bangun seolah-olah badannya tersangatlah berat untuk diangkat. 

Sebentar tadi, emak mengatakan yang dia teringin makan buah lai. Terus sahaja Liana dan abang sepupu mereka ke pekan membelinya. Pada mulanya Iman mengajak Dayana. Nasib baiklah Dayana pandai mengelak. Dengan susah-payah dia cuba mencipta alasan tadi. Mujurlah, Liana menawarkan diri untuk mengikuti sepupu bertuah mereka  itu dan disokong oleh atuk. Lega rasa hati Dayana. Sedang begitu, kelihatan kereta milik sepupunya memasuki halaman rumah atuk lalu memarkir keretanya di bangsal milik atuk. Bangsal peninggalan tok aki mereka. 

Iman menghulurkan seplastik besar buah lai ke arah Dayana sebaik kakinya terhenti di tangga terakhir beranda rumah atuk itu. Dayana terus sahaja menyambutnya lalu bingkas bangun menuju ke dapur tanpa sepatah kata. Mahu bersembang pun dia sudah tiada mood. Laju saja langkanya diatur ke dapur untuk memotong buah tersebut. Tangannya kini sedang menatang sepinggan buah lai yang siap dipotong. Tubuh lesu emak dirapati.

 “Mak, nah buah lai. Adik dah potong nipis-nipis, senang mak nak kunyah nanti.” Kata Dayana sebaik mendaratkan duduk di sebelah emak. 

Dia meletakkan pinggan itu di sebelah, membantu emaknya bangun dengan sedaya upaya. Alhamdulillah, emak berjaya duduk juga. Emak mengambil sepotong buah lai itu. Dayana melihat emaknya mengunyah dengan perlahan sekali. Nampak seperti emaknya sedang menggagahi diri untuk menghabiskan sepotong buah lai itu. Dengan begitu payah, emak cuba menelan buah itu. Tiba-tiba sahaja dada Dayana terasa sebak melihat keadaan emaknya begitu, namun ditahankan sahaja. Hangat terasa kedua matanya saat ini.

“Dahlah dik, mak tak ada selera nak makan. Cukuplah sepotong ni. Mak teringin nak makan nestumlah dik. Ko pergi beli kat mak ya,” pinta Zakiah.

Dayana terbesarkan mata memandang emak. Sedikit terperanjat dengan permintaan emaknya. Buah lai yang dibeli oleh Abang Iman yang hampir seplastik besar itu hanya dijamah sepotong sahaja. Sekarang emak minta nestum pula. 

“Yalah mak. Mak tunggu kejap ya, adik pegi belikan.” Balasnya. Tanpa menunggu lama dia bangun untuk  ke kedai Ah Chew. Harap-harap Ah Chew belum tutup kedai lagi kerana waktu sekarang sudah hampir pukul tujuh. Selalu kedai itu akan ditutup waktu begini. Dayana kesuntukan masa, dia bergegas.

Segelas nestum yang dibancuh agak cair disuakan kepada emaknya. Nasib baik dia sempat sampai tadi, itu pun Ah Chew sudah mula menyusun papan untuk menutup pintu depan kedainya. Bersusah payah dia melihat emak mahu mengangkat tubuh, dia membantu emak. Dayana meletakkan sebatang penyedut minuman di dalam gelas itu bagi memudahkan emak untuk minum. Hanya dua sedutan sahaja yang mampu ditelan oleh mak. Emaknya kemudian menolak gelas yang berisi nestum itu ke tepi.  

“Mak dah kenyang dik.” Ringkas dari Zakiah. Terasa tawar tekaknya sehari dua ini hendak menelan makanan. Terus sahaja Zakiah merebahkan kembali badannya ke tilam. 

“Yalah mak. Mak rehatlah. Apa-apa, mak panggil adik.” Balasnya kemudian berlalu. Selera makan emaknya seolah-olah tiada langsung beberapa hari ini. Rasa risau terhadap emak, tertanam jauh ke lubuk hati. Dua tiga hari ini, hatinya resah. Mata kirinya pula asyik sahaja bergerak. Petanda apakah ini?
Post a Comment