Monday 19 August 2013

Bab 19




BAB 19

Puas hati Dayana pagi ini. Cadangan sepupunya yang mahu membawa mereka ke sekolah ditolak mentah-mentah oleh pak udanya. Dayana telah meminta pak uda yang membawa mereka dengan alasan Iman masih muda, manalah dia tahu bagaimana hendak menguruskan hal-hal berkaitan dengan pertukaran sekolah mereka itu. Nampak sangat lelaki itu kecewa dengan tindakannya.  Hahaha… padan dengan muka hantu ulat bulu yang sengal itu.

Kini, slip keputusan sedang berada di tangan mereka berdua. Dengan lafaz kalimah Bismillah... mereka membukanya.

 “Syukur, Alhamdulillah. Ya Allah,  pak uda, adik lulus!” Dayana hampir sahaja melompat kerana terlalu gembira. Mana tidaknya, keputusan peperiksaannya sangat memberangsangkan. 

“Mak, adik lulus mak. Adik lulus!” kata Dayana lagi. Air matanya mula mengalir di pipi. 

Alhamdulillah. Tahniah dik. Pak uda bangga dengan kau nak.” Dia memaut bahu Dayana. 

Dayana menoleh ke arah bapa saudaranya itu.Agak janggal pula Dayana dengan respon pak udanya itu tetapi dia biarkan sahaja. Bukan sesiapa pun, bapa saudaranya juga.        

“Aku tak sangka, aku pun lulus dik. Ingatkan, keputusan aku teruk,” kata Liana sambil tersenyum melihat slip keputusannya. Baginya, satu keputusan yang agak memberangsangkan kerana Liana sedar yang dia agak sederhana dalam pelajaran. 

“Tahniah kak. Pak uda bangga dengan korang berdua.” Ucap Zakaria lagi. Kali ini Liana dalam pautannya pula.

Pantas sungguh masa yang berlalu umpama sebuah roket yang sedang naik ke angkasa. Kerana sibuk mengurus segala dokumen yang berkenaan, sedar-sedar sahaja jam sudah menunjukkan pukul 12.30 tengahari. Liana telah pulang bersama pak uda, mahu habiskan mengemas katanya. Seperti yang dijanjikan, Dayana menunggu di pondok yang dikatakan oleh Sofia. Dia melabuhkan duduknya ke atas kerusi batu yang ada di situ. 

Serta-merta ingatannya terimbau semasa dia sedang sibuk menguruskan segala dokumen yang berkenaan di pejabat sekolah tadi. Dia ternampak rakan-rakannya sedang menikmati makanan di kantin. Sengaja Dayana tidak mahu mengganggu mereka. Hanya sekadar memerhatikan mereka dari jauh dengan linangan air mata. Alangkah bahagianya jika dia juga berada di dalam kelompok itu. Dayana menyeka air matanya yang tiba-tiba sahaja bergenang. Dia kembali mengelamun sambil menanti kehadiran sahabat-sahabatnya yang lain.

“Hai Yana!” sergah suara itu secara tiba-tiba. Dayana pun apa lagi,

“Opocot kau ulat bulu,” aksi lompatan terkejut dipamerkan olehnya ketika itu. Mana tidaknya kerana terkejut terus sahaja dia meloncat dari kerusi yang sedang didudukinya lalu dengan imbangan yang tidak stabil dia jatuh terduduk di atas rumput. Terasa kebas punggungnya itu. Auch, sengal rasa punggungnya sekarang. Kedengaran suara orang mentertawakannya. Dia memandang Sofia, geramnya dia.

“Yana, Yana. Sejak bila pula kau belajar melatah ni sampai macam tu sekali kau melompat. Macam-macam benda baru kau belajar sekarang. Esok-esok ni, entah apa pula yang kau belajar, Yana? Jangan belajar bersilat sudahlah. Karang tak pasal-pasal masuk hospital pula makhluk yang kena silat dengan kau.” Ujarnya. Sebaik habis berkata-kata, Sofia menyambung gelaknya yang mengekek-ngekek itu. Tetapi tidak lama. Apabila Sofia menyedari Dayana sedang terkial-kial mahu berdiri, tergesa-gesa dia menuju ke arah gadis itu untuk membantu. 

Sebaik Dayana dapat berdiri dengan stabil barulah dia perasan, Fahim dan Zaki juga turut berada di situ dan sedang tersenyum sumbing. Alamak, malunya Dayana. Mana nak disorokkan mukanya itu. Senyuman yang terhias indah di bibir dua jejaka itu terasa seperti mengejeknya pula. Lirikan matanya dilarikan dari mereka berdua yang tidak langsung mengendurkan sengihan.

‘Diorang nampak tak aksi lompatan aku tadi. Malunya aku. Magik oh magik, mana kau menghilang ni? Patutnya aku yang hilang sekarang,’ gumam Dayana. Panas mukanya ketika ini. Dia memalingkan semula wajah ke arah Sofia.

“Aku cukup pantang kalau orang main sergah-sergah aku, tau tak! Kenapalah aku ditakdirkan bertemu dengan makhluk yang kureng macam kau ni? Dekat rumah aku pun ada satu. Ei menyampahnya aku,” gerutu Dayana dan Sofia hanya tersengih memandangnya sambil mejungkitkan bahu.

 Eh..eh, marahlah pula kawan aku ni. Yalah Lily Dayana, maafkan patik wahai tuan puteri. Ampunkan patik penunggu gua. Ampunkan patik penunggu gua,” gurau Sofia. 

Euw… perli aku ke kau ni Sofia? Ada ke muka aku ni macam muka penunggu gua? Buruk sangat ke muka aku ni? Agak-agaklah Sofia. Aku, kalau jadi penunggu gua yang pasti kau adalah orang pertama dijadikan tahanan dalam gua tu tau. Ni satu lagi, kenapa diorang berdua tu pun ada sama?” Dayana berbisik ke telinga Sofia sambil menghalakan jari telunjuknya ke arah dua jejaka yang sedang berdiri tidak jauh dari tempat mereka itu.  

“Tengok, seronok sangat gelakkan kau sampai aku lupa tujuan aku ke sini. Sebenarnya Yana, bukan aku yang nak jumpa kau. Adalah orang tu yang beria-ia minta tolong kat aku. Ada perkara yang dia nak cakap kat kau. Tu Fahim, dialah orangnya. Aku tunggu kau dekat sanalah ya. Tak naklah kacau daun.” Ujarnya lalu meninggalkan Dayana berdua dengan Fahim di pondok itu. Dayana terpinga-pinga.

‘Aduh, malunya aku. Dahlah masa balik sekarang ni. Banyak pula mata yang memandang.’ Bisik hati kecil Dayana, dia menundukkan wajah. Apa yang direnungnya pada meja batu itu, tidak tahulah?

“Emm, Lily Dayana. Saya minta maaf kalau permintaan saya ni buat awak tak selesa. Macam mana pun saya kena luahkan juga. Takut tak sempat nanti. Saya dah tak mampu memendam rasa hati saya ni. Sebenarnya, tujuan saya nak jumpa awak hari ni untuk dapatkan kepastian. Sudikah awak mendengar luahan hati saya ni, Yana?” Fahim memulakan bicara setelah beberapa minit suasana sepi. Terasa seperti sedang melontarkan apa yang ada di dalam skrip drama pula. 

Hati Dayana berdebar-debar. Romantik gila suara jejaka itu.

“Bergantunglah pada apa yang awak nak luahkan Fahim. Insya Allah, saya akan cuba menjadi pendengar yang baik.” Balas Dayana juga macam di dalam skrip. Formal gila dia rasakan saat ini. 

Fahim tersenyum. Sempat lagi dia menguntum senyum sudahlah Dayana sedang menahan gabranya sekarang.

“Sebenarnya Yana, saya sukakan awak dari dulu lagi. Hati saya terpaut dengan awak dan ia semakin menebal dari hari ke hari. Dah tentu saya akan terus melamar awak menjadi permaisuri saya kalau kita di alam dewasa. Saya..saya,” tergantung di situ ayatnya namun sudah cukup untuk membuat Dayana terkesima. 

Eh biar betul dia ni? Ni sorang lagi macam Abang Iman tapi nasib baiklah aku minat kat kau. Kalaulah kita dah dewasa, nak aje aku kata ya. Rasa macam terlebih jiwang pula, macam tak sesuai je untuk umur macam aku yang muda belia ni.’ Soal balas yang berlaku dalam diri Dayana. Dia hampir tersenyum namun cepat-cepat membantutkannya.

“Fahim, terima kasih kerana akhirnya awak sudi juga meluahkan kata-kata keramat tu hari ini. Ternyata, selama ini saya tak bertepuk sebelah tangan. Sayangnya Fahim, bagi saya dah terlewat. Awak pun tahukan yang saya akan pergi tak lama lagi. Mana mungkin hubungan ni diteruskan. Kalau orang lain, tentu bahagia bila orang yang disukai turut sama memendam rasa. Apakan daya, saya tak mampu menerima cinta awak tu Fahim. Saya tak mampu.” Balas Dayana setelah berjaya meredakan sedikit gundah di hatinya itu. 

“Yana, izinkan saya untuk terus menyayangi awak. Saya berjanji akan setia menanti awak selama mana pun. Dalam hati saya ni dah penuh dengan nama awak Yana, hingga melimpah ruah. Tolonglah berikan saya hak untuk menunggu awak.” Rayu Fahim. 

‘Aduh, romantisnya madah dia ni. Tahulah penyajak tersohor di sekolah ni. Terasa macam dalam drama pula sekarang. Sesak pula otak aku nak fikirkan jawapannya.” Monolog Dayana. Hatinya sudah hampir cair sekarang.

“Fahim, siapalah saya untuk memberikan hak tu pada awak. Sedangkan, perjalanan hidup saya selepas ini sudah tentu banyak likunya. Saya tak tahu di mana akan saya berhenti dan sampai bila? Saya tak tahu Fahim, sampai bila saya mampu bertahan? Saya tak mahu terlalu meletakkan sebarang harapan dalam hubungan ini dan saya harap awak pun macam tu. Saya akui, saya juga sukakan awak tapi saya tak kuat untuk menyemarakkan rasa sayang saya pada awak sedangkan hidup saya terumbang-ambing sekarang.” Berjaya juga dia menyusun ayat. Kalau dibuat sajak, mesti laku ni. Tiba-tiba Dayana merasa sebak. Dia memejamkan mata, cuba menahan rasa sebak yang kian hebat melanda dirinya itu.

“Saya sanggup menunggu selama yang mungkin. Ambillah banyak mana masa yang awak perlukan Yana. Hati saya tetap pada awak. Tolonglah, jangan menidakkan hak saya ni atau awak sebenarnya sudah ada pilihan hati yang lain? Adakah dia lelaki tempoh hari?” Fahmi benar-benar inginkan kepastian.

Ah sudah. Masak Dayana macam ni. Dia tahu siapa yang Fahim maksudkan. Tidak pasal-pasal mamat ulat bulu itu mahu dipadankan dengannya. Minta simpanglah. Bukanlah dia nak mengada-ngada, mana mungkin dia boleh menerima lelaki itu untuk menjadi kekasih hatinya. Lainlah kalau Fahim.

“Hah. Maksud awak, Abang Iman? Oh, tak mungkin Fahim. Kalau awak nak tahu antara kami memang tak ada apa-apa hubungan selain sepupu, ya. Saya hanya anggap dia macam abang saya sendiri dan kami memang tak sesuai bersama begitu juga dengan awak. Saya tak sepadan dengan awak Fahim. Banyak kekurangan dan kelemahan saya. Tambahan pula dengan status saya sebagai seorang anak yatim piatu, mana mungkin bagi saya untuk memikirkan soal cinta. Masa depan saya dan kembar adalah yang utama sekarang. Kami perlu mencari hala tuju hidup kami. Saya akan belajar untuk membebaskan awak dari hati saya dan saya harap awak pun begitu juga. Berpijaklah di bumi yang nyata Fahim,” kemudian Fahim mencelah,

“Tapi Yana, saya...” Dayana mencelah kembali.

 “Awak dan saya tak mungkin akan bersama Fahim. Janganlah awak menyeksa diri hanya kerana perempuan seperti saya yang masih kabur masa depan. Tolong jangan buat saya menyalahkan diri saya Fahim. Jangan buat saya tak dapat maafkan diri andai ada antara kita yang akan kecewa kelak. Saya takut, saya fobia. Seperti seorang demi seorang orang yang saya sayangi pergi meninggalkan saya. Awak tahu tak, saya rasa seolah-olah saya ni pembawa malang!” sedikit tinggi nada Dayana saat ini. Ya, itulah yang dia rasakan. Air matanya terus sahaja merembes keluar dengan laju. 

Fahim terkejut dengan ayat yang keluar dari mulut Dayana. Dia meraup mukanya. Betapa banyak ujian dan dugaan menimpa gadis itu hingga begitu sekali dia menganggap dirinya. Fahim perlu tenang dan tidak mahu melatah. Dia juga perlu menasihati Dayana supaya tidak terus hanyut dengan perasaannya itu. Bimbang jika tidak diubati hati dan perasaan gadis itu akan tercalar imannya kelak. Dayana tidak bersalah, dalam usia semuda itu banyak dugaan yang dia tempuhi dan Fahim tidak dapat membayangkan jika dia yang berada di tempat gadis itu sekarang, apa akan dia lakukan?

Bagi Dayana pula ada sebab dia merasakan begitu kerana bapanya pergi meninggalkannya dan Liana kemudian selang sepuluh tahun emaknya pula menyusul. Dia takut kerana pada telahannya, sesiapa yang berdamping dengannya akan ditimpa nasib yang sama. Dayana tersedar kemudiannya. 

‘Ya Allah, kenapa sampai macam tu sekali aku fikirkan. Ya Allah, berdosanya aku. Ampunilah hambaMu ini, Ya Allah. Terlalu melayan perasaan hingga hampir-hampir mengikut telunjuk syaitan yang menyesatkan,’ rintih Dayana memohon keampunan. Kenapa dia perlu mempertikaikan takdir yang Allah S.W.T ciptakan untuknya? Dayana beristighfar di dalam hati apabila menyedari khilafnya sebentar tadi. Itulah padahnya jika terlalu mengikut telunjuk syaitan yang sering melalaikan manusia. Astaghfirulallahalazim, Dayana menutup muka dengan kedua tapak tangan.

“Janganlah macam ni Yana. Semua itu takdir yang tercipta untuk awak. Derita itu manis dan bahagia itu pahit. Percayalah, satu hari nanti awak akan faham ungkapan saya tu. Baiklah Yana, saya takkan paksa awak lagi. Saya akan terus berdoa semoga pintu hati awak akan terbuka untuk saya. Ingatlah, di sini ada seseorang yang menantikan awak. Andai terbukanya pintu hati awak untuk saya, di tempat inilah akan menjadi saksi.  Saya yakin, awak akan kembali semula ke sini. Selamat tinggal saya ucapkan pada awak.” Balas Fahim lantas bangun meninggalkan gadis itu. Sedikit pun dia tidak menoleh melihat bagaimana reaksi Dayana. Dayana adalah jodohnya jika sudah tertulis dalam hamparan suratan dirinya sejak azali.

Dayana terkedu! Pantas sahaja air matanya mengalir lagi. 

‘Kenapa harus saya Fahim? Kenapa awak terlalu yakin saya akan kembali ke sini Fahim?’ soalnya dalam hati. Air matanya mengalir dan terus mengalir lagi. Kalau diturutkan hatinya sudah tentu dia sudi menerima lelaki itu namun apakan dayanya. Apakah masih ada sinar yang menantinya? Biarlah masa yang menentukan segalanya. Cinta di usia muda memang tidak pernah menjanjikan kebahagian berpanjangan. Biarlah semuanya berlalu begitu sahaja. Segala ketentuan di masa hadapan, bukan di tangan mereka.






No comments: