Friday 7 June 2013

Bab 13


BAB 13

Dayana sedang berjalan menuju ke rumah Tok Wahil, gelaran yang arwah emak berikan kepada isteri bekas guru mengajinya itu. Tok Mail, yang dahulunya juga merupakan penghulu kampung itu kini telah bersara kerana keuzuran. Dia memberi salam sebaik berdiri di depan pintu rumah Tok Wahil itu. Dari dalam rumah dia mendengar satu suara menyahut salamnya.

“Eh, ni bukan ke cucu Nab? Anak Yah kan? Kenapa ni? Atuk ko sihat ke?” soalnya bertalu-talu. Terkejut dia apabila yang menyedari wajah keruh gadis hitam manis itu. Hairan dia dengan kehadiran gadis itu pada waktu awal pagi begini. Dayana hanya mampu menganggukan kepalanya sahaja.

“Mak ko sihat ke?” Soalnya lagi. 

Mendengar sahaja nama emaknya disebut laju sahaja air mata Dayana mengalir. Wahil tergamam dengan reaksi gadis muda yang berkulit hitam manis itu. Dia mengerutkan keningnya.

“Kenapa ni? Ada apa-apa jadi ke kat rumah atuk ko tu?” soal wanita itu. Kini dia benar-benar sudah tidak sabar lagi mahu mengetahui apa sebenarnya yang telah terjadi kepada gadis itu.

“Mak dah tak ada tok. Mak dah meninggal malam tadi. Saya datang ni nak tumpang guna telefon. Atuk yang suruh. Saya nak telefon kawan-kawan mak kat JB tu. Boleh tak Tok Wahil?” soal Dayana dengan nada tersekat-sekat. Air matanya tidak henti-henti mengalir sejak dari malam tadi. Tangki air matanya masih belum surut lagi. Memang saat ini, air mata Dayana tersangatlah murah harganya. Mencurah-curah tanpa perlu dipaksa. 

Innalillahiwainnailaihirojiun. Sabor banyak-banyak ya cu. Tak sangka, dua hari lepas masa singgah kat rumah atuk ko, atuk ada sembang dengan mak ko. Macam tak percaya pula mak ko dah tak ada. Tak apalah, pergilah guna telefon tu. Nanti Tok Wahil minta anak tok beritahu kat orang kampung.” Kata Wahil. Terkejut dia dengan berita itu. pandangannya mnenyoroti tubuh gadis muda itu.

‘Kesian, tak sangka cepat benar Yah pergi. Anak-anak dia pun kecil lagi.’ desis ok Wahil. Dia mengesat air mata yang mahu meleleh dengan hujung bajunya.

Setelah selesai membuat panggilan telefon, Dayana meminta diri. Sebaik dia sampai di perkarangan laman rumah atuknya, kelihatan sebuah teksi di situ. Baru dia teringat, semalam emaknya ada menyuruh uncle itu datang untuk mengambil mereka pulang ke JB. Ya, sepatutnya hari ini mereka sekeluarga akan pulang ke JB. Laju Dayana menghayunkan langkah menuju ke arah teksi itu. 

Uncle. Saya minta maaflah sama uncle. Itu orang yang semalam booking teksi  uncle tak boleh balik hari nilah.” Kata Dayana. 

Lelaki berusia itu tersentak lalu memandang tepat ke wajahnya.

“Apa pasai...” soal uncle itu ringkas.

 “Macam ni uncle, emak saya tu dah meninggal malam tadi.” Balas Dayana yang mendatar sahaja nadanya. Jelas di mata Dayana melihat uncle itu terkejut dengan berita yang baru didengari olehnya.

Aiiya! Simalam hidup lagi, ini hali sulah mati ka! Manyak kesian wo. Tadak jadi pigi itu JB ini hali la. Tak apalah, saya pigi lulu wo.” Balas uncle itu. Pekat sungguh pelat Cinanya. 

Dayana hanya terdiam, tidak tahu apa yang perlu dia katakan. Dia hanya memandang sepi ke arah teksi yang sedang bergerak keluar dari laman rumah atuknya.  

Di dalam rumah Dayana melihat Liana bersama mak uda dan beberapa wanita lain sedang duduk di sisi jenazah emak, membaca surah Yassin.  Mak longnya pula hanya duduk di dapur sedang bersembang rancak dengan beberapa lagi tetamu di sana. Dayana menghulurkan tangan kepada tetamu yang ada. Ketika sampai giliran mak longnya, cepat-cepat dia menarik kembali tangannya tanpa sempat dia mahu mencium tangan mak longnya itu. Dayana sedikit terasa hati dengan tindakan mak long terhadapnya. Laju sahaja langkahnya dihayun menuju ke arah Liana untuk turut sama menyertai mereka membaca surah Yassin.  

Selang sejam kemudian, orang-orang kampung sudah mula memenuhi rumah Zainab. Kaum wanita mula berkumpul di dalam rumah manakala kaum lelaki di laman rumahnya. Dayana bergerak ke arah kaum wanita yang berada di dapur. Mereka agak sibuk dengan tugas masing-masing untuk menyediakan barang-barang yang akan digunakan untuk memandikan jenazah Zakiah. Salah seorang dari kalangan mereka, mengarahkan Dayana supaya menadah air ke dalam bekas sebanyak yang mungkin untuk proses memandikan jenazah. Tanpa berlengah, Dayana menuju ke bilik air, membuat apa yang telah diarahkan kepadanya. 

“Ish, cubalah jangan guna air paip tu banyak sangat. Jimat-jimatlah sikit. Teruklah aku nak membayar bil air lepas ni!” kata suara itu dengan nada yang agak keras. 

Suara amat dikenali hingga membuatkan Dayana tergamam! Dayana tidak tahu, sama ada wanita itu sedar atau tidak yang dia berada di situ? Mengalir air matanya. Benar-benar terhiris hatinya dengan ungkapan berbisa dari mak longnya itu. Kata-kata wanita itu seperti terkandung berjuta bilah pisau di dalamnya hingga mampu menghiris hati Dayana. Pedih, hiba, pilu... semuanya hadir bersatu. Sampainya hati mak long berkata begitu. Bukankah jenazah yang berada di atas itu adalah jenazah adiknya sendiri, darah dagingnya? Tergamaknya wanita itu.

Dia sebak. Mengapa seorang kakak tergamak melakukan sedemikian kepada adiknya? Apa salah emak pada mak long? Hati Dayana benar-benar luluh. Kalau diikutkan hatinya mahu sahaja dia melawan kata-kata mak longnya itu. Namun emak tidak pernah mengajar dia dan Liana untuk bersikap kurang ajar dengan sesiapa pun. Dayana cuba juga menyabarkan hati. Usai melaksanakan tugas itu dia terus sahaja melangkah keluar dari bilik air itu. Sebaik dia melintas di hadapan mak longnya, dengan jelas dia melihat mak long mencebik mulut kepadanya. Dayana membalas dengan menjeling dan terus sahaja berlalu. 

Dalam hati Dayana terlintas ‘Ya Allah, berdosakah tindakan aku itu?’.

Kira-kira jam 10.00 pagi, jenazah Zakiah mula dimandikan. Dayana dan Liana turut mengambil peluang ini untuk membantu. Ya, inilah mandian terakhir emaknya di dunia nan fana ini. Kolam air mata Dayana pecah lagi. Dadanya benar-benar sebak. Perutnya yang lapar langsung tidak dihiraukan. Dia mengusap lembut kepala emaknya yang sedang disiram dengan air. 

“Mak… sampai hati mak tinggalkan kami,” rintih Liana.

“Kakak, janganlah macam ni sayang. Tak baik meratapi pemergian orang yang kita sayang.  Ikhlaskan pemergian mak ko kak. Redha dengan ketentuan Illahi. Pak  uda dan mak uda berjanji akan jaga korang berdua.” Kedengaran Salmah cuba memujuk Liana, anak saudara sebelah suaminya yang memang dia sayangi sejak dari kecil berbanding yang seorang lagi. Liana memeluk tubuh Salmah. 

Dayana hanya memandang adegan itu dengan pandangan yang sayu. Liana memang beruntung kerana disayangi oleh atuk dan mak udanya. Hanya emak yang menyayangi Dayana lebih dari mereka. Dayana memandang wajah emaknya dengan juraian air mata. 

‘Mak…!’ Jerit Dayana di dalam hati.

Selesai jenazah Zakiah dikafankan, ahli keluarga terdekat diberi peluang untuk mengucup jenazahnya sebelum disembahyangkan. Apabila sampai ke giliran Dayana, dia bertindak menyeka air matanya yang sejak dari malam tadi tidak henti-henti mengalir. Dia menundukan wajahnya lalu bibir menyentuh dahi emak. Sejuk Dayana rasakan.  

‘Mak…’ rintihnya lagi. 

Betapa sayangnya hati Dayana mahu berpisah dengan emak. Hatinya meronta-ronta, tidak merelakan mereka membawa pergi jenazah emak. Namun, dia harus berfikiran waras demi Liana. Jika Dayana jatuh bagaimana nanti dengan Liana?

Jenazah Zakiah akhirnya telah selamat dikebumikan. Pusaranya terletak di tanah perkuburan yang tidak jauh dari rumah emaknya, Zainab. Dengan berat hati Dayana melangkah meninggalkan emaknya keseorangan di tanah perkuburan yang sunyi itu. Dayana melihat mak uda memapah Liana dalam dakapannya. Dayana kemudiannya menoleh kembali, hatinya merintih sebaik pusara emak dipandang.

‘Mak, adik akan kembali tengok mak nanti. Bersemadilah dengan aman mak.’ Dia meneruskan langkahnya dan yang pasti hari esok, seluruh hidup Dayana dan Liana akan berubah sepenuhnya.




Dayana tidak tahu sudah berapa lama perutnya langsung tidak diisi walau dengan secubit makanan. Seingatnya, sejak dari malam semasa mendapat tahu ketiadaan emak hinggalah hari merangkak malam seterusnya sebutir nasi pun langsung tidak jamah. Malam itu, ramai orang di rumah atuk. Jiran-jiran sekampung, sibuk menyediakan sedikit hidangan secara bergotong-royong untuk kenduri tahlil yang direncanakan akan bermula selepas Isyak nanti.

 Dari jauh Dayana melihat sepupunya, Iman berjalan menuju ke arahnya yang ketika itu sedang bersandar di tepi katil. Di tangan lelaki itu satu cawan ditatangnya. Dayana mengalihkan pandangan ke kanan, Liana kelihatan sangat lemah dan terbaring lesu di atas katil itu.

 “Dik, jom makan. Dari pagi tadi abang tengok kau tak makan apa-apa pun. Jomlah, ajak kakak sekali. Karang korang sakit susah  nanti. Sudahlah, mak ngah dah pun pergi, kita yang hidup ni kenalah teruskan hidup. Mesti roh dia sedih tengok korang macam ni.” Pujuk Iman. 

Mendengar sahaja nama emak mereka disebut, laju sahaja air mata mereka menuruni, membasahi pipi mereka. Dayana tahu sepupunya itu ikhlas memujuk tetapi nak buat macam mana memang dia benar-benar tiada selera buat masa ini. Bayangkanlah, bagaimana dia mahu menelan makanan dalam keadaan yang dijerut kesedihan seperti ini. Ingatan pada emak semakin kuat menyesak benaknya. 

 “Tak apalah Abang Iman. Adik tak ada selera nak makan. Adik rasa elok kalau abang ajak kakak je. Kalau adik lapar nanti, adik makanlah.” Balas Dayana acuh tidak acuh sahaja. Bukanlah niat dihatinya mahu berkelakuan begitu tetapi dia benar-benar tidak tidak tahu apa sebenarnya yang dia rasakan sekarang ini. Terasa hambar hidupnya sekarang. Seleranya benar-benar mati, terasa seperti selera makannya telah di bawa pergi entah ke mana. Kepalanya pula, terasa berdenyut-denyut. Dia mengurut dahinya bagi mengurangkan rasa sakit. Matanya juga terasa pedih dan bengkak kerana banyak menangis hari ini. 

“Aku pergi makan dululah dik. Perut aku dah sebu sangat ni. Jomlah bang, kita pergi makan. Tahulah adik kalau dia lapar nanti. Jomlah,” ujar Liana lalu menarik lengan Iman. Mereka berdua berlalu. Sempat lagi Iman menoleh ke arah Dayana namun gadis itu hanya memandang sepi ke arahnya. 

Sebaik Iman dan Liana berlalu, Dayana menoleh ke sebelah kanan lalu terpandang olehnya sepinggan kek span pandan terhidang di dalam dulang bersama lauk-pauk yang lain. Untuk orang masjid yang datang membaca tahlil barangkali. Lantas, Dayana mengambil sepotong kek lalu disuapkan ke dalam mulutnya. Dia kemudiannya meneguk secawan air teh yang telah di bawa oleh sepupunya tadi. Cukuplah dia rasakan kerana ketat tekaknya mahu menelan makanan itu. Dengan sedaya upaya, dicuba juga menelan makanan itu.

Dayana merasakan kepalanya sangatlah berat saat itu. Terasa seperti dihempap oleh seketul batu yang sangat besar. Macam-macam hal yang perlu dia fikirkan. Bagai mahu meletup sahaja kepalanya itu. Dia buntu! Buntu memikirkan apakah nasibnya dan Liana selepas ini. Kepada siapa mereka akan bergantung? Walau apa pun, Dayana perlu juga hadapi hari esok. Hari esok yang tidak tahu bagaimana perjalanannya? 

Kepalanya direbahkan ke atas sebiji bantal. Dia benar-benar kepenatan. Baru sahaja dia mahu terlelap, terasa bahu kirinya di sentuh lembut. Dayana terjaga. Dengan bersusah payah dia cuba membuka matanya yang melekat kuat seperti diletakkan gam cap UHU pula. Dayana memandang sesusuk tubuh yang melutut di hadapannya itu. Dayana langsung tidak perasan siapakah dia kerana cahaya yang agak samar-samar di dalam bilik itu. Pandangan matanya juga agak kabur, mungkin kerana terlalu banyak menangis sepanjang hari ini. Tiba-tiba sahaja empunya tubuh itu memeluknya. Dalam keadaan yang masih mamai, Dayana hanya membiarkan sahaja. 

“Kesian kau Liana. Kau kena kuatkan semangat kak. Aku ada untuk jaga kau,” Dayana mengatakannya. Dia menyambung kembali lenanya sebaik melihat ‘Liana’ itu melangkah keluar.

No comments: