Wednesday 3 July 2013

Bab 15



BAB 15

Hampir dua jam Dayana berbaring. Kepalanya ditoleh ke arah atuk, mak uda dan Liana yang tidur besama-sama di sudut lain. Telah lama mereka tidur. Perlahan-lahan hadir perasaan sayu di dalam hatinya melihat panorama itu. Kini, hanya dia sahaja yang masih segar mata dan sudah puas dia memaksa matanya supaya tidur namun gagal. Mungkin kerana dia sudah terlelap selepas waktu Maghrib tadi maka menyukarkan lagi keadaannya sekarang. Sekejap dia mengiring ke kiri dan sekejap ke kanan. Doa tidur yang sudah berpuluh-puluh kali dibacanya, itu belum lagi dicampur dengan ayatul Kursi tetap sahaja dia masih berjaga.

 Peristiwa yang berlalu tadi masih kuat menyesak ke benak Dayana. Dia juga merasa serba salah dengan pak udanya itu. Dia benar-benar tidak mampu untuk memenuhi pelawaan bapa saudaranya itu atas alasan yang benar-benar kukuh. Dia sayangkan hubungan kekeluargaan yang masih sempurna itu, terbina antara dia dengan keluarga pak udanya. Apabila memikirkan ranjau yang akan dia hadapi kelak antara dia dengan anak lelaki pak udanya itu, lebih baik dia menolaknya sekarang. Dia risau dengan perubahan laku sepupunya itu sejak akhir-akhir ini.

Lalu, dia mengambil keputusan untuk bangun. Dayana mula mengatur langkah perlahan-lahan menuju ke dapur, ingin membasahkan tekak yang dirasakan sangat kering ketika itu. Mungkin kerana perutnya yang kosong menyebabkan dirinya sukar untuk lena. Pedih terasa kelopak matanya saat itu. Selera makannya tetap tiada. Sebutir nasi langsung tidak dijamahnya hari ini. Selepas mencapai gelas yang berada di rak pinggan, dia melangkah pula menuju ke meja makan.

Dengan perlahan Dayana menarik kerusi kayu yang agak berat itu supaya tidak menghasilkan sebarang bunyi bising kerana bimbang akan terganggu lena mereka yang lain lalu melabuhkan punggung di atasnya. Sebotol air masak berada dalam genggamannya disengetkan lalu terjunlah air masak di dalam botol itu ke dalam gelas yang dipegangnya. Dia meneguk sedikit demi sedikit hingga habis segelas air itu. Terasa sebu perutnya yang sedang kosong. Berbunyi-bunyi, menghasilkan pelbagai rentak. Dayana sendawa kecil. Dia menutup mulutnya dan tergelak sendirian. Lucu dengan gelagatnya itu. Bagaimana dengan hanya meminum segelas air kosong boleh sendawa pula?

Tiba-tiba wajah emak mula memenuhi ruangan memori kepalanya. Wajah yang akan dirinduinya. Air matanya kembali mengalir lagi. Tidak kering lagikah tangki air matanya itu? Hatinya diruntun pilu, terbayang-bayang wajah emak sewaktu dia menolong makcik-makcik tadi memandikan jenazahnya. Kini dia melentokkan kepalanya di atas meja itu. Dayana teresak-esak, terhinggut-hinggut bahunya mengikut rentak esakan halusnya itu.

“Adik, janganlah macam ni. Jangan buat abang susah hati, sayang.” Tiba-tiba suara itu berbunyi memecah kesunyian malam. 

Dayana tersentak lalu mengangkat kepalanya memandang ke empunya suara itu. Terbuntang matanya ketika ini. Mujurlah dia telah menelan air masak yang diminumnya tadi kalau tidak, pasti sudah tersembur air itu ke muka lelaki yang sedang berdiri begitu dekat dengannya. Hanya beberapa inci sahaja jarak antara mereka terpisah. Kali ini, dia benar-benar tidak menyangka sama sekali bahawa lelaki itu sudah berani memegang tangannya pula. Apabila Dayana yang tersedar akan perbuatan kurang manis lelaki itu dengan pantas dia menarik semula tangannya. 

 “Ya Allah, lindungilah hambaMu ini dari segala perbuatan yang mungkar.” Dayana memanjatkan doa. Hatinya berdebar-debar, kurang enak rasanya.

“Eh tak tidur lagi ke bang? Terkejut adik. Kalau tak ada apa-apa, adik masuk tidur dululah ya. Assalamua’laikum, selamat malam,” selesai mengucapkannya terus sahaja Dayana bangun. 

Baru sahaja dia mahu menapak lelaki itu lantas menarik lengannya. Disebabkan tarikan tiba-tiba itu, imbangan badannya goyah lalu dia jatuh terduduk di atas riba Iman. Tanpa sempat Dayana mahu berbuat apa-apa, lelaki itu memeluknya. Dia tergamam seketika! Setelah menyedari kelakuan kurang sopan lelaki itu dengan kasar Dayana menolak tubuhnya, terus sahaja dia bangun. 

“Abang minta maaf dik. Abang tak sengaja. Ingatkan kau dah boleh terima abang, rupanya masih keras hati kau dik. Janganlah macam ni, terimalah abang dik. Abang akan jaga adik selagi hayat dikandung badan. Abang sayangkan kau dik. Abang tak sanggup berjauhan dengan kau. Perlu ke kau tinggal kat rumah anak yatim tu?” Kata Iman dan tanpa menunggu lama dia bangun dan melangkah menuju ke arah gadis yang dia sayangi itu. 

Iman berjaya memintas, menyebabkan Dayana berundur sedikit. Langkahnya terhenti kerana belakang tubuh sudah pun menyentuh dinding. Hati Dayana sudah berasa cuak dengan tindak-tanduk sepupunya yang semakin berani sekarang. Nampaknya Iman telah melampaui batasan. Hati Dayana sudah kepanasan.

“Jangan buat macam ni bang. Tak malu ke kalau orang nampak.” Tegur Dayana.

“Kenapa nak malu? Tadi, elok je adik bagi abang peluk.” Ujar Iman.

Terbeliak mata Dayana  sebaik mendengar kata-katanya.

“Hah. Bila?” soal Dayana. 

“Masa adik terlena tadi. Abang tahu, kau memang sayangkan abang,” tidak sempat dia menghabiskan ayatnya,

“Apa! Ya Allah Abang Iman. Nama aje Iman tapi perangai macam orang tak beriman je. Ingatlah sikit dosa pahala. Abang tak kesian ke kat adik? Mak baru je meninggal. Kalau orang nampak apa yang abang buat tadi, tak ke jadi isu hangat? Apa kata orang nanti bang? Abang suka ke orang mengata adik?” Dayana mula menangis. Terasa seperti dirinya sudah tercemar. Dia tidak dapat menerima semua itu.

Iman meraup mukanya dan beristighfar.

“Ya Allah, apa aku dah buat ni? Maafkan abang dik. Abang..abang tak dapat kawal perasaan tadi. Abang terlalu sayangkan kau, dik. Biar abang beritahu abah, minta abah kahwinkan kita sekarang juga. Abang nak jaga kau. Abang tak sanggup tengok adik tinggal kat rumah anak yatim tu. Abang nak adik sentiasa di sisi. Adik tahu tak betapa terseksanya hati abang tengok kesedihan kau sejak mak ngah meninggal ni? Kenapa tak terima pelawaan abah tinggal dengan kami? Kenapa sayang?” semuanya dihamburkan. Iman benar-benar mendambakan cinta dari gadis mulus itu.

 “Abang Iman dah gila ke! Jangan nak buat kerja bodoh, boleh tak? Adik masih sekolah lagi. Adik sayangkan Abang Iman hanya sebagai seorang abang, tak lebih dari itu. Jadi, tolong jangan paksa adik! Kepala adik ni tengah serabut sekarang.” Bentak Dayana lagi.

“Abang sayangkan kau dik.” Rayu lelaki itu yang semakin merapatinya.
 
“Jangan nak tambah beban kat bahu adik. Apa yang adik fikir sekarang ni masa depan kakak. Adik tak boleh pentingkan diri sendiri. Kenapa adik tak nak terima pelawaan abah abang tu, Abang Iman fikirkanlah sendiri jawapannya.” Tingkah Dayana, sedaya upaya cuba mengawal nada suaranya. Kecoh pula nanti kalau dia terpekik-pekik malam-malam buta begini.

“Lily Dayana, tolonglah jangan seksa abang sayang. Kau cuma kata ‘ya’ je, yang lain abang akan uruskan. Tolonglah sayang,” rayu lelaki itu lagi dan kali ini dia sudah melutut pula.

“Gila! Abang memang dah gila.” Hambur Dayana yang geram dengan kelakuan sepupunya itu. 

“Adik..” panggil Iman sebaik melihat Dayana semakin menjauh. 

Dayana yang enggan melayan kerenah lelaki itu terus sahaja berlari menaiki tangga menuju ke tempat tidurnya. Langsung dia tidak hiraukan mamat ulat bulu yang sedang melutut itu. 

“Apa, dia ingat aku ni patung berhala ke sampai kena melutut macam tu?” gumamnya lagi. Dayana menyelimuti seluruh tubuhnya dengan selimut dan menangis sepuas-puasnya dengan nada perlahan. Dia tidak mahu esakannya itu menganggu yang lain lebih-lebih lagi mak udanya itu. Apa yang akan dia jawab nanti kalau makciknya itu menanyakan soalan ‘kenapa kau menangis?’

Sampai hati Iman memperlakukan Dayana begitu. Sudahlah emaknya baru sahaja pergi meninggalkan dunia nan fana ini. Dayana tidak faham dengan abang sepupunya itu. Mengapa harus dirinya yang dikejar sedangkan dia langsung tiada hati terhadap lelaki itu. Bukanlah Dayana seorang yang terlalu memilih atau cerewet malah dia sedar diri yang dia bukanlah secantik mana. Masih banyak lagi wanita yang lebih layak untuk lelaki itu di luar sana. 

Mujur dia menolak pelawaan pak udanya tadi. Kalau dia menerima, entah apa lagi yang akan lelaki itu buat. Terasa ingin sahaja dia menjerit sekuat-kuat hati bagi melepaskan apa yang terbuku di dalam hatinya saat itu tetapi dia tidak mampu. Dia sudah tidak tahu lagi kepada siapa mahu dia adukan nasib? Kalau dahulu emak selalu mendengar rintihan hatinya dan sekarang? Dayana memejam mata serapat-rapatnya. Dia perlu tidur sebentar dan dia berharap agar apabila dia bangun pagi nanti, semua ini akan lenyap. Biarlah semua yang terjadi tadi berlalu umpama mimpi buruk.



No comments: