Tuesday 21 May 2013

Bab 6



         “Okey semua. Hari ni Cikgu Zaleha minta kita berkumpul kat depan perpustakaan. Dah jom lekas, beratur kat luar sana.” Selaku ketua kelas, Zaki memberi arahan yang diberi oleh guru Geografi mereka. 

Apa lagi sudah nama pun arahan, haruslah dipatuhi dan kini mereka sekelas sudah berdiri terpacak di hadapan perpustakaan sekolah. 

            “Mesti awak semua terkejutkan kenapa saya suruh ke sini? Sebenarnya, hari ini giliran kelas kamu untuk membuat ‘rondaan’ di sekolah ni.” Katanya sebaik melihat semua pelajar tersebut berdiri di hadapannya. 

Barulah mereka faham akan maksud arahan Cikgu Zaleha. Apa lagi, dengan serentak mereka bersorak. Mana tidaknya, semalam giliran kelas 3 Arif membuat ‘rondaan’ dan hari ini tiba giliran untuk kelas mereka pula. Ia bermaksud program gotong-royong mengutip sampah di sekeliling sekolah. Turut dinamakan, program keceriaan sekolah. Lagipun, sekali-sekala mereka menolong pakcik tukang kebun sekolah, apa salahnya. Mereka semua bergerak mengikut kawasan yang telah ditetapkan.

            “Ish kau ni Yana. Kan cikgu kata kutip sampah yang pergi kau petik bunga tu kenapa? Kalau bunga ros tak apalah juga, ni bunga lalang. Tak faham aku dengan kau ni Yana.” Panjang muncung Sofia.

“Aku tarik juga muncung kau tu nanti. Memanglah bunga lalang, tapi aku suka. Tengok, bila kena tiup angin, terlentok sana terlentok sini. Cantik je aku tengok,” balas Dayana. Dengan gaya yang sedikit menggedik dibuat untuk menggambarkan rasa terujanya kepada Sofia. Sebuah senyuman manis telah dia kuntumkan kepada Sofia. Tanpa Dayana perasan, sepasang mata sedang memerhatikan gelagatnya itu. Pemilik mata itu kelihatan tersenyum melihat telatah gadis hitam manis yang semakin menarik perhatiannya kebelakangan ini.

            “Ah sudah, jangan kau nak menggoda aku pulak. Tak ada maknanya pada aku tau. Pergi kau goda orang lain,” balas Sofia sambil mencebik sedikit mulutnya. Nadanya pula seolah dalam drama, umpama sedang dalam babak lakonan pula mereka berdua itu.

“Amboi, kau siap cebik mulut kat aku ya. Alah, memang dah tergodalah tu.” Balas Dayana lalu tertawa kecil. Geli hatinya dengan gelagat Sofia. 

Sofia menjelirkan lidahnya. Tidak mahu terus-terusan melayan Dayana nanti apa kerja pun tidak selesai. Agak terleka seketika Dayana memerhati liuk-lentuk bunga lalang yang dikutipnya itu apabila ditiup angin. Dia sedang tenggelam di dalam dunianya sendiri dengan keasyikan itu. Terlupa seketika Dayana akan tujuan mereka berada di situ. 

 “Er, Yana. Nah, ni saya buatkan khas untuk awak. Saya tengok dari tadi seronok awak petik bunga tu.” Tegur jejaka itu. Lantas dihulurkan bunga yang di dalam genggamannya pada Dayana. 

‘Siapa pula yang berani menganggu mood baik aku waktu ni.’ Bisik Dayana. Dia berpaling. Terkejut bukan kepalang dia apabila melihat Zaki sedang berdiri tegak di belakangnya. Sedang di tangan Zaki pula kelihatan sejambang bungan lalang. 

‘Nasib baiklah kulit aku ni gelap. Kalau tak, sah-sah nampak merah kulit muka aku ni menahan malu. Dia ni ada deria keenam ke? Macam mana dia tahu aku sukakan bunga tu?’ soal Dayana dalam hati. 

“Nahlah,” kata Zaki lagi setelah agak lama dia menanti respon dari Dayana. Sekali lagi dihulurkan jambangan bunga itu.

“Awak ni demam ke Zaki? Tak ada angin, tak ada ribut tiba-tiba je bagi saya bunga?” soal Dayana. Sudah kedengaran suara gelakan sumbang dari belakangnya. Dayana sudah disapa rasa malu.

“Hai malu-malu pula kau ni Yana. Ambil jelah, orang dah nak bagi tu.” Usik suara itu. Siapa lagi kalau bukan Fara. Rakan-rakan yang lain pula sedang tersenyum sumbing dah macam kambing pun ada. 

‘Sabar, sabar Yana. Ikutkan hati, ada yang kena sekeh dengan aku nanti.’ Gerutunya sendirian. Dayana tersenyum kelat.

“Zaki, saya ni bukan lembu okey. Ingat boleh makan ke bunga-bunga tu?” ujar Dayana setelah keadaan sepi beberapa saat. Bertambah kuat ledakan suara-suara yang sedang menggelakkannya. Dayana semakin kuat menggigit bibir bawahnya. Sudah semakin berani pula dia menuturkan kata-kata itu kepada Zaki. Padahal, dihentam sahaja dialognya. Sebab itulah lembu pun boleh masuk dalam ini cerita. Dia hampir tergelak namun cuba ditahan. Bimbang andai jejaka di depannya itu mengatakan dia sewel pula.

“Kalau lembu, dah lama saya tolong suapkan dalam mulut lembu tu, senang sikit. Lembu tu kunyah terus je, tak payah nak meragut rumput dah. Dan yang penting sekarang ni, adakah saya suruh awak makan bunga-bunga ni?” balas Zaki sambil tersengih. 

Toing! Kan dah kena sebiji. Dayana menjulingkan matanya ke atas. Konon pandai sangat nak berhujah dengan Zaki, akhirnya dia yang terkena kembali. Dia mengetap giginya pula.

‘Nak marah pun, salah aku juga yang keluarkan kenyataan sengal tu dulu. Hah, kan dah kena batang hidung aku sendiri. Memang padan pun dengan muka aku.’ Bisik Dayana geram. Geram dengan dirinya sendiri.

 “Apa-apa jelah,” balasnya setelah agak lama mendiamkan diri. Membiarkan Zaki terpinga-pinga di hadapannya. Rasanya bukan setakat panas sahaja tetapi sudah macam nak jadi bara api wajahnya itu menahan malu. Boleh pula Zaki hanya menyengih, sudah macam kambing da. Dayana mula mengatur langkah untuk berlalu meninggalkan lelaki itu tanpa mengambil jambangan bunga tersebut. Sebaik saja dia berpusing, tengg! Bunyi yang terhasil saat dahinya berlaga dengan tiang. 

 ‘Sejak bila pula tiang ni ada kat sini? Aduh, rasa macam nak pitam pula aku. Tahan Dayana, tahan. Kawal sikit keayuan kau tu.’ dia cuba bertenang. Tangan kanannya sedang memegang dahi. Kini, Dayana sedang berperang, melawan kesakitan di dahinya.

“Ya Allah, Dayana. Tiang pula yang dia langgar! Macam-macamlah buah hati aku yang sorang ni.” Ucap suara itu. 

Walaupun ayat yang dibelakang itu perlahan dituturkan, telinga Dayana masih boleh menangkap setiap butir patah perkataan tersebut. Dia menelan air liur. Fahim mendekatinya kemudian tangan kanan lelaki itu cuba menyentuh bahu Dayana. 

“Eh, tak apalah Fahim. Saya okey, boleh bangun sendiri..” tutur Dayana, mengelak sentuhan dari lelaki itu. Dia kemudian meleraikan pautannya pada tiang itu setelah dapat berdiri dengan seimbang. 

‘Nasib baiklah aku terhantuk perlahan. Kalau tak, mahu benjol kepala aku ni.’ Desis hatinya. Dayana menggosok perlahan dahinya yang terasa kebas itu. Dia terpandangkan Zaki sedang berlari-lari anak menuju ke arahnya.

“Yana, Yana. Kenapalah sinonim sangat perangai kalut dengan awak? Kalaulah saya bagi sejambak bunga ros kat awak tadi, rasanya dinding pun awak akan langgar. Gelabah tak hengat betullah awak ni.” Boleh pula Zaki ketawa sampai terbahak-bahak. Namun jauh di sudut hati terselit juga rasa bimbang jika gadis itu terhantuk kuat tadi.  Ingin sahaja dia membelek dahi Dayana, memastikan ada bengkak atau tidak yang muncul.

 ‘Kalau bukan kau punya pasal, tak adanya aku langgar tiang ni, Zaki oi,’ gerutu Dayana dalam hati. Rasa geram mula terbit dalam dirinya kali ini geram pada pemuda itu. Matanya dikecilkan sebaik memandang Zaki. Dia merengus perlahan.

Fahim menjeling sekilas ke arah sahabat baiknya itu. Patutlah gadis pujaan dia terlanggar tiang, rupa-rupanya Zaki yang punya kerja. Entah bila pula Zaki mengutip bunga-bunga itu. Bunga lalang pula tu, tidak pernah dibuat orang. Dia menggelengkan kepala sebaik terpandang jambangan bunga di tangan Zaki. Dengan pantas Zaki melemparkannya ke tanah dan tersengih ke arah Fahim sambil mengangkat jari telunjuk dan jari hantunya membuat tanda ‘peace’

‘Sabar ajelah aku dengan perangai Zaki ni. Apalah agaknya motif dia bagi bunga hati pengarang jantung aku tu. Tak boleh jadi ni! Dia pun nak mengurat Yana ke? Habis aku macam mana? Takkanlah nak berdiam diri je.’ Fahim memulakan sesi soal-menyoal dalam hatinya.

 “Dahlah tu Zaki. Kesian pula aku tengok Yana. Mari Yana, saya bantu awak duduk kat sana.” Ujar Fahim sambil menunjukkan jarinya ke arah kerusi yang tidak jauh dari tempat mereka berdiri. Ikutkan hati mahu saja dia memapah gadis itu tetapi sudah pasti gadis itu akan menolak pertolongannya.

Sofia yang dari tadi hanya diam sahaja mula merapati Dayana lantas menarik lengan sahabatnya itu. Dayana hanya menuruti sahaja. Terasa kebas dahinya saat ini. 

‘Boleh hilang ingatan tak kalau cedera macam ni? Dah mulalah aku nak merepek. Ish, dah biul ke aku ni? Ya Allah, aku muda lagi. Masih banyak perkara yang belum tertunai lagi.’ Dayana yang bermonolog itu mula merapu yang bukan-bukan. Dalam pada dia yang sedang menahan kesakitan itu sempat lagi menyengih.

“Eh, eh kau ni Yana. Siap sengih lagi kau dalam sakit macam ni. Nasib baik tak benjol dahi kau tu. Kau ni Yana, kalau ya pun kau teruja sebab dapat bunga, janganlah kau pergi cium tiang tu. Tak habis-habis kau ni Yana. Kaki kau tu, baru je nak baik ni kau tambah pula kat dahi. Esok-esok ni, kat mana pula tak taulah aku,” Sofia mula membebel sambil menelek dahi temannya itu. 

Boleh tahan juga apabila Sofia mula berleter. Dayana hanya mampu menadah telinga sahaja. Sepatah pun dia tidak menjawab kata-kata Sofia. Melarat nanti, susah dia. Bimbang pula jika Sofia menjadi seperti ‘jenis’ emaknya yang berleter hingga susah mahu berhenti.

            Sepanjang hari fikiran Dayana asyik teringat akan peristiwa tadi. Gelagat Zaki sedikit sebanyak meresahkan dan merimaskannya. Tambahan pula, sepanjang berada di dalam kelas hari ini, Dayana dapat rasakan Zaki dan Fahim sering mencuri pandang padanya. Rimas pula dia dengan mereka berdua itu. Kegelisahannya semakin berganda dengan ayat yang terkeluar dari mulut Fahim tadi. Masih terngiang-ngiang di telinga Dayana hingga kini.




No comments: