Monday 29 July 2013

bab 18

BAB 18


Saat Dayana terpandang kain pasang yang baru dibeli oleh emak, hatinya sebak. Beria-ia emak mahu mereka semua memakainya di pagi hari raya nanti. Keinginan yang tinggal kenangan kerana hasrat emak tidak kesampaian. Kain-kain itu dibelek-beleknya. Baru hari ini dia berkesempatan menjengah kawasan yang dulunya sering menjadi tempat larangan untuknya. Arwah emak selalu berpesan kepada mereka berdua, ‘jangan pergi kat situ nanti terpijak jarum’. 

“Dik, kau kenapa?” tanya Liana yang kebetulan melalui ruangan itu. Dia mendekati adik kembarnya yang sedang duduk bersila sedang di depannya terdapat selonggok kain.

Kak, cuba kau tengok baju raya kita ni. Tengok, mak cuma sempat potong baju dia dengan kau je kak,” kata Dayana dengan penuh nada sebak. Dia menunjukkan kain itu kepada Liana yang sudah bersila di sebelahnya. Liana menyambutnya, membawa kain itu ke pipi. Matanya kelihatan berair.

“Habis tu, baju kau macam mana dik? Aku bukan reti nak potong baju ni.” Balasnya. Selama ini, dia memang tidak pernah menunjukan sebarang minat dengan apa yang emak dan Dayana buat. Bukan arwah emaknya tidak pernah suruh dia belajar, dia sahaja yang selalu pekakkan telinga enggan mempelajari semuanya. Baginya, memadai jika Dayana sahaja yang pandai. Dia meletakkan kembali kain itu ke ribanya dan memandang ke arah Dayana.

“Aku cuba kak. Aku rasa, aku boleh potong kalau aku ikut contoh yang mak buat kat baju kau. Lagipun, aku kan selalu tengok arwah mak potong baju orang. Insya Allah, aku akan cuba kak..” balas Dayana, agak bersemangat.

 “Kalau kau yakin, tak apa dik. Sempat ke? Bulan puasa lagi seminggu je ni? Kita pun, lusa dah nak pindah.” ujar Liana. 

 “Ya tak ya juga kak. Macam mana aku boleh lupa bulan puasa dah makin dekat. Aku cuba kak, malam ni,” ikrar Dayana. 

“Aku yakin kau boleh dik. Tak apalah, aku pergi depan kejap. Nak tolong mak uda kemas kat sana. Aku pergi dulu.” Liana bangun lalu meninggalkan Dayana keseorangan di situ. 

Ternyata, ketiadaan emak masih belum cukup untuk merapatkan hubungan mereka. Terasa kekok untuk Liana menjadikan adik kembarnya sebagai tempat mengadu. Selama beberapa hari ini, mak udalah yang menjadi pendengar setia setiap luahan hatinya.

Dayana merenung ke arah kain-kain itu. Dia akan cuba sedaya upaya melaksanakan misinya itu. Dia perlu berusaha untuk menjadikan impian emaknya menjadi kenyataan. Niat yang dipasang oleh emak untuk memakai baju raya sedondon tahun ini akan dia laksanakan. Dayana mahu mereka berdua memakai baju itu apabila menziarahi pusara emak di pagi hari raya nanti. Itu adalah azamnya.




Dayana sedikit kepenatan hari ini. Terasa seperti mahu tertanggal sahaja segala sendi tulangnya kerana seharian mengemas rumah tanpa henti. Seharian mereka membanting tulang. Hampir separuh barang di dalam rumahnya sudah dikemas. Dayana berjalan perlahan menuju ke ruang menjahit emak. Hanya ruangan itu yang masih belum diusik. Dia akan memulakan misi memotong bajunya. Bertungkus lumus dia memerah otak, mengingati langkah demi langkah yang emaknya lakukan dulu.

Dayana langsung tidak menyedari, rupa-rupanya ada pemerhati setia yang sedang berdiri di sebalik tiang sambil memeluk tubuh. Lama juga pemerhati itu berdiri di sana, memerhatikan gelagat Dayana sehingga tersungging senyuman di bibir yang berkumis nipis di atasnya. Ketampanannya semakin terserlah sekarang dilengkapkan lagi dengan tubuhnya yang sasa. Bukan tiada perempuan di luar sana yang menggilainya tetapi hatinya benar-benar sudah tertawan dengan gadis hitam manis itu. Dia mendekati gadis itu.

“Ehem! Amboi..amboi, pandainya buah hati abang ni potong baju.” Tegurannya itu mengundang,

“Opocot kau hantu sengal!” latah Dayana. Pantas dia berpaling menghadap Iman. Mujur baik gunting ditangannya tidak dibaling ke arah lelaki itu. Tak ke naya akan jadi kes pembunuhan pula nanti? Tak pasal-pasal usia mudanya akan dihabiskan di dalam penjara pula. 

“Hesy, apa ni Abang Iman? Nasib baik gunting ni tak terpacak kat dahi abang tu. Kalau tak... Tak paham bahasa kebangsaan ke? Dah tak reti nak bagi salam ke hah!” Sedikit tinggi nada suaranya.  

‘Kenapalah lelaki ni suka sangat buat aku terkejut. Dia ni memang nak sangat aku mati kena serangan jantung agaknya.” Monolog Dayana. Kembang kempis hidung mancungnya itu menarik dan menghembus nafas. Rasa terkejut, masih bersisa lagi. Degup jantungnya, bagai tidak mahu memperlahankan rentak. Dayana mengurut dada, sedikit ketenangan cuba diresap.

“Oh, kena bagi salam ya. Okeylah, Assalamualaikum. Okey tak kalau macam tu?” balas Iman pula. Gerun juga sebenarnya jika apa yang dikata oleh Dayana itu menjadi kenyataan tapi tak ada apa-apa pun yang berlaku.

“Ei...” Dayana mengetap giginya. Dia memandang wajah lelaki itu dengan pandangan yang sarat dengan rasa geram. Tawa Iman terhambur.

“Cubalah serius sikit. Benda tak jadi kalau boleh jangan bagi jadi kenyataan. Masa tu, menyesal pun tak guna dah.” Dayana meleteri abang sepupunya itu. Serius mimik mukanya. Lelaki itu suka bergurau tetapi kadangkala tidak kena pada tempatnya. Pesanan perlu diberi, bimbang jika gurauan membawa padah buruk.

“Janganlah marah. Okey, abang minta maaf tapi abang sukalah tengok muka adik kalau marah. Comel je. Ei geram abang tengok, rasa macam nak cubit-cubit je pipi yang ada lesung pipit tu,” gurau Iman tanpa menghiraukan Dayana yang sedang menahan marah. 

Kedengaran Dayana merengus, lelaki ini memang tidak faham bahasa atau sengaja buat-buat tidak faham?

“Memang abang ni tak pergi sekolah ke? Nama aje belajar tinggi, seiring dengan bebal abang yang bertingkat-tingkat tu.” Hambur Dayana lagi. Kan sudah terkasar bahasanya. Dikecilkan mata yang sedang memandang lelaki yang sedang berdiri di hadapannya itu atas, bawah.

“Amboi, garangnya dia,” usik Iman. Muka Dayana sudah semakin mencuka. Monyok usah dikatalah, makin bertambah-tambah.

“Wahai cik abang yang gagal bahasa kebangsaan, itu namanya bukan garang tapi itu namanya ‘encik dah buat saya marah, faham!’ Dah berapa lama abang jadi pengawal kat tiang tu?” soal Dayana. 

“Lamalah juga. Sampai ada masa orang tu menyanyi pun sempat abang dengar.” Seloroh Iman.

“Hmm..” rengus Dayana sambil matanya sekejap-sekejap dilarikan ke arah lelaki itu. Sebenarnya, terdetik juga bimbang di hatinya, manalah tahu perangai ulat bulu yang tak cukup bulu lelaki itu datang semula. Meremang bulu romanya tiba-tiba. Hesy seram!

“Wah ayat kau tadi dik, pergh macam power rangers. Hai sejak bila pandai marah-marah ni, sayang?” usiknya lagi. Semakin seronok pula Iman menyakat gadis itu dan semakin comel pula wajah Dayana pada pandangannya.

 ‘Hah, power rangers dikatanya aku. Apa, ingat aku ni budak-budak tadika ke? Dah tua bangka macam ni pun masih tengok rancangan power rangers tu ke? Alamak! Dia dah makin dekat dengan akulah. Hah sudah, mana kau pergi kak? Macam mana dia boleh terlepas pula ni? Ya, Allah, selamatkanlah hambaMu ini,’ doa Dayana dalam hati. 

Lelaki itu kelihatan semakin mendekatinya. Dayana menelan air liur yang terasa kelat itu. Di dalam kepala, sibuk memikirkan cara bagaimana mahu melepaskan diri dari lelaki yang digelar mamat ulat bulu olehnya itu. Akhirnya, mentol di kepala Dayana menyala, tanda dia sudah mendapat satu akal. 

“Ya mak uda! Kejap ya, adik datang ni,” laung gadis itu tiba-tiba. 

Sedikit tersentak Iman padahal tidak pula kedengaran suara emaknya memanggil gadis itu. Iman perasan bagaimana tindak-tanduk Dayana yang mahu meloloskan diri darinya. Sebaik sahaja gadis itu mulai mendekati, laju sahaja Iman menyuakan tangan dengan tujuan mahu menarik lengan gadis itu tetapi dia gagal kerana gadis itu dapat membaca taktiknya. Iman sedikit mengeluh dan kemudian tersengih apabila melihat telatah lucu gadis itu. Gigih gadis hitam manis itu mahu melepaskan diri darinya. 

“Padan muka,” kata Dayana. Dia menjelirkan lidahnya kepada Iman yang sedang menyengih itu.

‘Tak apa, kalau dia buat perangai macam tu lagi, aku suruh pak uda hantar anak lelaki dia tu kat sekolah agama semula,’ gumam Dayana sambil berlalu pergi. Puas hatinya kerana dapat meloloskan diri dari Iman.


No comments: