Monday 19 August 2013

Bab 21



BAB 21

            Sambil mengatur langkah, luas matanya memandang, memerhatikan keadaan sekeliling. Perjalanan dan pemandangan yang hampir sama dilaluinya dahulu ketika mahu ke sekolah. Berlainan kali ini, banyak sekali pokok kelapa sawit dan ladang getah memenuhi kelopongan sesetengah tempat. Suasana pagi yang begitu mendamaikan dengan kenyamanan dan kesegaran udaranya. Tadi, Dayana melihat adik-adik yang bersekolah rendah dikawal oleh seorang warden lelaki semasa mahu melintas jalan menuju  ke sekolah mereka. Bagi mereka yang dah besar ni, pandai-pandai sendirilah.

“Hai, saya Rathi. Awak ni budak barukan?” sapa seseorang lantas tangannya dihulur pada Dayana.

Mujur baik tidak terkeluar latahnya. Dayana melihat tubuh empunya suara yang menegurnya tadi. Seorang pelajar perempuan berketurunan India. Dayana menyambut huluran tangan gadis tersebut dengan sedikit senyuman terukir di bibir mugilnya. 

‘Kenapa uniform sekolah dia lain warnanya?’ Soal Dayana dalam hati sambil mengerutkan kening. 

“Kau ni Rathi, buat terperanjat aku je.” Kata Iza. Rathi mempamerkan sengihnya.

 “Yana, ni Rathi Pillai. Kalau kau nak tahu, dia pun ada kembar macam kau juga. Tapi kembar dia lelaki, Ramesh Pillai. Diorang ni sekelas dengan aku.” Terang Iza. 

Kelihatan Rathi tergelak kecil. Dayana senyum padanya dan mereka kembali melangkah beriringan bersama. Sepanjang perjalanan itu, boleh tahan becok juga mulut Rathi bercerita serba sedikit tentang itu dan ini. Yang paling penting sekali, Rathi sangat fasih berbahasa melayu. Tidak begitu kekok dia dengan Rathi disebabkan keramahan yang gadis itu tunjukkan.

Dari kejauhan, Dayana nampak pintu pagar sekolah barunya. Semakin hampir langkah mereka, semakin tersergam indah bangunan sekolah barunya itu. Nampaknya, semua bagunan baru kerana pertama kali dibuka tahun ini. Tidak ramai pelajar di situ. Memang sangat ketara perbezaannya dengan sekolah lamanya di bandar yang mempunyai ribuan pelajar hingga terpaksa dibahagi kepada dia sesi.

Bukan susah mahu mengecam Dayana dan Liana sebagai pelajar baru. Sepanjang perjalanan mereka ke bilik guru, nampak kelompok-kelompok pelajar di situ berbisik sesama sendiri. Panorama biasa jika ada sesuatu yang baru di satu tempat. Sampai sahaja di bilik guru, kelihatan tuan pengetua sekolah baru mereka sedang menanti. Itu pun, Rathi yang menunjukkan pemunya tubuh tuan pengetua semasa perhimpunan tadi. Rupa-rupanya, hari-hari ada perhimpunan di sini. 

 “Saya Cikgu Ayob, pengetua di sini. Untuk pengetahuan kamu, di sini hanya ada dua kelas untuk tingkatan empat sahaja. Aliran yang ada hanyalah aliran sastera dan perakaunan sahaja,” Sambung tuan pengetua lagi,

“Kelas 4 Perakaunan di mana subjek elektifnya adalah Prinsip Akaun, Sastera, Pendidikan Seni dan Perdagangan. Manakala kelas 4 Ekonomi pula subjek elektifnya ialah Ekonomi Asas, Perdagangan, Sastera dan Pendidikan Seni. Saya dah lihat keputusan PMR kamu berdua. Tapi, sayang juga kerana kita tiada aliran sains di sini. Siapa Lily Dayana?” Tanya Cikgu Ayob. Dayana mengangkat tangan kanannya.

 “Sayang sedikit Dayana. Dengan keputusan cemerlang kamu, sepatutnya kamu ambil aliran Sains. Memandangkan sekolah ini baru di buka dan jumlah pelajar juga tidak ramai, kami hanya mampu menyediakan dua aliran ini sahaja. Saya harap kamu dapat membuat pilihan yang baik. Di kiri saya, Cikgu Zarina merangkap guru kelas 4 Perakaunan dan di kanan saya pula Cikgu Wahid, guru kelas 4 Ekonomi.” ujarnya.

Akhirnya, pilihan telah dibuat oleh mereka berdua. Masing-masing mengikut guru kelas yang mereka pilih.

“Kelas… bangun semua! Assalamua’laikum dan selamat sejantera, cikgu,” laung satu suara. 

Semua pelajar memberi salam kepada Cikgu Wahid. Kebetulan waktu itu adalah untuk subjeknya, Bahasa Melayu. Biar betul ketua kelas baru Dayana adalah seorang perempuan. Satu perkara baru bagi Dayana yang selama ini hanya menganggap jawatan itu untuk kaum lelaki sahaja. Ganas juga kaum perempuan di sini. Terselit sedikit rasa bangga Dayana dengan kaum sejenisnya di sini.

“Duduk semua. Saya nak perkenalkan pada kamu, pelajar baru di sini Lily Dayana binti Hamid. Saya harap awak dapat sesuaikan diri di sini ya, Dayana. Rasanya, awak boleh duduk sebelah Rathi. Boleh kan Rathi?” soal Wahid kepada satu-satunya gadis berketurunan India di dalam kelas itu. 

“Apa pula tak bolehnya cikgu. Mari Yana,” katanya. Dia bergerak mendekati teman barunya itu.

Dayana mengangkat mukanya, besar matanya saat itu. Ramainya. Pandangannya terhala ke arah Iza yang sedang menyimpul senyum. Mereka sekelas rupanya. Kelihatan bersama tiga orang penghuni lelaki yang seasrama dengannya. Dayana menelan air liurnya. Gulp. Dia sedikit gugup. Kalau tidak silap, mereka juga sama geng dengan mamat poyo yang dia jumpa semalam. 

‘Jadi, mamat dua orang itu sekelas dengan Lianalah. Ya Allah, moga kakak aku selamat.’ Dayana berdoa di dalam hati. Dia yang sudah biasa tidak sekelas dengan Liana langsung tidak kekok. Dayana menuruti langkah Rathi dari belakang dan kini dia telah melabuhkan duduk di atas kerusi. Penumpuan sedang dihalakan ke arah guru yang akan memulakan sesi pengajarannya di hadapan.

 “Hai, saya Ramesh. Yang kat sebelah saya ni, nama dia Ammar Najjah. Selamat berkenalan.” Sapa pemuda itu sambil menghadap Dayana. Mereka berdua duduk betul-betul di hadapan Rathi dan Dayana. 

‘Hesy, macam mana ada satu lagi spesis ulat bulu boleh tersesat kat sini? Main kenyit- kenyit mata pula dia ni.’ Getus Dayana. Pemuda di sebelah Ramesh pula hanya menjeling sekilas ke arahnya.

            “Awak janganlah ambil hati dengan adik saya tu Yana. Dia memang suka mengusik. Dengar-dengar, awak ada kembarkan? Dia dapat kelas sebelah ke?” soal Rathi. 

Dayana hanya mengangguk perlahan. Rathi tersenyum dan mereka kembali fokus kepada Cikgu Wahid yang telah memulakan pengajarannya. Dayana memejamkan matanya sebentar, menarik nafas sedalam-dalamnya dan cuba bertenang. Betapa dia merindui rakan-rakan di sekolah lamanya. Hakikatnya kini, seperti dia berada di satu planet lain pula.

“Dah waktu rehat ni Yana. Jom, aku bawa kau ronda-ronda sekolah ni.” Ajak Rathi. 

Dayana mulai menyenangi perwatakan gadis berketurunan India itu. Orangnya tersangatlah ramah dan mereka juga semakin mesra kini. Dayana benar-benar beruntung mendapat sahabat seperti Rahti. Mereka berdua berjalan beriringan. Macam bertih goreng pula mulut Rathi. Sudah seperti pemandu pelancong pula lagaknya menceritakan perihal sejarah sekolah kepada Dayana.

            “Hoi orang bandar! Jangan ingat, kau boleh berlagak ya datang sini. Silap banyaklah kalau kau nak buat macam tu. Ingat, kat sini ada peraturan, jangan nak buat ikut suka hati kau je.” Agak kasar nada dari pemuda itu.

Dayana berhenti melangkah, matanya tertancap elok ke arah sekumpulan lelaki yang sedang berdiri di hadapannya. Ke mana pergi agaknya budi bahasa pemuda kampung itu? Sudahlah berani menghalang perjalanannya. Dayana menarik nafas sedalam-dalamnya, cuba menahan amarah yang sedang marak di dalam hati. Nampaknya, pemuda itu betul-betul bikin hatinya panas. Dari semalam lagi dia menyimpan rasa geramnya terhadap lelaki itu. Jenis yang mulut tidak diinsurankan barangkali. Sesuka suki menghoikan orang. 

            “Wei, apa korang ni? Tak baiklah buat kawan baru aku macam ni. Tepilah, kami kami nak lalu.” Ujar Rathi, agak cemas nadanya. Beria-ia dia cuba membolosi benteng manusia di hadapannya itu.

“Kau diam Rathi! Ni, antara aku dengan budak bandar tu.” Tengking Farizal. Tajam matanya merenung ke arah gadis hitam manis itu. Sedikit geram dia apabila melihat wajah tenang Dayana, seolah tidak gerun dengannya.

Rathi tidak mengendahkan tengkingan itu. Dia kemudiannya menolak sedikit bahu Farizal. Risau juga dia kalau mereka melakukan apa-apa terhadap rakan barunya itu. Apa hal sebenarnya yang terjadi antara Farizal dengan Yana? Tegang semacam sahaja mereka berdua itu. Langkahnya terhenti apabila melihat keengganan kumpulan Farizal itu untuk berganjak walau seinci. Dia berdiri di sebelah Dayana, menelan air liur yang tiba-tiba terasa kelat.

“Dah bisu agaknya dia Farizal.” Hamdi bersuara. Dia tersenyum mengejek memandang wajah budak bandar itu.

“Kau dengar sini ya budak bandar. Jangan nak sibuk ambil tahu hal kami kalau kau nak selamat. Kalau dah dasar menumpang, buat cara menumpang ya. Ini tempat kami.” Tegas Farizal.

“Kenapa, korang ada masalah ke? Ya, memang aku menumpang. Tapi kau pun sama juga kan, menumpang di rumah kebajikan seperti aku walaupun ini tempat asal korang.” Terbeliak mata masing-masing dengan jawapan gadis itu.

“Kau...! Memang dasar orang yang berkulit hitam ni, hatinya busuk.” Ejek Farizal.

“Habis, orang kulit putih macam awak ni, putih sangat ke hatinya? Wangi sangat ke hati awak tu?” balas Dayana geram. Terasa maruah dirinya dipijak-pijak sekarang. Dayana bengang kini bercampur geram! Mengapa perlu warna kulitnya dipertikaikan hingga sewenang-wenangnya dia dihina? Nampaknya pemuda itu harus diajar. 

“Hei! Kau dengar sini budak bandar.” Mulai meninggi suaranya. Wajahnya sudah kemerahan sekarang.

“Ya, budak kampung,” jawab Dayana selamba, langsung tidak gerun. 

Sedang Rathi yang berdiri disebelah sudah membeliakan mata memandang Dayana. 

‘Biar betul Dayana ni.’ Desus hati Rathi.

“Kau jangan nak berlagak bagus ya. Kami nak hisap rokok ke, apa ke, kau peduli apa. Bukan aku minta duit kau nak beli rokok-rokok tu. Ingat, ini amaran terakhir aku. Kalau kau adu kat Ayah Abu lagi, siap kau. Kau faham ke tak ni, budak bandar?” lantang suaranya ketika ini. Baru sahaja sampai ke sini, sudah pandai mengadu itu ini kepada pihak pengurusan asrama rumah kebajikan itu. Sebab itulah, Farizal bengang.

 “Ini bukan soal mahu tunjuk bagus. Ia nya lebih kepada etika kita sebagai hamba kepada Allah S.W.T yang dicipta untuk mematuhi peraturan kerana itu tujuan kita hidup. Pada saya, semua pertauran tu sangat mudah untuk diikuti. Hanya insan yang cetek akal dan iman di dada serta dalam egonya tak akan dapat menerima kenyataan bahawa yang salah itu tetap salah dan yang benar itu harus diteladani,” Dayana menyambung lagi,

“Terserah kepada diri masing-masing untuk membuat pilihan. Kita ada akal yang Allah S.W.T kurniakan untuk berfikir. Tambahan pula, akal lelaki macam anda ada sembilan. Jadi, gunakanlah ia ke arah yang boleh memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang di sekeliling anda. Jangan hanya tahu menunding jari kepada orang lain sedangkan diri sendiri masih belum diluruskan. Tak ada gunanya merasa diri tu hebat sedangkan makan dan minum pun masih ditanggung. Malah, janganlah sesekali kita mensia-siakan masa remaja yang datang sekali seumur hidup.” Syarahannya lagi.

Terus sahaja dia berpaling dan melangkah meninggalkan mereka. Terbang moodnya yang mahu melawat seluruh sekolah. Betulkah itu Lily Dayana? Kalaulah rakan-rakan lamanya menyaksikan bagaimana dia membalas hujah mereka itu, sudah pasti mereka akan terkejut dengan perubahan mendadak diri Dayana sekarang.

“Fuhh, penatlah kejar kau Yana. Apa kes tadi tu? Serius semacam je aku tengok. Yana, kau janganlah selalu cari pasal dengan diorang tu. Aku takut kalau apa-apa jadi kat kau nanti. Diorang tu kalau kau nak tahu, jatuh dalam kategori samseng tau,” Rathi cuba memberi amaran kepada sahabat barunya itu. 

            “Diorang ingat diorang punya samseng je ke, aku punya samseng diorang tak tahu lagi? Biarlah, lagipun negara ni kan ada undang-undang. Aku tahulah apa aku buat. Janganlah risau ya Rathi. Aku tahu jaga diri aku.” Balas Dayana. Dia cuba menenangkan rakannya itu. Mustahil tidak terselit langsung rasa risau di dalam hatinya. Mujurlah dia boleh mengawalnya dengan baik. Siapa kata dia berani? Sudah berapa kali ayatul Kursi dibacanya tadi, memohon perlindungan dari Yang Maha Esa. Semoga, hari-hari Dayana yang seterusnya akan dipermudahkan oleh Allah S.W.T  Amin. 

“Jomlah Rathi, loceng dah bunyi tu,” gesa Dayana. Pantas mereka berdua berjalan beriringan mengatur langkah menuju ke kelas.

            Ammar dan Ramesh yang kebetulan turut berada tidak jauh dari situ terkedu hingga melopong sedikit mulut mereka berdua. Hati Ammar rasa tercuit. Tidak pernah dia merasakan begitu. Lily Dayana, gadis itu lebih banyak mendiamkan diri sepanjang di dalam kelas tadi. Susah mahu mendengar suaranya. Sepatah Rathi tanya, sepatah dia jawab. Paling tidak pun hanya mengangguk dan menggeleng sahaja. Senyuman juga payah mahu diukir pada wajah itu. Sungguh, dia terpesona dengan kepetahan Dayana. Tidak ramai gadis yang dikenalinya berpendirian begitu. Hatinya ditarik-tarik, mahu mengenali gadis itu dengan lebih dekat lagi. 

‘Kau akan aku lindungi dari gangguan Farizal kelak, gadisku.’ Desisnya. Manalah tahu, jika Farizal akan membuat perkara yang bukan-bukan untuk melunaskan dendamnya pada gadis itu kelak.

            Oit Ammar, dah gila bayang ke kau ni?” tegur Ramesh lantas menyiku rusuk kanan Ammar.

Ammar tersentak! Kurang asam jawa punya Ramesh. Sungguh, budak Ramesh nak kena agaknya.

“Sakit ar Ramesh! Siku kau tu dahlah tajam.” Ujarnya sambil menggosok rusuknya itu. Ramesh mempamerkan sengihan.

“Maaf. Bukan apa Ammar, kot ya pun, janganlah ketara sangat kau tunjuk kekaguman kau kat budak baru tu. Apa pun, tabik springlah aku kat dia. Berani betul dia tadi.” Puji Ramesh. 

 “Aku bukan apa Ramesh. Tak pernah lagi aku jumpa awek lembut tapi ganas ayu macam tu. Kau perasan tak sepanjang hari ni, payah nak tengok dia senyum. Hati batu ke apa dia tu? Aku tengok kembar dia tu lain sangat dengan dia. Asyik senyum je bila Salina kenalkan dia pada kita. Kalau kata bukan kembar pun orang percaya. Tapi, kembar dia cantik kan?” tingkah Ammar pula.

 Pulak. Dia ni nak yang mana, adik ke kakak?’ getus Ramesh sambil menggaru kepala.

            “Hmm, aku pun perasan juga. Tak apa Ammar, banyak lagi masa. Nanti, aku suruh Rathi korek sikit pasal Dayana. Tapi aku kelirulah, kau ni berkenan yang mana satu? Adik ke kakak?” Amboi, pandai pula Ramesh serkap jarang. 

 ‘Lily Dayana. Gadis misteri, aku perlu dekatinya,’ bisik Ammar.

            “Macam yang kau katalah Ramesh, banyak masa lagi. Tapikan, aku rasa macam dah jatuh cinta pula pada kawan kembar kau tu. Rasa, macam ada sesuatu pada dia. Jangan lupa, suruh Rathi soal siasat kawan baru dia tu, tau Ramesh?” pinta Ammar. Meronta-ronta hatinya untuk mengenali gadis hitam manis itu.

            “Itu sudah semestinya kawan. Jomlah,” ajak Ramesh sebaik mendengar loceng berbunyi. Mereka berdua melangkah pergi dengan satu misi yang bakal dilaksanakan.


No comments: