Monday 20 May 2013

Bab 5


BAB 5

Betul seperti apa yang diteka oleh Dayana tadi. Sampai sahaja di rumah, emaknya amat terkejut melihat dia yang berjalan terhencut-hencut itu. Merah telinga Dayana mendengar bebelan emaknya. Mujur tidak bernanah telinganya itu. Nak buat macam mana, sendiri yang cari sakit. Liana hanya mampu menggeleng. Mujurlah emak mereka tahu juga mengurut sikit-sikit. Bukan kata seribu tetapi rasa macam berjuta kerutan di wajah Dayana yang sedang menahan kesakitan ketika kakinya diurut oleh emak. Sakit oo.

            “Sebab tulah ada pesanan berhati-hati di jalan raya! Ni tak, kau main redah je.  Apalah nak jadi ngan ko ni dik? Tak habis-habis dengan perangai cuai ko tu. Kalaulah longkang tu besar, ish…’selisih malaikat 44’. Tak boleh mak nak bayang apa yang jadi kat ko. Mahunya patah kaki ko ni tau tak!” bebel Zakiah. Dia bersyukur tiada kejadian yang lebih buruk menimpa anaknya itu.

            “Alah mak ni, adik bukannya sengaja. Sungguh, adik tak perasan ada longkang kat depan masa jalan tadi. Nasib baik Fara dengan Azreena ada sama. Jangan risaulah, esok baiklah kaki adik ni.” Balas Dayana cuba mempamer sengih tetapi menyeringai juga yang dizahirkan pada riak wajahnya, menahan kesakitan.

           “Hah menjawab cakap mak! Tulah, kan mak pesan lepas sekolah, balik. Ni, ke mana ko melencong? Hah, itulah berdosa dengan mak lagi. Kan dah dapat balasan. Adik..adik, ” kata Zakiah sambil menggelengkan kepalanya. 

 Buk! Seperti seketul batu besar telah menghempap Dayana ketika ini. Terasa seperti berbakul-bakul dosanya terhadap emak. Dia tidak bermaksud langsung mencipta dosa terhadap emaknya itu. Sempat lagi emak menghadiahkan satu cubitan yang berbisa ke pahanya. 

“Aduh, sakitlah mak. Adik minta maaflah. Mana ada melencong ke mana. Tadi, kami ada buat study group. Kalau tak percaya, tanya Fara tak pun Azreena.  Diorang ada samalah dengan adik tadi. Kan adik dah pesan kat kakak, dia beritahu mak tak?” Semput Dayana menerangkan segalanya kepada emak. Satu jelingan diberikan oleh emak kepadanya.

 ‘Amboi tajamnya jelingan mak aku ni. Apalah nasib aku hari ni? Siang tadi kena cubit dengan Azreena, malam ni dengan mak pula. Hai nasib badan.’ keluh Dayana. Dayana melihat muka ketat emaknya semakin kendur.

            “Memanglah dia ada beritahu mak. Hmm, ahlah! Lain kali jangan buat macam ni. Tak apalah, kalau ko balik lambat lepas ni, mak faham. Tapi ingat, jangan nak merepek ke lain pula. Satu lagi, kau kena ingat, jangan nak ambil kesempatan pulak buat benda lain. Kalau mak tahu siap ko! Mak maafkan anak mak ni dan sebagai denda, ko kena tolong mak jahitkan tulang belut baju kawan mak ni. Dia nak sangat ko yang jahit.” Akhirnya Zakiah beralah. 

“Jahit pun jahitlah mak. Orait mem. Sayang mak,” jawab Dayana mengangkat tabik dan kemudian memeluk emaknya. Dengan automatik, sakit di kakinya terasa hilang sedikit.




Liana yang sudah siap memakai pakaian seragam sekolahnya berjalan merapati tilam yang terdampar tubuh Dayana di atasnya. Adik kembarnya itu kelihatan masih enak mengerekot, memeluk tubuh di atas katil usang yang menjadi medan peraduan mereka saban malam. 

“Adik, bangunlah. Dah lambat ni. Kau nak pergi sekolah ke tak?” Liana mengejutkan kembarnya. Dia sudah bercekak pinggang sekarang. Dayana masih begitu, tiada sebarang jawapan darinya.

“Apa pasal kau liat sangat nak bangun dik. Cepatlah,” kejut Liana lagi. Bergoyang-goyang tubuh Dayana ditolak lembut oleh Liana. Bengang juga dia dengan perangai kembarnya pagi ini. Selalunya, elok sahaja Dayana bangun. Awal dari dia lagi. Tapi hari ni, lain pula jadinya. Tidak pernah pula Dayana begitu.

“Adik..” panggil Liana lagi kali ini oktaf suaranya sudah ditinggikan sedikit. Lambat-lambat dia melihat Dayana membuka mata dan kini kembarnya sedang bersila sambil menggeliatkan tubuh.

