Friday 31 May 2013

BAb 11



BAB 11

Malam itu, rumah Zainab agak riuh. Tanpa disangka Zaleha datang melawat Zakiah. Sedari dulu, hubungan dua beradik itu renggang. Zakaria juga turut kelihatan. Sebaik anaknya Iman menelefon mengatakan keadaan kesihatan kakaknya Zakiah semakin buruk, bergegas dia dan isterinya Salmah ke mari tadi.

 “Hah, ko Yah! Sampai bila ko nak macam ni? Ni, aku tengok teruk sangat dah sakit ko. Kalau jadi apa-apa kat ko, sape yang nak jaga anak-anak ko ni nanti. Jangan kata nak suruh aku pulak. Janganlah kedekut sangat duit ko tuh. Pergilah klinik. Kalau tak mampu, cakap je. Aku boleh dulukan duit aku tapi jangan lupa bayar balik.” Ujar Zaleha. Sungguh berbisa kata-kata yang ditujukan kepada Zakiah. Sudahlah mimik muka yang ditunjukkannya, tidak tahu hendak digambarkan bagaimana.

‘Apalah mak long ni! Patut ke dia cakap macam tu kat mak?’ gerutu Dayana. 

Bakri menjegilkan mata kepada isterinya. Zaleha hanya mencebik mulutnya lalu dia bangun dan menuju ke dapur. Dayana yang kebetulan berada di hadapan, dijeling. Tajam sungguh jelingannya terhadap gadis hitam manis itu. Entah apalah yang terkandung dalam jelingan tajamnya itu? 

“Menyampah aku! Dari dulu sampai sekarang tak habis-habis menyusahkan aku.  Anak-beranak sama je. Ei meluat betullah.” Bentak Zaleha sambil kakinya melangkah menuju ke ruangan dapur. 

Dayana memandangnya dengan dahi yang berlipat-lipat akibat kerutan. Dalam sungguh kebencian wanita itu terhadap keluarganya. Tidak tahu mengapa dari dulu lagi mak long membenci mereka sekeluarga. Kata-katanya, tidak pernah manis dengan keluarga Dayana. 

 “Aku risaulah tengok ko ni Yah. Pagi esok, jom aku bawa pergi klinik. Lusa ko dah nak balik JB. Takut nanti melarat sakit ko tuh. Bukan ada sape kat sana nak jaga ko. Anak-anak ko pun dah nak masuk sekolah balik.” Ujar Zakaria. Tergambar jelas riak resah di wajahnya dengan keadaan kakaknya itu. Minggu lepas, Iman ada mengatakan yang dia bermimpi bahawa gigi gerahamnya patah. Apabila mendengar sahaja Zakiah jatuh sakit, terdetik kerisauan melampau di dalam hatinya. Apa yang Zakaria tahu jika bermimpi berkaitan dengan gigi adalah satu petanda yang tidak elok. Namun ajal dan maut adalah di tangan Allah S.W.T. dan sebagai manusia biasa dia tidak pernah putus berdoa semoga semuanya dalam keadaan yang baik.

“Tak apalah Karia. Aku boleh pergi sendiri. Ko tolong telefonkan apek ni. Cakap kat dia, datang pagi esok. Biarlah aku pergi dengan anak aku je. Ko tu kan keje, aku tak naklah menyusahkan ko pulak.” Balas Zakiah lalu dihulurkan sekeping kad nama kepada Zakaria.  

Zakaria mendiamkan diri. Dia tahu kalau hitam, maka hitamlah kata kakaknya, Zakiah. Dia akur, kakaknya memang tidak akan menyusahkan orang lain. Susah senang, semua kakaknya hadapi sendiri. Sebelum berkahwin dengan Abang Hamid, kakaknya merupakan seorang janda. Mereka tidak dikurniakan cahaya mata hasil perkahwinan dengan bekas suaminya itu. Herman nama bekas suaminya. Lelaki yang dianggap sebagai manusia yang tidak berguna oleh Zakaria. Lelaki yang tidak tahu bersyukur kerana mendapat isteri sebaik kakaknya Zakiah. Lelaki yang tidak sedar dek untung!

Zakaria masih ingat lagi, bagaimana layanan keluarga Herman terhadap Zakiah. Zakiah dicaci, dihina oleh mertuanya dengan mengatakan dia mandul. Malah, bekas abang iparnya sendiri juga sering mengasari kakaknya sepanjang kehidupan mereka sebagai suami isteri dulu. Perkahwinan mereka hanya bertahan selama tiga tahun. Itupun kerana, suami kakaknya telah menghilangkan diri tanpa memberi sebarang nafkah selama hampir dua tahun. Setelah puas dipujuk, baharulah kakaknya bersetuju untuk menuntut cerai secara fasakh. Sudah terang dan nyata, bekas abang iparnya itu yang bersalah. Keluarga mertua Zakiah masih tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut. Macam-macam perkara yang tidak elok cuba mereka lakukan kepada Zakiah. 

Pernah suatu hari, ketika Zakiah sedang mengayuh basikal untuk pergi menoreh getah, bapa saudara Herman cuba melanggarnya. Umur Zakiah masih panjang, bak kata orang, berpantang maut sebelum ajal. Zakiah hanya mengalami kecederaan ringan sahaja. Zakiah seorang yang berhati mulia kerana dia tidak pernah berdendam dengan bekas keluarga mertuanya itu. Hanya doa yang dikirim, semoga mereka berubah. Apa yang Zakaria tahu beberapa bulan selepas kejadian itu, dikhabarkan bahawa bapa saudara bekas suami kakaknya itu telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. 

Mungkin, itulah balasan terhadap apa yang pernah lelaki itu buat pada kakaknya dulu. Manakala bekas suami kakaknya pula, dikatakan berada di dalam penjara kerana kes peras ugut dan mencuri. Sejak dari peristiwa itu, gangguan dari pihak sana tidak lagi dihadapi oleh Zakiah. Semoga dosa mereka diampunkan oleh Allah S.W.T dan siapalah kita untuk menghukum mereka. Hanya Dia yang layak untuk itu. 

“Yalah Yah. Nanti aku telefon. Kau rehatlah, aku nak ke dapur kejap.” Zakaria melangkah pergi meninggalkan kakaknya dengan hati yang berat. Kesihatan Zakiah sedikit menganggu fikirannya. Tidak terbayang olehnya bagaimana dengan kehidupan kembar itu jika kakaknya sudah tiada nanti?




Teksi yang akan membawa Zakiah ke klinik sudah sedia menanti di laman. Agak longlai langkahnya semasa menuruni tangga. Satu-persatu langkah diatur sedang di kedua sisi, diapit oleh kedua kembarnya.

“Boleh ke Yah?” soal Zainab. Kasihan melihat keadaan anaknya itu yang terpaksa dipapah oleh kedua cucunya.

“Insya Allah boleh mak. Yah pergi dulu.” Jawab Zakiah dengan nada yang lemah.

Dayana dan Liana memaut bahu emaknya sehinggalah tubuh lesu itu berjaya didudukkan di kusyen bahagian belakang teksi tersebut. Kedua-duanya duduk di sisi kiri dan kanan emak mereka. Teksi itu kemudiannya meluncur perlahan meninggalkan perkarangan halaman rumah. Setengah jam perjalanan, mereka sampai ke destinasi. Sekali lagi emak mereka dipapah masuk ke klinik.

“Maaf puan. Saya rasa puan terpaksa ditahan di wad. Keadaan puan tidak stabil sekarang. Tekanan darah puan tersangatlah rendah. Saya khuatir, sesuatu yang lebih buruk akan terjadi kalau puan tidak mendapat rawatan di sana.” Kata Doktor Fuad sebaik selesai memeriksa Zakiah. Nampak benar doktor itu risau dengan keadaan Zakiah, jelas tergambar raut kerisauan di wajahnya.

“Tak apalah doktor, saya rasa tak perlulah. Lagipun esok, saya dah nak balik JB.  Anak-anak saya ni nak ambil keputusan periksa PMR diorang. Saya dah biasa demam macam ni doktor. Esok lusa, baiklah demam saya ni.” balas Zakiah yang enggan dimasukkan ke hospital. Dia menyerahkan semuanya kepada takdir.

“Kalau dah macam tu kata puan, saya tak boleh nak buat apa lagi. Adik, nanti bagi mak kamu makan ubat yang doktor bagi ikut masa yang ditetapkan. Jaga mak elok-elok ya.” Pesan Doktor Fuad kepada gadis berkulit hitam manis itu. Mengalah dia dengan kedegilan pesakitnya itu yang tidak mahu mendapat rawatan hospital.

Dayana hanya menganggukan kepala. Debaran di hati Dayana menanti keputusan peperiksaanya tidaklah sehebat debaran sebaik mendengar kata-kata Doktor Fuad tentang tahap kesihatan emak. Selepas selesai urursan pembayaran di kaunter klinik tersebut mereka berdua kembali memapah emak dan kini mereka telah berada di dalam perut teksi itu yang setia menanti.

Tubuh lemah Zakiah kini terdampar di atas sebuah tilam di ruang tamu atas permintaannya. Zakiah memandang wajah anak-anaknya, silih berganti. Sayu pandangannya yang tertala ke arah mereka yang sedang berteleku di sisi.

Dayana merasa hiba. Pandangan emaknya menyayukan hatinya. Dia masih merenung wajah pucat emak. Masih terngiang-ngiang di telinga, kata-kata Doktor Fuad tadi. Dadanya kian dihimpit rasa sebak. Air matanya kini mulai bergenang hanya menunggu masa untuk tumpah sahaja. Diseka dengan pantas. Dia tidak mahu menitiskan air matanya di situ. Dia menggenggam tangan emaknya. Putih melepak telapak tangan emak. Sejuk benar tapak tangannya saat itu. Dibawakan ke pipi, dicium tangan emak sepuas-puasnya. Mata emak mula kelayuan. Penangan ubat agaknya.

Hari kini sudah menginjak ke waktu malam. Selesai menunaikan kewajipan sebagai seorang muslim, Dayana menemani emaknya yang terbaring lesu. Liana dan atuknya pula sedang menonton televisyen, slot cerekarama di TV3 yang menyiarkan drama hebat lakonan Norish Karman, Syurga Di Pintu Neraka. Entah mengapa, hati Dayana langsung tidak teringin untuk menontonnya sedangkan drama itulah yang dia nantikan. Apa yang dia mahu, sentiasa berada di sisi emak.

“Yah, bawak mengucap. Adik, ko jangan leka. Selalu ajar mak ko mengucap. Atuk nak ke bawah, temankan kakak tengok tv. Ape-ape hal, ko panggil atuk.” Arah Zainab kepada cucunya yang sejak dari kecil kurang mendapat perhatian darinya. Hingga kini Zainab tidak tahu mengapa dia berperangai begitu, membeza-bezakan cucu-cucunya itu.

Dayana merasa sedikit aneh pula dengan permintaan atuknya itu. Dia hanya mengangguk lemah sahaja. Matanya menyoroti ke arah atuknya yang sedang berjalan perlahan meninggalkannya. Dada Dayana berdebar-debar sekarang, tidak tahu gelora apa yang membadai hatinya kala ini.

“Mak, kalau letih pejam je mata mak tu. Lama-lama nanti, mak tidur terus,” Entah mengapa laju sahaja mulut Dayana menuturkan ayat itu. Mulut emak terkumat-kamit, kedengaran nama Yang Maha Esa (Allah) meniti di bibir pucatnya itu. Beberapa hari ini, hanya itu yang terbit dari mulut Zakiah.

“Diamlah ko dik! Kalau nak tengok tv, pegi jelah.”  Tengking Zakiah. Walaupun sebenarnya dia tidak bermaksud demikian.

Bagai mahu menitis air mata Dayana apabila dijerkah sebegitu oleh emaknya. Walaupun nadanya tidak keras, tapi hatinya agak tersentuh. Namun Dayana cuba untuk memahami mungkin kerana keadaan emak yang kurang sihat itu menjadikan dia begitu sensitif. Tanpa mengendahkan arahan emaknya, Dayana mengambil sebiji bantal, lalu merebahkan diri di sisi emak. 

No comments: