Saturday 15 June 2013

Bab 14



BAB 14

Para tetamu yang datang untuk majlis tahlil di rumah Zainab sudah lama pulang dan kini yang tinggal sekarang hanyalah keluarga terdekat yang sedang berkumpul di ruang tamu rumahnya. Dayana dan Liana saling duduk berdekatan satu sama lain. Kedua-dua mereka kelihatan sangat lesu, lemah dan tidak berdaya.  

“Hah, sekarang macam mana dengan budak berdua ni! Aku tak nak jaga anak-anak Yah ni.” Zaleha memulakan bicara. Digolek-golekkan tangannya memberi isyarat yang dia memang tidak sudi menjaga kedua kembar itu. Bagi Zaleha, jika emak mereka pun dia tidak suka apatah lagi anak-anaknya. 

‘Apalah mak long ni? Macamlah aku nak sangat tinggal dengan dia. Kalau dia pelawa aku sekalipun, tak hingin aku.’ Desus hati Dayana.

“Apa ni Leha? Tak baik cakap macam tu. Kesian kat budak berdua ni. Diorang dah jadi yatim piatu sekarang ni Leha. Hanya kita je yang diorang ada. Setakat nak jaga diorang berdua ni, abang masih mampu lagi.” Bakri bersuara. Dia tidak berpuas hati dengan kelakuan isterinya itu yang terang-terngan menunjukan rasa benci kepada anak-anak Zakiah. Tidak habis-habis dengan dendamnya itu. Bakri sudah tidak tahu bagaimana lagi cara untuk dia memadamkan api dendam dalam diri isterinya itu.

“Eh..eh awak ni. Jangan nak memandai pula. Macam nilah, kalau ko tak kisah Karia, ko ajelah yang jaga diorang ni. Lagipun bukan apa, aku tak nak nanti huru-hara pula rumahtangga aku. Yalah, manalah tahu pisang berbuah dua kali. Cukup-cukuplah kalau dulu mak diorang buat angkara kat aku.” Balas Zaleha sambil menjeling ke arah anak-anak Zakiah yang sedang duduk bersila tidak jauh darinya. 

Mendengar sahaja ungkapan itu, Dayana sedikit terkejut namun cuba dikawal dengan sepenuh hati. Apa semua ni? Apa maksud kata-kata mak long itu? Huru-hara apa pula ni? Berkerut keningnya.

“Kak Leha ni, tak habis-habis nak mengungkit hal lama. Kan semuanya salah faham je. Perkara lama kak. Akak pun bahagia dengan Abang Bakri kan, apa lagi yang akak tak puas hati ni? Abang Bakri pun dah jelaskan yang dia anggap Yah tu macam adik dia. Sudah-sudahlah Kak Leha. Yah dah tak ada sekarang. Sepatutnya kita yang masih hidup ni, tambahkan amal ibadat. Banyak-banyaklah bertaubat. Biarlah Yah pergi dengan aman kak. Amanah dia ni, kita kena jaga.” Lantas jari telunjuk Zakaria dihalakan tepat ke arah kembar itu. 

 “Leha..Leha. Sampai bila Leha nak berdendam dengan Yah. Abang dah lama buang perasaan abang pada Yah. Bukan salah Yah pun. Berapa kali abang nak terangkan pada Leha yang abang hanya anggap dia macam adik abang. Dua puluh lapan tahun kita kahwin Leha, takkanlah itu pun masih tak cukup untuk abang buktikan cinta abang pada Leha? Tak baik berdendam Leha. Takut lama-lama nanti dendam tu akan makan diri Leha.” sampuk Bakri. Dia betul-betul hairan dengan isterinya itu yang terlalu berdendam dengan Zakiah sedangkan telah lama hal itu berlalu. Masing-masing sudah ada keluarga dan bahagia dengan pilihan mereka sekarang. Bakri menggelengkan kepalanya.

“Ah, Leha tak kira! Abang jangan memandai tawar diri nak jaga budak berdua tu. Biar Karia aje yang uruskan. Yang mak pun, jangan nak sibuk suruh diorang duduk dengan mak pula. Ingat mak, makan pakai mak Leha yang tanggung.” Sempat lagi Zaleha mengungkit dan mengugut emaknya. 

Zainab menundukkan wajah, hatinya terasa sebak dengan kata-kata Zaleha itu. Dia hanya menggeleng perlahan kepalanya. Dayana nampak, bagaimana atuknya menyeka air mata yang mula tumpah dari kolam mata tuanya dengan hujung lengan baju. Sampai hati mak longnya. Kalau tidak sudi mahu menjaga mereka sekalipun, janganlah sesekali mengecilkan hati atuk. Lagipun bukannya Dayana dan Liana mahu sangat tinggal dengan mak long apatah lagi dengan pak uda dan atuknya. Mak longnya pula yang perasan lebih.

“Tak apalah Kak Leha. Arwah Yah memang ada pesan pada saya. Dia memang suruh saya tengok-tengokan budak berdua ni kalau dia dah tak ada nanti. Hari tu, saya ingat dia bergurau, tak sangka memang dia tinggalkan kita untuk selamanya.” Sedikit sebak nada Zakaria itu. 

Sebaik sahaja Zakaria menghabiskan ayatnya itu, kedua beradik kembar itu terus sahaja kembali menangis. Zuraidi, Iman dan Zulaikha turut sama bergenang air mata mereka. Salmah mendekati Liana, mendakapnya. Dayana memandang dengan menggunung perasaan sedih. Terasa keseorangan dia di saat ini. Dia rindukan dakapan emaknya. Dayana sebenarnya perasan bagaimana mak long menghalang anaknya Zulaikha dengan memegang tangan gadis itu sambil menggelengkan kepala kepada Zulaikha yang cuba mendekati dirinya. 

‘Apa yang perlu aku lakukan sekarang? Ya Allah, berilah petunjuk kepadaku supaya aku dapat membuat keputusan yang terbaik untuk kami berdua.’ Rintih Dayana dalam hati. Tiba-tiba dia teringatkan emak. 

‘Mak… kenapa tinggalkan kami?’ Dia meraung dalam hati.

 “Baguslah kalau dah macam tu. Kau kan adik kesayangan dia, jadi memang ko lah yang layak untuk menjaga diorang ni. Belakang hari, pandai-pandai ko lah ya.”  Tegas Zaleha. Sempat lagi Zaleha menghadiahkan satu lagi jelingan yang tajam ke arah anak-anak Zakiah itu. 

Dayana yang perasan akan jelingan tajam itu menarik nafas yang agak dalam, mengumpul sedikit kekuatan. Nampaknya, dia perlu bersuara. Sampai bila dia harus berdiam diri apabila dirinya diperli dan dihina oleh mak longnya itu? Sampai bila dia harus biarkan keluarganya diperkotak-katikan?

“Adik minta maaflah sebab mencelah. Macam nilah pak uda. Kalau betul pak uda sayangkan kami, pak uda janganlah susahkan diri. Mak pernah kata, sesusah mana pun kita, jangan sesekali menyusahkan orang. Pak uda, adik rasa baik hantar kami kat rumah anak-anak yatim je. Susah senang, biarlah kami hadapi sendiri.” Entah bagaimana, tiba-tiba datang satu keberanian di dalam hati Dayana untuk berkata begitu. Dia kasihankan pak udanya itu. Kerjanya hanyalah sebagai seorang posmen sahaja. Manalah pak udanya mampu hendak menanggung dia dan Liana sedangkan Abang Iman pun masih belajar lagi.

 “Janganlah cakap macam tu dik. Pak uda ikhlas nak jaga korang. Lagipun, arwah mak korang dah amanahkan pada pak uda supaya tengok-tengokkan korang.” Dia cuba memujuk anak saudaranya itu. Baginya Liana seorang yang akan menurut sahaja tetapi gadis hitam manis ini agak tegas orangnya dan pandai memberi pendapat yang memang jarang sekali boleh disangkal walaupun nampak sahaja seorang yang pendiam.

 “Macam yang pak uda kata tadi, arwah mak cuma suruh tengok-tengokkan kami bukannya suruh jaga. Maaf, adik bukan nak loyar buruk tapi adik tahu mak macam mana orangnya. Pak uda bayangkanlah kalau pak uda gagal jaga kami dengan baik, macam mana agaknya? Mesti mak sedih bila roh dia balik tengok keadaan kami tak macam yang dia harapkan. Bukanlah adik nak kata kalau duduk kat rumah anak yatim tu semuanya sempurna. Sekurang-kurangnya, nasib orang yang yatim piatu macam kami ni terbela. Janganlah pak uda terasa hati pula. Pak uda memang seorang yang baik pada kami berbanding yang lain. Tak terbalas rasanya jasa pak uda sekeluarga. Banyak sangat pertolongan yang pak uda hulurkan pada kami selama ini.” Balas Dayana dan dia berharap semoga pak uda dapat memahami maksudnya itu.

 “Hah, Karia! Dengar tu. Dah dia kata nak tinggal kat rumah anak yatim, bagi ajelah. Yang ko nak susahkan diri tu kenapa?” Zaleha mengeluarkan lagi kata-katanya yang berbisa itu. Berdesing telinganya apabila diperli sedemikian oleh gadis hitam manis itu. Kecil-kecil sudah pandai perli-perli orang. Boleh tahan biadap juga budak ini. 

Zakaria hanya menundukkan mukanya. Salmah pula tersandar di kerusi sambil memicit kepalanya manakala Iman memandang ke arah gadis hitam manis itu dengan mata yang tidak berkelip. Terkejut dia dengan jawapan Dayana yang tidak disangka-sangka itu. Sangka Iman, dia akan menerima pelawaan abahnya untuk tinggal bersama mereka.

Masing-masing terdiam. Air mata Zainab meleleh ke pipinya yang berkedut itu. Dia sebak, mengenangkan nasib cucu-cucunya lebih-lebih lagi, Liana. 

“Pak uda, keputusan adik muktamad. Rasanya kakak pun akan setuju, kan kak?” Dayana langsung menoleh ke arah Liana yang sedang dalam dakapan mak udanya itu. Lambat-lambat Liana mengangguk. 

“Satu je adik nak minta tolong. Harap pak uda dapat carikan rumah anak yatim untuk kami. Adik harap, pak uda faham dengan niat adik ni. Tolonglah pak uda, ya.”  Tegas Dayana. Memang dia tidak sanggup tinggal dengan pak udanya. Dia segan benar dengan anak lelaki tunggal pakciknya itu. Dayana nampak bagaimana pak udanya mengeluh panjang. 

Zakaria termenung seketika, memikirkan cadangan anak saudaranya itu. Berat rasa hatinya hendak mengikut cadangan anak saudaranya yang seorang itu. Namun setelah dia menimbangkan beberapa aspek, dia terpaksa juga bersetuju. 

“Yalah adik, kakak. Kalau dah itu yang ko nak, pak uda akan cari rumah anak yatim untuk korang. Pak uda harap korang dapat sesuaikan diri nanti kat sana. Pintu rumah pak uda sentiasa terbuka untuk korang.” Kata Zakaria dan sekali lagi mempelawa anak saudaranya itu ke rumahnya. Manalah tahu, gadis hitam manis itu akan betukar fikiran.

“Terima kasih pak uda. Kami pun bukan selamanya di sana, cuti je kami baliklah sini. Pak uda pun boleh pergi jenguk kami kat sana juga, kan? Keputusan adik muktamad pak uda, kami akan tinggal kat sana.” Sekali lagi Dayana menegaskan pendiriannya itu.

Zakaria tahu, gadis hitam manis itu seperti arwah kakaknya, Zakiah yang keras kepala. Dia tahu memang tidak boleh lagi memujuk Dayana untuk berubah fikiran, dia terpaksa juga akur dengan keputusan gadis itu. Betul juga seperti kata anak saudaranya itu. Isterinya kurang senang dengan Dayana dan terlalu melebih-lebihkan Liana. Pasti suatu hari nanti akan ada masalah yang timbul kelak. Kasihan pula Zakaria pada gadis berkulit hitam manis itu.

“Betul ke pak uda, kalau kakak tak serasi tinggal kat sana nanti bolehlah kakak duduk dengan pak uda?” Tiba-tiba sahaja Liana bersuara. 

Dayana terus sahaja memandang ke arah kembarnya itu. Matanya dibesarkan. Liana dengan pantas memalingkan muka, takut dengan jegilan Dayana. Walaupun dia kakak namun dia tidak berani melawan kata-kata Dayana kerana bagi Liana, Dayana seorang yang tegas tidak seperti dirinya yang mudah terikut-ikut.

“Ya kakak, mak uda sangat mengalu-alukan kedatangan kakak ke rumah. Ingat, beritahu mak uda kalau kakak tak serasi kat sana. Jaga diri bila dah ke sana nanti. Insya Allah, mak uda akan selalu telefon kakak kat sana ya.” Ujar Salmah lalu mengusap lembut belakang badan Liana sambil menghadiahkan sebuah senyuman kepada anak saudara yang amat dia sayangi itu. 

Zainab yang hanya menjadi pemerhati dari tadi lagi hanya duduk berdiam diri sahaja. Hatinya sebak, dia sedih apabila mengenagkan nasib cucu-cucunya itu. Andai dia punyai kuasa dan kudrat, mahu sahaja dia yang menjaga mereka berdua. Walaupun dia membeza-bezakan kasih antara kedua cucunya itu namun dia sayangkan mereka berdua. Bukanlah dia membenci terus cucunya yang berkulit hitam manis itu tetapi entahlah mungkin lumrah manusia biasa sepertinya hanya sukakan yang cantik sahaja.

Suasana sepi seketika di mana masing-masing sedang melayan perasaan. Dayana hanya memandang ke arah Liana dan mak udanya. Sumpah, saat ini perasaan cemburu dan iri hati dengan layanan berat sebelah oleh mak udanya itu sudah mula terbit. Kadang-kadang pernah dia mempersoalkan takdir, mengapa harus ada perbezaan antara dia dan Liana? Menyedari berdosanya diri apabila bersikap begitu dengan pantas Dayana beristighfar, cuba menjauhkan segala hasutan syaitan yang suka menyesatkan manusia. Satu sahaja yang Dayana pegang iaitu Allah S.W.T ada bersamanya.  

“Kalau dah tak ada apa-apa, aku nak balik. Pandai-pandai engkolah Karia nak uruskan budak berdua ni. Leha balik dululah mak. Ingat pesan Leha tadi.” Sempat lagi Zaleha mengingatkan emaknya. Sambil berjalan ke muka pintu, dia mencebik lagi mulutnya ke arah dua beradik kembar itu. 

“Mak, saya balik dulu ya. Maafkanlah Leha ya mak. Bakri harap mak tak ambil hati dengan apa yang dia kata tadi.” Lembut nada Bakri lantas diraih tangan emak mertuanya itu lalu menundukkan kepala, mencium tangan wanita tua yang banyak berjasa itu. Zuraidi dan Zulaikha turut sama mengikut perlakuan ayah mereka.  

Mereka kemudiannya memandang Dayana yang dari tadi hanya memerhatikan tingkah laku mereka. Pandangan mereka kemudian bersatu. Zuraidi tersenyum pada Dayana lalu dia mengangkat ibu jarinya. Dayana dapat memahami gerak bibir abang sepupunya itu yang mengucapkan ‘semoga berjaya’ kepadanya. Kakak sepupunya pula melambai sambil mengukir sebuah senyuman manis pada Dayana. Mereka sebenarnya sangat baik tetapi faham-faham sahajalah dengan perangai mak long Dayana itu.


No comments: