Monday 20 May 2013

Bab 4



BAB 4

Kelihatan enam sekawan itu sedang berjalan perlahan menuju ke tempat yang telah dicadangkan oleh mereka. Sebaik sampai, hampir terjegil mata Dayana. Mana tidaknya, turut ada di situ dua jejaka yang sering membuatkannya resah selama beberapa bulan ini. Perangai ‘tok  nenek’ mula menyerang Dayana. Perangai apa lagi kalau bukan kalut. Dayana sudah bertukar menjadi gelabah bukan ‘Incredible Hulk’ ya. Dek kerana terlalu asyik memandang mereka, Dayana tidak sedar ada longkang kecil di hadapan. Apa lagi, terus sahaja dia terpelecok lalu jatuh terduduk ke lantai. 

“Aduh...” ayat itu yang terkeluar lantas Dayana memicit buku lalinya. 

“Ya Allah, Yana kenapa ni?! Apalah kau ni Yana, mata kau letak kat mana? Tengok, kan dah jatuh. Yana..Yana. Tak habis-habis kau mengundang malapetaka,” bebel Fara lantas menerpa ke arah sahabatnya itu. 

 Zaki dan Fahim juga turut sama menerpa ke arah Dayana. Raut wajah mereka kelihatan cemas.

“Eh, tak apalah Fara, aku okey. Maaflah aku cuai sangat sampai tak perasan ada longkang kat sini.” balas Dayana cuba menenangkan mereka. Walhal, sedaya upaya dia cuba menutup kegugupan kerana Zaki dan Fahmi sudah berdiri di hadapannya. Kedua-duanya menghulurkan tangan dengan serentak. Semua mata rakan-rakan yang lain kini tertumpu ke arah mereka, silih berganti. 

‘Aduh, malunya aku. Kebas dah muka aku ni,’ rintih Dayana. Dia menoleh dan melihat ada tiang di sebelah kanannya. Terus sahaja dia memaut tiang itu, cuba untuk berdiri. Tidak perasan pula Dayana bila tiang itu muncul? Masih sempat lagi dia tersengih walaupun sakit di kakinya kian menyucuk. Dia sempat mengerling ke arah mereka berdua itu, tergambar jelas raut kehampaan di wajah mereka dengan penolakannya terhadap pertolongan yang ingin mereka hulurkan. 

‘Gila! Takkanlah aku nak sambut tangan diorang tu serentak. Ada ke patut? Tak pasal-pasal nanti perkara ni akan jadi bahan usikan pula. Ya Allah, semoga Fara tidak membuka mulutnya, mempersoalkan takdir ini,’ doa Dayana. Sudahlah mereka kini menjadi perhatian. 

 “Awak okey ke Dayana? Saya tengok muka awak tu berkerut semacam je.  Jangan-jangan kaki awak terseliuh tak?” Fahim cuba meneka. Dia resah apabila memerhatikan betapa payahnya gadis itu mahu mengatur langkah, kelihatan pincang benar langkahnya.

Dayana terkejut dengan tekaan dari Fahim, sedangkan tekaannya itu sangatlah tepat. Toing... dia bungkam lalu menundukkan wajah. Tidak mahu Fahim melihat riak wajahnya yang terkejut itu.

“Tak adalah, sikit je.” Balas Dayana. Cuba untuk mengatur langkah semula. Malangnya, sekali lagi dia terpelecok. Auch! Bekerut mukanya menahan kesakitan. Dia menoleh ke kiri apabila terasa lengannya dipaut, rupa-rupanya Fahim. Besar mata Dayana memandang lelaki itu. 

‘Ei, kenapalah dia ni suka sangat pegang-pegang aku?’ bentak Dayana. Dia cuba mengawal dirinya supaya bertenang. 

 “Maaf, saya cuma nak membantu je. Saya rasa, kaki awak tu memang terseliuhlah Dayana. Saya bantu awak duduk ya. Mari...” katanya. Tanpa disuruh, Fahim memapah gadis itu ke pondok di hadapan mereka. Rakan-rakan yang lain hanya memandang sambil menguntum senyum yang penuh makna. 

 “Terima kasih Mohd. Fahim Hijazi. Saya rasa, awak boleh lepaskan tangan saya sekarang.” Ujar Dayana cuba mengawal nada geramnya. Tidak baik pula marahkan orang yang telah menolongnya tetapi cara jejaka itu yang tidak kena. Hendak ditegur, bimbang kecil hati pula jejaka itu nanti. Tapi apa yang dia buat memang salah dari segi syarak. Dayana membuat isyarat mata pada Fahim yang sedari tadi masih memegang lengannya. Fahim yang sedikit tersentak, lantas meleraikan pegangan tangannya itu. 

‘Nasib baiklah berlapik, kalau tak sah-sah tersentuh kulit aku ni.’ Dayana merungut kembali. Dia merasa amat malu. Seumur hidupnya, belum pernah ada lelaki yang memegangnya begitu. 

“Maaf, saya tak sengaja Dayana. Saya cuma nak tolong awak je. Tak ada niat lain.” Terang Fahim sekali lagi sambil menahan malu. Dia pun keterlaluan juga kerana tidak hirau akan perasaan gadis itu. Fahim kemudiannya bangun dan mengambil tempat duduk selang beberapa kerusi dari Dayana. Bersebelahannya pula ialah Zaki yang sedari tadi hanya mendiamkan diri. Keruh wajah Zaki ketika itu.

 “Ehem! Amboi kau Yana, dalam diam rupanya kau ni ek. Tak sangka aku, ada sang hero datang menyelamatkan kau. Nampaknya cinta sedang berputik ya...” tiba-tiba Fara bersuara mengajuk dengan cara percakapan ala-ala tahun 60-an sambil senyuman yang Dayana anggap senyuman mengejek, terhias manis dibibirnya.

‘Habislah aku macam ni. Kalaulah Fara tercerita pada mak aku, matilah aku. Tak boleh jadi ni. Aku kena cakap dengan Fara ni.’ Omel Dayana sendirian. Dia menjadi tidak senang duduk dengan usikan Fara itu.

“Memandailah kau ni Fara. Aku mana ada apa-apa dengan Fahim. Ala, dia tolong aku pun sebab kebetulan kan dia berdiri kat sebelah aku. Janganlah kau fikir yang bukan-bukan pula. Jom, kita mulakan study group kita ni. Karang lambat pula habis.” Balas Dayana.

“Pstt... Fara. Aku rasa perkara ni setakat ni ya. Aku tak nak mak aku tahu. Kau faham-faham ajelah mak aku tu, macam mana.” Pinta Dayana dengan nada yang sedikit berbisik. 

Fara menganggukkan kepalanya. Walaupun dia sering mengusik Dayana namun dia adalah seorang sahabat yang baik malah rumah mereka pun tidaklah jauh mana. Buka pintu dapur rumahnya maka kelihatanlah pintu dapur rumah Dayana. Sangat dekat dan kalau nak jumpa, hanya panggil sahaja. Selalu mereka bersembang di belakang rumah. Ada kebun kecil di situ milik keluarga masing-masing. Mereka gemar duduk sambil mengambil angin di situ apabila ada waktu lapang di petang hari. Ada ketika, siap berkelah lagi. Kadang-kadang, rakan mereka yang lain pun turut sama menumpang sekaki. Maklumlah, rumah mereka yang lain pun tidaklah jauh sangat. Masih dalam kampung itu juga. 

Dayana merasakan denyutan di kakinya kian kuat. Digagahkan dirinya, menyembunyikan kesakitan itu dari pengetahuan rakan yang lain. Tidak mahu tumpuan rakan-rakannya terjejas hanya kerana dia. Setelah hampir sejam setengah, akhirnya perbincangan mereka selesai. Dayana dengan pantas mengemaskan beg sekolah, memasukkan buku ke dalamnya. Sebahagian dari rakannya telah mula meninggalkan pondok tempat mereka berkumpul. Fara dan sahabat yang lain masih menunggu dirinya yang sedang terkial-kial mengatur langkah. Setiap kali melangkah, sakit di kakinya makin rancak berdenyut. Dia cuba juga untuk bertahan. 

‘Nampak macam cedera teruk pula kaki Dayana ni?’ bisik Azreena. Masih leka dia memandang ke arah temannya itu yang sedang berjalan terhencut-hencut.

 “Kau boleh jalan ke Yana? Risau aku dengan kaki kau. Tulah, tadi berlagak sangat kata sikit je. Ni, macam mana kau nak jalan? Terhencut-hencut dah macam orang OKU je aku tengok kau. Kalau macam ni gayanya, senja pun belum tentu kita sampai.” Bebel Azreena yang bermulut laser itu. Sempat lagi dia memerli rakannya itu. 

 ‘OKU dikatanya aku. Cess, sabar ajelah.’ Gerutu Dayana dalam hati. Walaupun sedikit geram, tetap sahaja dia tersengih. Malas nak bertikam lidah dengan sahabatnya itu kerana yang pasti dia akan kalah juga.

“Boleh kot kalau jalan pelan-pelan. Kalau kau nak balik dulu, pergilah.  Janganlah risaukan aku, okey. Takut nanti kena marah dengan mak kau pula sebab tunggu aku yang lambat ni.” Balas Dayana kemudiannya.
Lantas satu cubitan hinggap di lengannya sebaik sahaja habis dia berdialog.

“Adoi, sakitlah mak ketam oi! Ish, dah macam ketam nak salin kulit je aku tengok kau ni Azreena.” Bebelnya sambil mengaduh. Mahunya tidak sakit. Sudahlah kuku Azreena itu panjang. Sabar sajalah Dayana dengan Azreena. Dia menggosok lengannya yang terasa pedih itu.

“Amboi, macamlah kau pernah tengok ketam nak salin kulit. Dah, kau jangan nak mengada. Kau ingat, aku ni jenis pentingkan diri ke? Tak ada maknanya tau mak aku nak marahkan aku. Alah, macamlah kau baru kenal dengan mak aku tu, sayang sangat kat anak angkat dia ni. Kalau dia tahu kaki kau tengah sakit macam gini, mahunya dia suruh abang aku jemput kita balik tau.” kata Azreena 

 “Eleh, cemburulah tu. Yalah, yalah, aku minta maaf. Okeylah, jom kita jalan sama-sama. Tapi, kau jangan marah kalau aku lambat. Fara dengan yang lain dah ke depan. Jomlah, karang lambat pula nak sampai rumah.” Dayana memujuk Azreena sambil memaut lengan rakannya itu. 

Anak manja memang begitu. Sudah jadi tabiatnya suka merajuk. Macam mana tidak manja, hanya dia seorang saja anak perempuan dalam keluarganya. Sudahlah tu, anak bongsu pula. Hampir semua yang Dayana kenali berstatus anak bongsu memang begitulah perangainya. 

Dayana kemudiannya berjalan perlahan menyaingi Azreena. Sakit di kakinya, hanya Tuhan yang tahu. Dia cuba juga untuk bertahan. Satu peperangan sedang melanda hatinya. Memikirkan apa yang perlu dijawab pada emaknya bila sampai di rumah nanti? Mahunya tiga hari tiga malam dia dibebel oleh emaknya, Zakiah.




No comments: