Sunday 19 May 2013

Bab 3



BAB 3

Begitu khsuyuknya Dayana yang sedang menyiapkan peralatan makmal untuk eksperimen yang diberikan oleh Cikgu Rashidah. Sedang dia sibuk menyiapkan semuanya, tiba-tiba dia disapa oleh satu suara yang mahu meminjam jam tangannya. Mujur baik tabung uji yang sedang dipegangnya itu tidak terlepas. Tidak tengok muka pun dia sudah tahu siapa gerangannya. Siapa lagi kalau bukan Fahim. Ada sahaja barang kepunyaannya akan dipinjam oleh Fahim sepanjang mereka sekelas. Tanpa banyak soal, Dayana membuka jam tangannya lalu dihulurkan kepada jejaka itu. Fahim menguntum senyum yang sudah tidak mampu untuk dihitung oleh Dayana. Samalah dengan Zaki yang sedang berdiri di belakang Fahim.

“Terima kasih Yana. Sekejap lagi, saya pulangkan jam awak ni.” Ucap Fahim. Dua jejaka itu kemudiannya berlalu menuju ke kumpulan mereka. 

‘Alahai. Kenapalah agaknya dengan mamat-mamat tu?’ soal Dayana sendirian sambil mata tertumpu ke arah mereka berdua. 

 “Apa yang Fahim nak dari kau Yana?” soal Sofia. Sofia telah lama menghidu keanehan perilaku Fahim sejak kebelakangan ini. Hendak diajukan pada Dayana, malas pula. Telahannya hanya tersimpan kemas jauh di lubuk hati mengenai perasaan Fahim terhadap Dayana. Sofia hairan, mengapa Dayana langsung tidak perasan dengan cara Fahim yang mahu menarik perhatiannya? Hati batu ke Dayana? Tak ada perasaan ke? 

“Nak pinjam jam tangan aku. Ish, aku peliklah Sofia. Dalam ramai-ramai ahli kumpulan diorang tu, takkanlah seorang pun tak pakai jam. Hairanlah aku..” ujar Dayana. Berkerut lagi keningnya sambil pandangan terhala ke arah Sofia. Bukan Dayana tidak perasan, kebelakangan ini dia rasakan yang Fahim dan Zaki sering mencuri pandang padanya. Apabila dia memandang mereka, cepat-cepat mereka mengalihkan pandangan dan berbisik sesama sendiri. Rimas juga dia dengan kerenah mereka berdua itu. 

‘Entah-entah diorang kutuk aku tak?’ teka Dayana sendirian. Dia sudah mula memasang serkap jarangnya terhadap dua jejaka itu. 

‘Ish, tak baik pula aku berprasangka buruk pada diorang tu. Aku agaknya yang perasan lebih. Ah lantaklah,’ sambungnya lagi.

“Oi, apa yang kau menungkan tu? Karang meletup pulak bahan eksperimen kita dalam tabung uji tu dek tenungan kau.” Sergah Sofia setelah menyedari kebisuan rakannya itu. 

Dayana yang sedikit tersentak dengan teguran Sofia itu menarik nafas lega kemudiannya. Sekali lagi, nasib baik tidak terlepas balang kaca yang sedang dipegangnya itu. Dia memandang wajah Sofia yang sedang tersengih itu.

“Bertuah betul kau ni Sofia. Kalau terlepas balang ni tadi, kau nak ganti?” ujar Dayana.

“Tapi tak pecahkan..” dalih Sofia. Mencerlung mata Dayana, kurang berpuas hati dengan jawapan Sofia.

“Amboi, jawapan kau..” balas Dayana. 

Kini mereka saling menjelirkan lidah sesama sendiri. Mahu mengukur barangkali panjang mana lidah masing-masing.

“Macam-macamlah kau ni Yana,” kata Sofia sambil senyum dileretkan. Mereka berdua tertawa menyudahkan babak akhir cerita mereka saat itu.




Riuh suasana di kantin sekolah mereka. Waktu rehat yang berbaki lima belas minit itu benar-benar dimanfaatkan oleh Dayana dan rakan-rakannya yang sedang bersantap dengan penuh selera itu. Entah kenapa, sedap pula masakan makcik kantin hari ini. Hari-hari sebelum ni payah nak rasa makanan sesedap  itu.

 “Yana, petang nanti kitorang ingat nak buat study group. Kau nak join tak?” soal Fara sebaik mereka selesai makan. Kini, mereka sedang duduk bersantai di bangku panjang di kantin sekolah itu sementara menantikan waktu rehat tamat. 

Dayana bungkam seketika. Apa yang perlu dia jawab sedangkan dia sudah berjanji dengan emaknya akan pulang awal hari ini. Otaknya ligat berkerja, mencari alasan yang baik untuk mengelak diri.

“Tak apalah Fara. Korang buatlah ya. Rasanya aku tak boleh sertai korang. Aku kena balik awal, dah janji dengan mak aku. Biasalah, aku kena tolong dia Fara. Kaukan tahu mak aku tu macam mana orangnya. Lain kalilah ya.” Balas Dayana.

 “Yana, aku kenal kau bukan sehari dua tau. Kita besar bersama. Ni, mesti mak kau suruh tolong dia jahit baju, kan? Ala Yana, PMR dah dekat ni. Jomlah, ramai yang ada. Bolehlah Yana, kesian kat kawan-kawan yang lain. Diorang harap sangat kau dapat join sekali.” Rayu Fara lagi. Susah benar sahabatnya yang seorang itu mahu menyertai meraka. Selama ini, memang Dayana sering sahaja mengelak jika dipelawa untuk study group bersama. Ada sahaja alasan yang akan diberi olehnya. Fara masih menanti dengan sabar jawapan dari Dayana. Dia amat berharap agar Dayana akan turut sama kerana dia salah seorang pelajar cemerlang di sekolah mereka. 

Kedengaran Dayana mendecit. ‘Lecehlah macam ni. Tapi tak apa kot rasanya. Bukan aku nak pergi berhibur, nak timba ilmu je. Tak apalah, balik karang pandai-pandailah aku bagi alasan kat mak. Mesti mak akan faham punya.’ Dia mula berteka-teki dalam hati. Kemudian,

“Opss, baru aku teringat! Apa guna aku ada kembar?” Ujar Dayana tiba-tiba. Bingkas dia bangun. Nasib baiklah mereka sudah habis makan. 

Fara yang sedikit terkejut dengan reaksi spontan Dayana itu, terangkat sedikit kedua bahunya. Nampak jelas keningnya bertaut. Hairan dengan tingkah laku Dayana. 

 “Fara, kejap ya. Aku nak cari kakak aku dulu. Jumpa kat kelas nanti.” Kata Dayana yang sudah mengatur langkah meninggalkan Fara yang sedang terpinga-pinga dengan reaksinya itu.  

            Langkahnya semakin laju. Dari berjalan hinggalah berlari-lari anak. Sesiapa sahaja yang terserempak dengannya akan bertaut kening mereka kerana hairan melihat dia begitu. Tujuan Dayana hanya satu, menuju ke kelas kembarnya. Dari jauh, dia nampak kelibat Liana sedang berdiri di koridor di hadapan kelas mereka. 

Serta-merta Dayana teringat akan kata-kata Azreena bahawa Liana boleh menjadi sahabatnya tetapi rakan-rakan Liana belum tentu boleh menjadi sahabatnya. Pada mulanya dia agak hairan dengan maksud ayat Azreena itu. Bila difikirkan kembali, betul juga kata rakannya itu. Siapalah yang sudi berkawan dengan mereka yang berada di kelas pandai. Mereka juga dilabelkan sebagai budak-budak skema. Jika tiada guru di dalam kelas, masing-masing akan menyambung menelaah. Begitu juga dengan kelas Azreena. Selalu, kelas mereka mendapat pujian kerana kurang bising berbanding kelas yang lain.

“Kak, kau boleh tolong aku tak?” soal Dayana sebaik sahaja dia berdiri di hadapan kembarnya itu. Termengah-mengah dia kerana kepenatan berlari. Kembang-kempis hidungnya, cuba bernafas. Oksigen! Dia perlukan oksigen. Dia sudah terbatuk kecil. Sudah lama dia tidak berlari seperti itu sampaikan semput pernafasannya. Tercungap-cungap dia sambil cuba mengatur pernafasan dengan betul. Dia menunduk sambil menekan perutnya yang terasa senak itu. Itulah padahnya apabila berlari selepas makan.

 “Kuss semangat kau ni dik. Buat terkejut aku je. Hah kau nak apa!” soal Liana. Terkandung sedikit nada garang pada ayatnya. Atas bawah dia melihat kembarnya yang sedang termengah-mengah itu.

‘Apalah agaknya perkara penting yang dia nak beritahu sampai macam tu sekali adik aku ni berlari?’ soal Liana dalam hati. Liana mengerutkan kening sambil pandangannya masih terhala ke arah Dayana. 

“Amboi, garangnya kau kak. Macam ni, aku balik lambat sikit hari ni. Kawan-kawan aku nak buat study group. Aku dah tak upaya nak tolak, kak. Selalu sangat aku mengelat. Beritahu kat mak, aku minta maaf sebab balik lambat sikit hari ni. Aku janji, sebelum pukul lima aku balik.” terang Dayana dengan panjang lebar sambil berperang dengan semputnya itu. Semakin bertambah rasa tercungapnya. 

 Hesy, lecehlah kau ni dik. Yalah, nanti aku beritahu mak. Ni betul ke nak study group? Entah-ntah dating dengan sesiapa ke? Kau jangan dik, ingat mak pesan kat kita. Kalaulah mak tahu kau terlibat dalam hal cintan-cintun ni, nahas kau.” Liana cuba memberi peringatan kepada Dayana yang hanya dipanggil adik. 

  Eh, eh. Ke situ pula kau merepek kak. Agak-agaklah kau ni. Siapalah yang nak kat aku yang macam Dayang Senandung ni hah. Tak apalah kak, aku pergi dulu. Kau jangan lupa bagitau mak ya.” Balas Dayana yang tanpa berlengah terus mengangkat kaki berlalu. Loceng tamat waktu rehat telah kedengaran.

“Tu ke kembar kau Liana? Lain benar kau dengan dia. Kiranya, korang ni kembar tak seiraslah, ek?” tanya Yati, rakan baik Liana.

 “Hmm, tulah Yana kembar aku. Memang kami tak seiras pun. Dia lebih banyak ikut baka belah arwah bapa aku. Aku pula ikut belah mak.” balas Liana sambil tersengih. Sedikit berbangga kerana memiliki kulit yang cerah. Memang dia berbeza dengan Dayana. Sebab itu ramai yang tidak mengecam mereka sebagai pasangan kembar. Tidak seiras langsung.

“Jomlah masuk kelas. Karang tak pasal-pasal kena denda pula kalau lambat.  Dahlah lepas ni kelas Cikgu Natrah. Garang gila cikgu tu.” Ajak Liana. Sedikit gerun bila membayangkan kegarangan cikgu Sejarah mereka itu.


No comments: