Tuesday 21 May 2013

Bab 7



Hai, menung panjang nampak anak aku ni?” sapaan suara itu menyentakkan Dayana yang sedang enak bermenung di tepi kebun di belakang rumahnya. Pantas dia menoleh ke arah empunya suara itu.

              “Makcik. Terkejut Yana.” Ujarnya sambil tangan melekap di dada. Mujur baik dia tidak meloncat tadi kerana terkejut.

              “Apa kau buat kat sini sorang-sorang Yana?” soal Halijah. Duduknya sudah dilabuhkan di sisi gadis itu.

              “Saja ambil angin,” jawab Dayana kemudian menyambung

              “Azreena mana?’ soalnya pula.

              “Ada kat rumah. Masa makcik keluar tadi, dia ada kat dalam bilik. Asyik terperap je hari ni.” Balas Halijah, matanya memandang kebun kecil milik Zakiah di hadapan. 

              “La, Kak Jah ke. Dah lama sampai? Apa pasal hari ni duduk kat belakang pula? Jomlah kita lepak kat depan sana. Sini, kan tempat anak-anak muda lepak.” Tegur Zakiah sebaik menjengulkan wajah di sebalik pintu dapur rumahnya.

              “Aku pun macam anak kau juga, saja ambil angin kat sini.” Halijah memandang wajah anak angkatnya. Mereka saling berbalas senyuman pula. Belakang kepala Dayana, diusap.

              “Makcik nak minum?” soal Dayana. Pandangan mereka bersatu. Dayana mengerutkan kening. 

‘Lain benar pandangan Makcik Jah hari ini.’ desisnya. Jelas kelihatan riak sayu tergambar di wajah wanita itu.

              “Biasa ya Yana, kopi. Makcik kalau sehari tak kena kopi yang kau buat, tak boleh duduk aku. Tak tahulah apa yang kau taruk dalam kopi tu sampai aku ketagih.” Dayana hanya tergelak kecil. Sudah lali telinganya mendengar kata-kata itu. Dia bangun, wanita itu ditinggalkan bersama emaknya.

              “Kenapa ni Kak Jah?” soal Zakiah sebaik melihat jirannya itu seperti kemurungan.

              “Entahlah Yah. Seminggu dua ni, aku rasa semacam je. Sayu sangat hati aku sehari dua ni. Aku ada benda nak cakap kat kau ni Yah.” Ujarnya. Zakiah mula mengerutkan keningnya. 

              “Apa dia kak?” wajah Halijah kini menjadi tatapannya. Dia mendengar wanita itu mengeluh panjang.

              “Aku rasa hidup aku ni tak lama dah. Aku nak kau tengokkan Ina bila aku dah tak ada nanti. Dahlah dia sorang je anak perempuan yang aku ada.” Air matanya kelihatan bergenang. Nada suaranya juga sedikit sebak.

              “Apa Kak Jah merepek ni?” dahi Zakiah semakin berganda lipatannya.

              “Mati tu pasti Yah.” Mendatar nada dari Halijah.

              “Yalah, semua orang tahu tu kak tapi,”

              “Yah, tolong akak ya. Jangan lupa pesan akak tu.” Halijah memotong percakapan Zakiah. Dia tahu Zakiah mahu mengatakan sesuatu tetapi dia tidak mampu untuk mendengarnya lagi. Masa terasa semakin suntuk, baginya.

              “Insya Allah kak. Yah akan buat.” Zakiah juga malas mahu memanjangkan isu itu. Senyuman kelihatan terleret di bibir tua Halijah. Dia tahu, Zakiah memang boleh diharapkan.

              “Airnya makcik. Jemput minum..” pelawa Dayana. 

Halijah memegang ‘telinga’ cawan berisi air kopi panas yang berkepul-kepul asapnya menerawang ke udara. Aroma yang terhasil, menyengat hingga ke dalam hidung. Slurp... bunyi hirupan yang terhasil oleh wanita itu. Dayana hanya melebarkan senyuman dengan telatah emak angkatnya itu.

              “Alhamdulillah. Rasanya, nilah air kopi kau yang terakhir makcik minum Yana.” Keluar kata-kata itu dari mulutnya. Dayana pantas sahaja memalingkan wajah. 

              “Kenapa cakap macam tu makcik?” soal Dayana. 

              “Saja. Dahlah Yah, aku balik dulu. Ingat pesan aku tu.” sedikit bersusah payah Halijah cuba berdiri. Dia hanya melangkah pergi sebaik melihat anggukkan dari Zakiah. Dayana hanya memandang gelagat dua orang dewasa itu, silih berganti. Akhirnya, bahu dijongketkan.



             
Dayana telah dikejutkan dengan berita yang sangat menyedihkan. Makcik Halijah, merangkap emak angkatnya telah kembali ke rahmatullah. Innalillahiwainnailaihirojiun. Pilu hatinya saat melihat Azreena yang sedu-sedan menangis. Kasihan Azreena. 

“Mak ingat, Makcik Jah kau cuma bergurau je hari tu,”

             “Apa mak cakap ni?” Dayana menyoal kehairanan tanpa sempat emaknya habis bercakap.

         “Hari tu, dia ada pesan kat mak suruh tengokkan Azreena kalau dia dah tak ada. Memang dia merepek sangat kebelakangan ni. Macam tak percaya, Makcik Jah ko dah tinggalkan kita.” Dengan hujung jari dia mengesat air mata yang terbit dari tubir matanya. Dayana juga turut ditempias rasa sebak.

              “Malam ni mak izinkan adik tido kat rumah Azreena. Kesian mak tengok dia.  Ko pujuklah dia dik. Mak tengok dari tadi dia tak nak makan.” Ujar Zakiah. Dia baru sahajaa pulang setelah selesai semua urusan berkaitan jenazah emak gadis malang itu. Zakiah melihat anaknya mengangguk. Tidak pernah sekali dia menyekat hubungan antara mereka berdua. Zakiah kenal akan Azreena yang sangat akrab dengan Dayana sejak dari sekolah rendah lagi. Sudah seperti saudara kandung mereka berdua itu.

“Yalah mak. Nanti adik pujuk dia.” Balasnya. Dayana memahami akan keadaan Azreena. Sedangkan kepiluan semasa bapanya meninggal dulu pun masih terasa hingga kini. Nampaknya, dia perlu menjadi tunjang kepada Azreena. 

Dayana kini telah berada di rumah Azreena. Betapa lemah dia melihat Azreena yang sedang berada di dalam kemurungan itu. Asyik sahaja sahabatnya itu dengan tangisannya. Dari dia sampai hingga sekarang, air mata tidak pernah lekang darinya. Gadis malang itu, benar-benar diruntun pilu. Jiwa dukanya terus dilayan. Dayana mendekati Azreena sedang di tangan menatang sepinggan nasi dan sebelah tangan lagi memegang gelas berisi air masak. Dia sudah duduk di sebelah sahabatnya itu. Bahu sahabatnya disentuh.

“Azreena, marilah makan. Jom, aku temankan kau.” ujarnya.

“Aku tak lapar Yana.” Jawab Azreena.
 
“Janganlah macam ni. Makanlah, sikit pun tak apa.” Pujuknya lagi.

“Aku tak selera. Tak tertelan nasi tu bila muka mak aku asyik terbayang je kat mata ni.” Balas Azreena. Air mata sudah berjuraian, mengalir deras membasahi kedua pipinya.

“Sabarlah. Mak kau mesti sedih tengok kau meratap sampai macam ni. Aku kan ada. Aku janji akan selalu kat sisi kau selagi hayat dikandung badan,” kata Dayana sambil menyuakan sepinggan nasi kepada sahabatnya yang kelihatan sangat lesu. Sedikit sebak nadanya saat menuturkan ayat yang terakhir itu. Lagi deras dia mendengar raungan Azreena. Dayana terkedu, bibir bawahnya sudah digigit. Sudahlah kawannya itu sedang bersedih, boleh pula dia menambah lagi kesedihannya tanpa disengajakan. Azreena merebahkan badan, kepalanya pula dilentokkan ke riba Dayana.

 “Entahlah Yana. Aku tak tahu macam mana hidup aku lepas ni. Aku sedih sangat. Tak sangka, secepat ni mak pergi tinggalkan aku.” Dia kembali menangis, teresak-esak di ribaan Dayana. 

Dayana hanya mampu mendengar luahan hati sahabatnya itu. Dia mengusap kepala sahabatnya dengan lembut. Semalam, elok sahaja dia tengok Makcik Halijah tu. Tup tup, pagi ni dapat berita yang emak angkatnya itu telah meninggal dunia. Sesungguhnya ajal dan maut itu adalah urusan Allah S.W.T. Mati itu pasti buat semua makhluk ciptaanNya. Tiada hidup kekal abadi di dunia nan fana ini. Apabila kita dikehendaki pulang ke pangkuanNya, tiada siapa yang dapat mengelak.

“Sabarlah Azreena. Kau kena ingat, kau masih ada aku. Kita sama-sama harungi hidup ini.” Pujuk Dayana. Semoga apa yang dikatakannya dapat memberi sedikit kekuatan buat sahabat yang disayanginya itu. 

Azreena mengenggam kemas tangan Dayana. Dia menganggukkan kepalanya. Tiba-tiba sahaja, dada Dayana terasa sebak lalu mengalirlah air matanya tatkala mengenangkan emak. Rindu pula dia pada emak sedangkan rumahnya dengan rumah Azreena bukanlah jauh mana pun. Hanya berselangkan beberapa rumah sahaja. Pemergian ibu Azreena banyak membuka matanya. Terasa seperti banyak dosanya pada emak. Dayana mula menginsafi diri yang serba kekurangan itu. Dia berazam untuk menjadi anak yang solehah. Selagi hayat dikandung badan, selagi itulah dia akan berbakti kepada emaknya yang banyak berkorban untuk mereka berdua. Dia berazam akan belajar bersungguh-sungguh demi emak. Ya, demi membalas jasa emaknya. Dayana tidak dapat membayangkan jika dia yang berada di tempat Azreena sekarang. Mampukah dia mengharungi semuanya sedangkan Azreena masih mempunyai ayah dan abang-abang yang telah dewasa dan bekerja tetapi bagi dirinya pula hanya ada Liana. 

Entahlah semua itu bukanlah urusan manusia biasa. Hanya Dia yang tahu segala ‘rahsia’ tentang kehidupan hambaNya. Yang pastinya, apa jua dugaan perlulah dihadapi dan ditempuhi dengan penuh kesabaran dan ketabahan. Janganlah sesekali melupakan doa kerana ia adalah kekuatan bagi seseorang muslim.




No comments: