Wednesday 25 September 2013

Bab 32


BAB 32

Rumah Ammar kini tersergam indah di hadapannya. Dayana menelan air liurnya. Debaran di hati kian kencang. Dayana memejamkan mata, menarik nafas sedalam-dalamnya cuba meredakan gundah di hatinya. Bagaimana agaknya dengan penerimaan wanita yang banyak menghinanya pada malam itu? 

‘Sempat lagi tak kalau aku lari sekarang?’ desisnya.

            “Hah, dah sampai pun. Nak kena tunggu orang datang jemput baru nak datang!” ujarnya. Terhenti langkah Dayana. 

            “Awak ni Irah, budak tu baru je sampai dah awak sergah dia macam tu.” Tegur Shukri yang agak kurang berkenan dengan perangai isterinya, Munirah.

            “Tak betul lagi saya cakap. Nak kena berjemput, kena pujuk baru nak datang.” Sambungnya lagi. 

Dayana yang terpacak berdiri di laman rumah itu, menundukkan wajah. Mahu menagis atau tidak?

“Sudahlah Irah. Ammar, bawa isteri kamu masuk ke dalam.” Arah Shukri, malas mahu melayan isterinya yang sudah tiga hari tidak surut barannya.

“Jom, saya bawa awak masuk.” Terus sahaja dia menarik lengan Dayana. Bulat mata Dayana yang sedang memandangnya, tidak diendahkan. 

‘Lembutnya tangan dia,’ desis Ammar.

“Sudah-sudahlah tu Irah. Terimalah kenyataan yang dia dah jadi menantu awak sekarang. Redhalah dengan apa yang terjadi. Sampai bila awak nak macam ni? Mungkin ada rahmat di sebalik semua ni. Lagipun, Dayana tu anak yatim piatu. Sekurang-kurangnya, terbela juga nasib dia. Saya juga marah dengan perbuatan mereka berdua tu tapi bila saya renung balik perkara ni, tak salah kalau kita beri peluang pada mereka. Yang lepas tu biarlah berlalu. Tanggungjawab kita akan lebih besar lepas ni. Mereka perlu bimbingan kita Irah.” Panjang syarahan Shukri kepada isterinya.

            “Saya bukan apa bang. Bila saya teringat perkara tu lagi bertambah sakit hati saya ni. Bukan saya tak kesian dengan budak tu, entahlah! Buat sementara ni, biarkan saya dulu bang. Saya malas nak fikir. Saya bagi dia tinggal kat sini pun, dah kira baik.” Terus sahaja dia berlalu masuk ke dalam. 

            Shukri malas mahu mendesak isterinya itu. Dia tahu hati budi Munirah. Keras di luar tetapi lembut di dalam. Ibarat kerak nasi, bila terkena air lama-lama lembutlah ia. 

            “Inilah bilik kita sayang,” ujar Ammar sebaik melangkah masuk ke dalam kamarnya. Dayana mencebikan mulutnya.

‘Uwek! Nak muntah aku dengan sayang kau tu. Kalaulah ada gam cap UHU, dah lama aku gam kat mulut kau tu.’ Gumamnya. Rasa mahu bernanah telinganya tadi mendengar perkataan itu.

“Mari..” tangannya sekali lagi menjadi sasaran Ammar.

            “Jangan sentuh aku! Jangan nak bersayang-sayang dengan aku. Aku jijik!” Dayana merentap kasar tangannya dari pegangan Ammar. Dia mahu berpaling dari lelaki itu namun nasibnya agak malang. Sekelip mata Ammar sudah berdiri di hadapannya, langkahnya terundur. Kini tubuhnya sudah tersandar di dinding bilik itu. Mujurlah belakang kepalanya tidak terhantuk. 

Ammar mengepungnya dengan mengangkat kedua tangannya. Melekat elok kedua tangannya di dinding itu. Mata Ammar dengan rakus menjelajah ke seluruh wajah Dayana yang hanya terpisah beberapa inci sahaja. Dayana jadi kaku.

            “Oh, kalau aku panggil kau sayang, jijik! Kalau jantan lain panggil kau sayang, tak apa. Dengar sini. Kau dah jadi hak aku sekarang. Aku boleh buat apa je kat kau. Ingat semua ni! Aku sekarang dah jadi suami kau, SUAMI kau!” agak kuat nada Ammar. 

            “Lepaslah..” pinta Dayana. Ammar kelihatan enggan menurutinya.

“Jangan ingat kau dapat lari dari aku Dayana. Kau milik aku sekarang.” Ujar Ammar. 

Dayana nekad. Dikumpul kekuatan yang ada. Dayana memberanikan diri menolak tubuh Ammar, sekuat yang boleh hingga terduduk lelaki itu ke lantai. Bergegas dia melarikan diri sebaik melihat Ammar menyeringai kesakitan kesakitan. Padan muka!

“Aduh, kau memang nak kena Yana. Nanti kau,” ujar Ammar.

Namun hanya itu sahaja yang Dayana dengar. Pantas dia berlari keluar dari kamar itu. Kini dia bersandar di luar pintu kamar Ammar. 

‘Ya Allah, kuatkan imanku untuk menempuh semua ini,’ doa Dayana.

            “Hah, apa lagi yang kau tercegat kat situ! Dah aku bagi duduk kat rumah aku, jangan ingat nak senang-lenang pula. Tu, kat dapur, pergi tengok apa yang patut dibuat. Mulai sekarang, kerja dalam rumah ni aku nak kau yang buat. Faham!” sergahnya.

Terkejut Dayana dan mujur baik segala latahnya tidak keluar. Ke mana pula hilang latahnya? Dia berpaling meleihat ke arah susuk tubuh emak mertuanya sedang di dalam kepala membayangkan umpama rupa singa lapar wajah wanita itu. Tetapi, lain pula reaksi wajah wanita itu. Tiada langsung riak upama mahu menerkamnya. Tidak pula dia bercekak pinggang. Sudah berdosa pula Dayana kerana bersangka buruk tadi. 

            Bergegas Dayana ke dapur. Terbeliak matanya saat memandang satu pemandangan yang indah di dapur rumah mertuanya. Dia menggaru-gatu kepalanya yang berlapikkan tudung. Masih tidak lekang tudung dari kepalanya itu.

            “Apa aku nak masak ni?” bisiknya perlahan. Segala apa yang ada di dalam peti sejuk dikeluarkan. Hentam sajalah. Tidak mahu membuang masa, ligat tangannya bekerja hingga tidak menyedari dirinya diperhatikan.

            “Ammar buat apa kat sini?” soal Munirah. Pelik melihat kelakuan anaknya itu. Tersenyum-senyum sendirian. 

            “Mak, terkejut Ammar. Tak ada apa-apalah,” balasnya lalu berlalu pergi. 

        "Oh, patutlah. Ada-ada ajelah budak-budak ni.” Bisik Munirah. Terleka seketika memerhatikan kelincahan Dayana yang sedang bekerja di dapurnya.
 
            ‘Boleh tahan juga menantu aku ni.’ Desis Munirah lalu berlalu pergi.

            Ammar benar-benar menyesal di atas apa yang cuba dia lakukan terhadap Dayana tempoh hari. Kalaulah dia boleh memutarkan kembali masa, akan dia elakkan perkara itu. Tubuhnya yang sedang terlentang itu dikalih ke kanan. Kasihan Dayana. dia benar-benar hilang punca tempoh hari. Hanya memilih untuk menjadi lelaki bacul yang hanya mendiamkan diri tanpa mahu mempertahankan gadis itu.

            “Maafkan aku Yana. Kerana sayang, aku turutkan. Aku tak mahu kehilanganmu.” Rintihnya.

Salah dirinya juga kerana membawa Dayana ke tempat yang sunyi seperti itu. Namun apakan daya, semuanya sudah terlambat untuk disesali. Dia tidak salahkan Dayana yang begitu membencinya. Ammar sedar, dirinya masih terlalu muda untuk memikul tanggungjawab yang sangat besar itu. Apakan daya, semuanya telah terjadi dan usahannya kini adalah, memujuk Dayana. Walau setinggi mana pun kebencian Dayana terhadapnya, tinggi lagi sayangnya kepada gadis itu.

Bukanlah dia yang merancang perkara itu sebenarnya. Farizal lah dalang di sebalik kejadian itu. Dia tidak menyedari bahawa dia diekori oleh lelaki itu tempoh hari. Farizal yang bertanggungjawab memanggil beberapa penduudk kampung di situ. Itu pun dia mendapat terdengar perbualan Farizal dengan rakan-rakan yang lain semasa menemani Dayana mengambil pakaiannya di asrama tadi. Mahu sahaja dia bersemuka dengan Farizal. Namun apabila difikirkan kembali jika tidak kerana Farizal, sudah pasti Dayana tidak menjadi miliknya. Rahsia ini akan tersimpan kemas. Sesekali tidak akan dia bocorkan kepada sesiapa pun.

 “Kau tercipta, hanya untukku Lily Dayana Hamid.” Bisik Ammar, dia terlelap seketika.

“Ammar bangun. Jom makan.” Panggil Munirah. Puas dia mencari anak bujangnya tadi, begitu nyenyak dia melihat Ammar yang sedang terlena di atas katilnya. Beberapa hari ini, dia melihat Ammar agak murung. Tidur pun tidak lena. Bukan dia tidak tahu apa puncanya. Sengaja tidak mahu ambil pusing akan apa yang telah berlaku. Memang tahap kemarahannya di paras tertinggi tempoh hari namun sedikit demi sedikit ia makin menurun.

“Ammar!” panggilnya lagi.

“Ya mak?” terus sahaja dia bangun duduk. Menggosok kedua matanya, sebaik boleh celik dia memandang wajah emaknya yang sedang tercegat di pintu kamarnya.

“Jom makan..” ulang Munirah lagi.

“Yalah mak.” Jawabnya. Terus sahaja turun dari katilnya.

            “Tunggu apa lagi, hidanglah!” arah Munirah sebaik tiba di dapur.  

           ‘Amboi, ingat aku ni orang gaji ke? Sabar ajelah aku dengan kerenah mereka dua beranak ni?’ rungut Dayana. Disenduk nasi ke dalam pinggan mereka, satu-persatu. Semuanya telah dia sediakan. Sebaik selesai, dia hanya berdiri sahaja di sisi meja itu. Takkanlah nak duduk kalau orang tidak mempelawanya. Perutnya terasa lapar. 

‘Perut, kau sabar ya.’ pujuk Dayana.

            “Yana, apa yang kamu tercegat lagi kat situ. Marilah, makan sama. Namapak macam sedap je lauk yang kamu masak ni. Marilah.” Pelawa Shukri. Bertuah betul isterinya itu. Bukan nak menjemput menantunya itu duduk. 

Teragak-agak Dayana menarik kerusi lalu dilabuhkan duduk di atasnya juga. Dengan cermat dia mengambil pinggan, menyendukkan sedikit nasi ke atasnya. Bukan Dayana tidak perasan emak mertuanya menjeling tadi. 

“Sikit sangat kamu makan Yana. Ammar, tambah lagi nasi dalam pinggan isteri kamu tu.” Suruh Shukri. Ammar menurut sahaja.

“Makanlah,” ujar Ammar. 

Dayana terpaksa memaniskan wajah saat bersatunya pandangan sesama mereka. Sedang di bawah meja sesuatu telah berlaku. Dayana lemas. Lemas dengan kaki Ammar yang sedang merayap di kakinya. 

‘Ada juga yang kena pijak kaki tu nanti.’ Gerutunya.

No comments: