Google+ Followers

Tuesday, 6 May 2014

BAB 33



BAB 33

Dayana melangkah masuk ke kamar Ammar. Lega sedikt hatinya kerana lelaki itu mengikut emaknya ke pekan. Dapatlah dia merehatkan tubuh barang sejam dua ini. Beg pakaian yang terletak elok di tepi almari dipandang sepi. Di mana harus dia menyusun pakaiannya? Benarkah dirinya sudah diterima di dalam rumah ini? Dayana bungkam. Pantas tangannya membuka tudung di kepala yang sejak dari tadi tersarung. Terasa segar sedikit kulit kepalanya sebaik terdedah kepada udara. Dia merebahkan diri di atas katil Ammar.

“Subhanallah..” betapa selesanya dia saat itu. Matanya sedang merenung ke arah siling kamar itu. Sebagaimana ligatnya kipas angin yang terlekat elok di situ berpusing, begitulah juga putaran hidupnya yang sentiasa diuji tanpa henti. Dayana masih kabur dengan masa depannya. Tubuhnya teramat letih kerana hampir separuh hari membanting tulang menyelenggara tugasan di dalam rumah ini. Mata celik Dayana tidak mampu bertahan lebih lama. Dia terlelap.

            “Ammar, letak barang-barang ni kat dapur. Eh, mana pula perginya bini kamu?” soal Munirah. 

            ‘Sudah, jangan pula dia lari. Habis aku nak kena bersoal jawab dengan abang nanti,’ desis Munirah. Gerun dia apabila mengenangkan jika itu yang terjadi. Bukan dia tidak tahu, jika Shukri naik angin. Dia memerhatikan sekeliling rumahnya, bersih dan kemas. Memang boleh diharapkan juga gadis itu. Bukanlah dia begitu membenci Dayana. Sesiapa yang berada di tempatnya sekarang pasti akan merasa kecewa dengan apa yang berlaku. Keterlaluan pula apabila dia menuduh yang bukan-bukan terhadap Dayana tempoh hari. Tidak pula dia melihat perangai mengada-ngada dan gedik menantunya itu. Dia salah menilaikah?

            “Mak, Yana ada dalam bilik. Dia terlena agaknya. Mak nak Ammar kejutkan dia ke?” ujar Ammar.

         “Biarkanlah dia Ammar.” ujar Munirah. Sekejap sahaja tubuhnya hilang dari pandangan Ammar. Biarlah menantunya itu berehat sebentar. Baru hari pertama, prestasi gadis itu agak baik. Dia tidak mahu berlagak seperti ibu mertua di zaman dahulu. Kemodenan waktu haruslah seiring dengan komedanan teladan. Jadi, mengapa tidak dia mengikut apa yang suaminya syorkan? Bukan payah jika diselitkan sedikit sikap toleransi dalam dirinya.

            Ammar melangkah dengan senyap masuk ke kamarnya. Tidak mahu mengganggu lena isterinya. Dia menelan air liur saat terpandangkan tubuh yang sedang terdampar di atas tilamnya itu. Itukah Lily Dayana yang dikenalinya selama ini? Ternyata begitu ketara sekali perbezaannya. Dia melabuhkan duduk dengan perlahan di sisi katil. Matanya kini sedang merenung wajah Dayana. Tangannya, membelai lembut rambut ikal Dayana yang panjang itu.

            ‘Kau memang cantik. Berbaloi memiliki kau Dayana.’ kata hatinya. Ammar melentokkan kepala, masih enggan mengalih pandangannya dari Dayana. Leka dia memerhatikan keindahan wajah itu. Tangannya menguis rambut ikal yang hampir menutupi sebahagian wajah gadis itu.

            “Apa yang kau buat ni!” tinggi nada suaranya kerana terkejut. Terbeliak biji mata Dayana saat membuka matanya, hampir sahaja ia terkeluar dari soketnya. Terpampang jelas wajah Ammar di hadapannya yang hanya beberapa inci sahaja terpisah. Hatinya kepanasan, pantas dia bangun. Dicapai tudung kepalanya yang tersangkut di kepala katil, mahu menyarungkannya kembali. Tetapi tangannya ditahan.

            “Awak dah halal untuk saya. Tak payahlah nak tunjuk kealiman awak tu kat sini.” Selamba sahaja ayat yang keluar dari mulut Ammar. 

Dayana benar-benar geram dengan kelancangan mulut lelaki itu, mengatanya. Tanpa mahu menunggu lama, dia pantas melangkah. Kian bertambah kebenciannya terhadap Ammar. Lelaki itu memang patut diajar. Langkahnya terhenti di tengah jalan. Pantas betul tubuhnya dipintas oleh lelaki itu. Terundur sedikit tubuhnya. 

            “Saya nak minta maaf atas apa yang terjadi. Saya tahu sukar untuk awak maafkan saya. Percayalah, saya tidak pernah menyesal mengahwini awak. Saya berjanji, akan menjaga awak Yana dan saya tak akan benarkan mata awak mengalirkan air mata lagi. Awaklah kebahagiaan saya Dayana. Percayalah.” Begitu mudah dia melafazkan kata-kata itu selepas apa yang telah cuba dilakukan terhadap Dayana tempoh hari. Bagi Dayana Dayana, bukan senang untuk dia menerima semua itu.

 “Jangan mudah menabur janji sedangkan awak tahu hubungan kita ni masih tiada hala tujunya. Saya terima semua ini sebagai satu takdir yang sudah tertulis untuk saya. Tapi jangan ingat saya akan mengalah. Saya punyai cita-cita untuk dikejar. Saya yang akan mengubah takdir ini. Saya harap, awak takkan  menjadi penghalang kerana saya tak mahu kebencian terhadap awak akan terus sebati dalam diri saya untuk selamanya. Jangan paksa hati saya untuk terima awak. Ungkapan maaf awak, bukanlah penyembuh duka di hati saya.” Tegas Dayana.

“Tapi sampai bila Dayana? Sampai bila saya harus tunggu untuk awak maafkan saya? Teruk sangat ke saya ni? Jahat sangat ke?” Ammar hampir nanar. Begitu susah mendambakan cinta dari Dayana.

“Biarlah waktu yang menetukan. Biarlah rentak waktu itu seperti sekarang dan awak jangan sesekali mahu melajukannya. Bimbang, perkara lain yang akan terhasil pula.” Tegas Dayana. Dia lemas, selalu sahaja didesak oleh lelaki itu.

“Awak tak akan terlepas dari saya Yana. Awak milik saya..” tegas Ammar pula.

“Terserah..” balas Dayana dan dengan pantas meloloskan diri dari kamar lelaki itu. Dia perlukan ruang untuk bertenang. 

Dayana lebih gemar menghabiskan masanya di dapur. Tidak mampu untuk bertentang mata dengan Ammar. Setiap kali memandang walau hanya bayang lelaki itu, api kebenciannya kian marak. Ligat tangannya meguis kuih karipap yang sudah berwarna coklat keperangan itu ke dalam pinggan yang sudah dialaskan dengan beberapa keping tisu. 

“Amboi sedapnya bau. Dari luar lagi ayah dah boleh bau wangi karipap yang kamu goreng tu, Yana. Kalau bau pun dah sedap, rasanya apatah lagikan? Boleh ayah rasa satu?” Terus sahaja Shukri mengambil sebiji karipap yang telah siap digoreng itu terhidang elok di atas pinggan lalu dimasukkan ke dalam mulutnya. Dia mengunyah perlahan, menikmati keenakan air tangan menantunya itu.

Dayana yang sedang leka memasak itu langsung tidak sedar langsung dengan kemunculan ayah mertuanya itu, sedikit terkejut. Dia hanya tersenyum melihat telatah ayah mertuanya itu. Sah, latahnya sudah hilang sekarang.

“Hah, kan manis kalau menantu ayah ni selalu senyum. Sejuk saja mata memandang. Patutlah Ammar gila bayang kat kamu selama ini.” Seloroh Shukri namun kata-katanya itu membuatkan Dayana sedikit terkejut.

“Apa maksud ayah?” Dayana mengerut dahi. Shukri mengalihkan pandangan ke arah menantunya.

“Sebenarnya, Ammar memang sukakan Yana selama ni. Ayah tahu pun sebab terbaca diari dia secara tak sengaja. Penuh buku tu dengan gambar Yana. Habis semua isi hati, dia luah dalam tu. Sebab tulah, ayah setuju aje dengan cadangan pak uda kamu yang nak nikahkan kamu malam tu. Ayah tahu, Yana tak bersalah. Ammar dah ceritakan segala-galanya. Maafkanlah anak ayah tu Yana.” 

“Bukan senang untuk Yana maafkan dia ayah. Yana minta maaf..” kata-katanya dicelah,

“Ayah harap sangat Yana dapat lupakan semua tu. Tak baik berdendam lama-lama Yana. Terimalah Ammar dan keluarga ni seperti keluarga Yana sendiri. Izinkan kami mencurahkan kasih kepada kamu, nak. Ayah tak nak kamu merasa kekurangan kasih sayang lagi. Jangan ingat semua ni ayah buat kerana kesian atau simpati dengan nasib kamu. Ayah ikhlas, Yana. Ayah pasti, kamulah kunci kebahagiaan anak tunggal ayah tu.” Pujuk Shukri.

“Tapi, semua orang tak rasa apa yang Yana rasa. Yana rasa dikhianati oleh orang yang Yana percaya. Sekelip mata, hidup Yana berubah. Yana ada cita-cita sendiri tapi, bukan yang ni..” ujarnya sambil menunjukan sudip yang masih di tangan. Simbol kepada, ‘menjadi orang dapur’.

 “Jangan macam tu Yana. Yana boleh je sambung belajar lagi walaupun dah kahwin. Ayah tahu, Yana pelajar cemerlang kat sekolah. Ayah pun tak nak sekat kebolehan Yana dalam akademik. Ayah berjanji, akan menaja segala perbelanjaan kalau Yana nak melanjutkan pelajaran nanti. Cuma satu je ayah pinta, berilah peluang pada anak ayah itu Yana. Dia memang berhak dihukum. Semua manusia pernah membuat silap Yana.” Sambung Shukri lagi.  

Dayana mendiamkan diri. Termenung sebentar dia.

“Entahlah ayah. Yana malas nak fikir semua ni lagi. Yana tak boleh paksa hati untuk terima dia. Kerana dia terpalit titik hitam yang takkan hilang pada Yana. Sampai bila-bila orang akan kenang benda ni ayah. Yana...” Ujarnya dengan nada sebak.

“Yana. Tolong jangan cakap macam tu. Orang tua saya tak bersalah. Saya betul-betul minta maaf. Saya tak ada niat nak buat yang tak senonoh pada awak hari tu. Sungguh, saya tak tahu syaitan mana yang dah merasuk saya. Saya yang bersalah Yana. Maafkan saya,” tiba-tiba Ammar meluru ke dapur. 

Serentak palingan Dayana dan ayah metuanya terhala ke arah Ammar. lebih memeranjatkan lagi, dia sedang melutut. 

“Apa ni Ammar? Jangan nak memalukan diri. Saya bukannya patung untuk awak sembah macam ni. Tolong Ammar, berdiri.” Pinta Dayana yang kurang menyenangi perbuatan Ammar itu. Dari dahulu dia memang pantang kalau ada orang yang suka melutut begitu.

“Saya takkan berdiri. Saya akan begini selagi awak tak maafkan saya.” Tegas Ammar. Mata Dayana sudah membulat sekarang.

 “Jadi, memang Ammarlah yang salah.” kata suara itu dengan nada yang sangat kuat hingga mampu membuat mereka bertiga berpaling ke arahnya. Kelihatan membeliak mata masing-masing.
 

Post a Comment