“Macam mana aku nak pergi sekolah kak? Kaki aku ni, sengal sangat. Kau tengok, bengkak pula tu?” Kata Dayana yang sudah duduk di birai katil. Ditundukkan kepalanya, membelek kaki kanan yang sedang membengkak itu. 

            “Entah-entah bentan agaknya kaki kau tu dik? Kalau sakit sangat, cuti ajelah. Lagi pun, hari ni hari Jumaat. Esok, lusa cuti. Rehat ajelah kat rumah. Nanti mak tulis surat kat cikgu ko.” Kata Zakiah yang turut sama membelek kaki Dayana yang kelihatan bengkak itu. Liana meninggalkan emak dan Dayana di situ. Dia mahu bersiap.

            “Yalah mak. Eh, adik tunggu kat luar sekejap ya mak. Karang kawan-kawan adik tertunggu-tunggu pulak. Kesian kat diorang nanti.” Kata Dayana dan dengan perlahan dia bangun dari katil. Dia mengatur langkah dengan berhati-hati. Bimbang jika terpelecok lagi. Liana sedang memakai kasut sekolahnya di muka pintu. 

            “Kak, kawan-kawan aku dah sampai ke?” Liana yang sedang memakai kasut sekolahnya di muka pintu, ditanya. Dayana lantas duduk di kerusi yang berada di sebelah kembarnya itu. 

            “Tak apalah, kalau terjumpa diorang nanti aku beritahulah yang kau kena cuti hari ni. Dah, pergi masuk berehat. Nanti, lagi bengkak teruk kaki kau tu. ” balas Liana. Lantas dia bangun dan menepuk-nepuk bajunya yang sedikit renyuk itu. Dia menyalam tangan emak, kemudiannya berlalu pergi.  

            “Mak, bosanlah duduk je kat rumah. Ada apa-apa ke mak nak adik buat?” soal Dayana yang mahu menjadi anak solehah. Dia melihat emak duduk di mesin jahitnya. Tekun dia perhatikan emaknya yang sedang menjahit baju pelanggan. Emak mengangkat muka, memandangnya.

            Ko buatlah apa yang patut dik tapi janganlah kerja yang berat. Karang bertambah sakit kaki ko tu. Tu kat dapur, mak dah rendam ikan pari. Ko masak asam pedas ye. Sayur kubis yang ada kat dapur tu, ko masaklah apa pun.” Balas Zakiah lalu kembali menyambung kerjanya. 

            “Okey.” Dayana berlalu pergi. Niat di hati yang pada awalnya mahu ke dapur dilencongkan ke kamar tidurnya. 

Sementara itu disekolah, loceng telah berbunyi menandakan waktu persekolahan bermula. Fahim berasa sedikit resah. Panjang lehernya mengintai ke arah kelompok pelajar perempuan di kanannya. Wajah yang dicari sejak dari tadi langsung tidak kelihatan. Dia memandang lagi ke arah kumpulan pelajar perempuan itu. Entah sudah berapa kali dia menoleh ke sana.

‘Tak ada juga. Tak datang ke dia hari ni? Teruk ke seliuh kat kaki dia?’ soal Fahim dalam hati. Dia langsung tidak perasan yang dia sedang diperhatikan oleh seseorang.

            “Amboi-amboi kau Fahim. Terjenguk-jenguk dari tadi aku tengok. Kau cari buah hati kau ke?” soal suara itu. 

‘Mana pula datangnya suara tu?’ soalnya. Dia menoleh ke belakang. Terbesar biji matanya melihat Sofia sedang tercegat berdiri di belakangya. Terlalu asyik mencari seseorang, langsung dia tidak perasan ada orang di belakangnya.

            “Merepeklah kau ni Sofia. Mana ada, aku saja buat senaman leher hari ni.” balas Fahim kemudian tersengih. Cepat-cepat dia melangkah ke hadapan sedikit kembali bersama kumpulannya.

“Uish, boleh tahan loyar buruk juga mamat ni.” Bisik Sofia. 

 ‘Patutlah Dayana minat kat kau selama ni, Fahim. Nasib baik aku dah ada si jantung hati, kalau tak...’ desis Sofia. Terserlah ketampanan jejaka itu saat dia meraup rambutnya ke belakang. Mata Sofia terhala terus ke arah Fahim. Leka seketika dia. Sebaik melihat jejaka itu terpisah semula dari kumpulannya, Sofia merapati Fahim.

 “Tak payah seganlah dengan aku, Fahim. Dia tak datang hari ni. Azreena kata, kaki Yana bengkak jadi mak dia suruh cuti hari ni. Kalau kau rindu kat Yana, pergilah jenguk dia.”  Cadang Sofia.

 “Ada-ada je kau ni Sofia. Tak apalah, aku gerak dulu.” Pantas Fahim bergerak meniggalkan Sofia yang tersengih macam kerang busuk.  

‘Fahim, Fahim. Kalau betul kau rindu, luahkan jelah. Tak nak selindung lagi. Jangan kau jadi macam Yana, sampai sekarang dia pendam je perasaan dia pada kau. Hai, nasib korang berdualah.’ Kata Sofia sendirian dan dia kemudiannya mengatur langkah menuju ke kelas bersama dengan yang lain. 




Kaki Dayana kian beransur pulih. Teruk juga dia bertarung dengan perasaan bosannya selama tiga hari ketika di rumah. Ternyata, pagi ini girang di hati Dayana kerana dapat juga keluar dari kepungan kebosanan yang melandanya itu.

 “Fara, aku ada bawak karipap pusing hari ni. Kau tolong agihkan ya.” Pinta Dayana. Dihulurkan bekas karipap yang dipegangnya kepada Fara. Dari dalam bas lagi, Azreena sudah membebel padanya kerana sanggup memegang bekas karipap yang agak besar itu. Dia terkenang kembali perbualannya dengan Azreena tadi.

“Hish, sanggup kau pegang bekas ni. Kalau akulah, kirim salam je. Tak ke seksa diri kau tu Yana? Mana nak naik bas, nak pegang bakul tu lagi. Dahlah hari ini muatan penuh bas yang kita naik.” Rungut Azreena sebaik melihat dengan susah payah temannya itu berdiri sambil memegang bekas besar yang berisi kuih karipap pusing itu. 

“Nak buat macam mana Azreena. Dah berniat nak buat kenduri hari ni. Penat aku buat karipap pusing ni tau.” Balas Dayana. Dalam Azreena membebel padanya, sempat lagi dia menyental dua biji kuih karipap hasil air tangannya itu. Khayalan Dayana pecah apabila,

“Wah, sedapnya karipap ni. Mak awak buat ke Dayana?” soalnya. Memang sedap!

 “Bukan mak dialah yang buat Fahim. Kalau kau nak tahu, Yana ni pakar buat karipap pusing tau. Ni, dia kelim karipap dengan tangan bukan pakai acuan. Bukan takat karipap je memasak, menjahit, pendek kata macam-macam lagilah yang dia pandai buat. Korang tak pernah lagi rasa asam pedas Yana. Tiba-tiba, lapar pula perut aku ni Yana bila terkenangkan asam pedas kau tu. Untung siapa yang kahwin dengan dia nanti.” Berjela-jela pujian dari Fara. 

‘Hai, lebih-lebih pula Fara. Nasib baik aku ni jenis yang tak makan pujian. Agak-agaklah kalau nak puji pun.’ Gumam Dayana dalam hati. Disikunya Fara. 

Fara tersentak sedikit, menoleh, memandang wajah temannya dengan senyuman sumbing terukir di bibir. Kedua keningnya terangkat, berkali-kali. Yalah, dah memang betul semua itu kepakaran Dayana. Takkan dia mahu nafikan pula.

“Ya ke Fara? Bertuahlah siapa yang kahwin Yana, kan? Kalau sudi, esok bawalah lagi. Kalau hari-hari awak buat kenduri macam ni, mesti seronok kan?” suara itu mencelah. 

Mata Dayana sudah dijulingkan ke atas, muka masam mencuka ditarik dan mulutnya dicebik. Cukup semua rencah untuk rasa JENGKEL!

Ekeleh, mamat sengal ni. Kalau ya pun, takkanlah hari-hari nak makan karipap yang aku buat. Agak-agaklah?’ Rungut Dayana perlahan. Malas mahu melayan kerenah Zaki terus sahaja dia mengangkat kaki dan duduk semula di kerusinya. 

 ‘Zaki, Zaki. Tak habis-habis nak menyakat Yana.” Gerutu Fahim. 

Dia memandang wajah yang sering membuatkan lenanya terganggu. Seperti ada tarikan pada wajah itu. Memang Dayana berkulit gelap tetapi sangat manis orangnya. Hidungnya yang mancung. Mata yang sedikit bulat dengan alis matanya yang lebat terlindung di sebalik cermin matanya. Apabila dia tersenyum, tersangatlah manis dan dia perasan gadis itu mempunyai lesung pipit di sebelah kiri pipinya. Tapi entah kenapa, sangatlah jarang bagi Dayana menyedekahkan senyuman manisnya. Seolah-olah, ada sesuatu yang menghalang. Fahim juga perasan, sejak akhir-akhir ini, rakannya Zaki juga seolah-olah cuba menarik perhatian Dayana.  

‘Hai, nampaknya aku ada persaing sekarang. Tak boleh jadi ni.’ Desis hati Fahim yang masih lagi leka memandang gadis itu.

No comments: