Friday 7 June 2013

Bab 12



BAB 12

Dayana tidak tahu sudah berapa lama dia terlelap di sisi emak. Dia terjaga pabila tangannya tersentuh sesuatu yang sejuk. Sejuknya ibarat seketul ais. Dayana membuka mata, melihat tangannya di atas tangan emak yang sedang mengiring menghadapnya. Dia bingkas bangun, bersila menghadap emak. Cahaya samar-samar menerangi kamar tidur itu. Dari kesamaran itu, dia melihat mata emak terbuka sedikit. 

“Kenapa sejuk sangat tangan mak ni?” soal Dayana sendirian. 

“Mak..mak, bangunlah. Mak nak air tak?” bergerak-gerak tubuh emaknya apabila digoyang oleh Dayana. Emak langsung tidak menyahut. Dayana menggosok matanya yang agak kabur itu. Sebaik boleh dicelikkan matanya sekali lagi dia mencuba.

“Mak, bangunlah. Janganlah takutkan adik. Bangunlah mak,” ujar Dayana sekali lagi menggoyang tubuh kaku emaknya itu. Dia berhenti menggoyang tubuh emak, dada emaknya diperhatikan, lama. Dia tersentak!

“Kenapa dada mak tak turun naik ni?” soalnya sendiri. Sekali lagi dia menggosok matanya, emak dipandang. Dia benar-benar tergamam! Sah, dada emak memang tidak berombak langsung, mendatar sahaja.

“Takkan emak dah...” tidak sanggup Dayana mahu menghabiskan ayat itu. Terus sahaja dia berdiri dan dengan pantas berlari menuju ke tiang di mana terletaknya suis lampu. Dia memetik suis lampu itu dan cahaya terang mula menyinari kamar yang agak luas itu. 

Zainab dan Liana kelihatan terkejut. Terpinga-pinga mereka berdua.

“Kenapa ni dik? Buat orang terkejut je kau ni!” Sedikit marah nada Liana kerana merasakan tidurnya terganggu. Dia bingkas bangun dan duduk bersila. Dayana tidak menghiraukan pertanyaan Liana.

“Atuk, mak..mak. Dari tadi adik gerak mak, tak bangun-bangun pun. Atuk cepatlah tengok mak!” teramatlah cemas nada Dayana saat itu. Dia mendekati dan laju sahaja tangannya menarik lengan atuk. 

Zainab menuruti kehendak cucunya. Kerana rasa cemas yang menghambatnya, hampir sahaja dia jatuh tergolek tadi. Dia mendekati tubuh anaknya, Zakiah. Dia duduk berteleku di sisi anaknya itu. Terketar-ketar tangannya saat menyentuh hidung Zakiah. Jelas kelihatan dia sedikit tersentak. Dia memalingkan wajah ke arah cucunya Dayana. Muka Zainab kini pucat lesi.

“Dik, ko pergi panggil tok wan. Atuk tak tahu kenapa dengan mak ko ni? Cepat dik. Pergi panggil tok wan!” arah Zainab. Cemas nada suaranya.

Terus sahaja Dayana mencapai lampu suluh di tepi bantal atuk. Langkahnya dihayun ke pintu depan. Suis lampu yang terletak di tiang ruang tamu itu dipetik. Dia mendekati pintu, sebaik terkuaknya daun pintu itu, Dayana terkedu dengan hamparan suasana malam di hadapannya. Gelapnya suasana di laman atuk. Gelap yang sangat kelam. Selalunya dia amat takut dengan suasana malam di rumah atuknya itu tetapi tidak malam ini. Tidak tahu dari mana keberanian mengisi dirinya tanpa melangkah menuruni tangga, terus sahaja dia melompat ke bawah. Kasutnya disarung dengan pantas dan terus dia berlari menuju ke rumah tok wan yang terletak di sebelah rumah atuknya itu. Bagai mahu pecah pintu belakang rumah tok wan diketuk Dayana dengan bertalu-talu.

“Assalamua’laikum. Tok wan..oo tok wan! Cepatlah buka pintu ni. Mak..mak… tok wan! Cepatlah tok wan,” begitu mendesak nada suara Dayana. Ikutkan hatinya mahu sahaja dia merempuh daun pintu rumah tok wan itu. Sayup-sayup dari dalam rumah, kedengaran satu suara menyahut salamnya.

“Ya, tok wan datang ni. Kejap ya.” Sahut suara itu. Daun pintu dapur rumah itu terkuak. Wanita yang hampir usianya ke angka enam puluh itu menjengukkan kepala melihat ke luar.

“Lah, budak adik rupanya. Kenapa ni?” soalnya sebaik melihat susuk tubuh cucu jirannya. Dia mengerutkan keningnya melihat gadis hitan manis itu.

“Tok Wan, cepatlah! Jom tengok mak.” Kata Dayana lagi dan tanpa mahu berlengah, dia menyambar terus lengan wanita itu. 

“Eh, nanti kejap, tok wan tak pakai kasut lagi ni.” Kata Azizah. Langkah gadis muda itu terhenti.

Terkial-kial Azizah mahu menyarungkan seliparnya. Dayana yang melihat kesukaran itu menolong dengan membongkokkan sedikit tubuhnya lalu mengambil selipar itu dan diletakkan betul-betul di hadapan kaki tok wan. Selepas berjaya menyarung seliparnya, Azizah kemudiannya menuruti langkah gadis hitam manis itu.  

Azizah menghampiri tubuh Zakiah lalu duduk di sisi sebelah kanan wanita itu. Dia memandang wajah ibu tunggal itu. Bagi Azizah, Zakiah adalah wanita yang sangat tabah dan baik orangnya. Azizah menyentuh muka Zakiah, dada, leher, hidung dan mana-mana bahagian yang dia boleh rasakan nadi wanita itu. Dia kemudian menggelengkan kepalanya. Air matanya mula kelihatan bergenang saat itu. Dia sebak mengenangkan nasib kedua-dua anak Zakiah selepas ini. Zainab pula sudah tersandar di tepi dinding rumahnya.

Dayana sudah merasa kecut perut dengan gelengan dari tok wan itu. Tambah menggusarkan hatinya apabila melihat mata tok wan berair. Air matanya mula terbit. Dayana bungkam! Sedang di hatinya kini berdebar menantikan apa yang akan keluar dari mulut tok wan. Sudah bersediakah menerima kenyataan ini?

“Dah, sabor adik, akak. Mak korang dah tak ada. Sabor banyak-banyak ya cu.” Ujar Azizah. Sedikit sebak dia rasakan sebaik melihat kedua kembar itu seperti tercengang, termanggu-manggu seolah-olah tidak mengerti apa sebenarnya yang sedang berlaku. 

‘Kesian, muda-muda lagi dah jadi yatim piatu budak berdua ni.’ bisik Azizah dalam hati. Mengalir air matanya namun dengan cepat diseka.

Akhirnya, apa yang Dayana takuti kini benar-benar telah menjadi kenyataan. Ya, walau hatinya menidakkan emak sudah tiada namun semua itu bukan lagi realiti kerana hakikinya adalah emak telah pergi buat selama-lamanya. Dayana terduduk, memandang ke arah jasad emaknya yang terbujur kaku itu. Dia sempat menjeling ke arah jam di dinding rumah atuknya. Sudah pukul 12.30 malam rupanya sekarang. Dayana tidak tahu, sudah berapa lama emak menghembuskan nafas terakhirnya.

 “Adik, kakak. Tak baik menangis macam ni. Mari, tolong tok wan uruskan mak ko ni. Subuh nanti, tok wan panggil orang kampung. Jangan tinggalkan mak korang ni, ya. Duduk sebelah dia, baca Yassin banyak-banyak.” Pesan Azizah kepada budak berdua itu.

 ‘Mak…’ panggilnya dalam hati. Dayana hampir pitam. Patutlah kebelakangan ini emak banyak berpesan padanya. Dia menyangkakan emak sengaja berkata begitu, yalah berpesan-pesan sahaja. Rupa-rupanya emak sudah tahu yang ajalnya sudah hampir. 

‘Apa yang aku nak buat sekarang? Macam mana aku nak teruskan hidup tanpa emak?’ rintih Dayana sendirian. Fikirannya kini benar-benar kosong, kosong dan sekosong-kosongnya. Statusnya telah berubah dan kini gelaran yatim piatu telah disandang mereka.

“Ya Allah, berilah kekuatan kepadaku. Amat hebat dugaanMu ini, Ya Allah. Tingkatkanlah keimanan dan ketakwaanku padaMu. Kurniakanlah kesabaran dan ketabahan hati yang tinggi padaku dalam mengharungi liku-liku kehidupan di hari yang mendatang. Hanya kepadaMu aku berserah. Hanya Engkaulah yang Maha Mengetahui akan segalanya. Aku redha dan pasrah dengan segala ketentuanMu ini, Ya Allah. Tempatkanlah roh ayah dan emakku dikalangan mereka yang beriman. Ampunilah segala dosa-dosa mereka. Kasihanilah mereka sebagai mana mereka mengasihi ku. Amin.” Dayana meraup mukanya.

Dayana menangis sepuas-puasnya di sisi emak. Liana sedang memeluk emak dan menangis tersedu-sedan di atas jasad kaku itu. Dayana bingkas bangun apabila menyedari hakikat bahawa tidak elok jika terlalu menangisi pemergian orang tersayang. Dia mendekati tok wan yang sedang menatang sebuah besen kecil berisi air. Dia mengambil besen itu lalu diletakkan di sisi emak. Dengan bantuan tok wan, Dayana menyalinkan pakaian emak. Dia mengambil sehelai tuala bersih lalu mencelupnya ke dalam besen itu. Dia membuka baju yang dipakai oleh emak dengan cermat. Dayana memerah tuala itu, lalu mengelap tubuh emaknya perlahan-lahan. 

Setelah selesai mengelap emak, Dayana mengambil baju yang dihulurkan oleh atuk. Sempat dia mengerling ke arah Liana yang duduk berteleku di sebelah emak mereka. Dayana hanya membiarkan sahaja kembarnya begitu. Dia menyarungkan dengan baju baru itu ke tubuh emak dengan bantuan tok wan. Setelah siap dia menyalin pakain dan membersihkan tubuh emak, tok wan mengoyak sedikit kain putih yang dihulurkan oleh atuk. 

Azizah lantas mengarahkan Dayana supaya memegang tangan emaknya. Dikiamkan tangan Zakiah lalu diikat dengan tali putih itu. Setelah selesai mengikat kedua ibu jari kaki dan kepala Zakiah, dia mengambil sehelai kain batik lepas kepunyaan Zainab yang dihulurkan kepadanya lalu menyelimuti tubuh kaku Zakiah. 

Dayana baru perasan bahawa mata emaknya terbuka sedikit. Dia berselawat ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W. lalu meraupkan wajah emaknya dari dahi turun ke bawah. Alhamdulillah, akhirnya mata emak tertutup rapat. Kemudian sehelai selendang putih diambil lalu dia bentangkan menutupi wajah emak yang kelihatan seperti sedang tidur. Usai, Dayana berjalan menuju ke bilik air. Dia mahu mengambil wudhuk.

Bismillahirahmanirrahim. Yaassinn…” dia mengaji bersama Liana. Dayana duduk di sisi emaknya, membaca surah Yassin. Dia mahu menemani emaknya, membaca Yassin di sisinya untuk kali terakhir.  Ya bacaan Yassin terakhir di sisi emaknya dan bacaan Yassin di kemudian hari tidak lagi begini dan yang pastinya wajah tenang yang sedang terbujur kaku di hadapannya itu akan sentiasa dirindui untuk selama-lamanya.



No comments: