Sunday 19 May 2013

Bab 2



BAB 2

Terasa begitu lambat masa berputar hari ini, maklumlah baru hari pertamalah katakan. Akhirnya tepat jam 1.15 petang, loceng menandakan tamat waktu persekolahan berbunyi. Riuh kelas mereka waktu itu. Masing-masing sibuk mengemas beg, tidak ketinggalan Dayana. Sebaik begnya telah selamat dizipkan tanpa sengaja dia terpandang ke arah meja di sebelah kanannya itu. Jejaka itu kelihatan sedang menggalas beg sekolahnya ke bahu, tiba-tiba pandangan mereka bersatu. Fahim menguntumkan senyum hingga mampu membuat Dayana terkedu. 

Dayana kembali gelabah. Lekas-lekas dia bangun dari kerusinya, beg sekolah diangkat lalu digalas ke bahu kanan dan terus sahaja bergerak menuju ke pintu kelas. Dek kerana kelam kabut tanpa disedari, dia telah terlanggar sesuatu. Elok sahaja dia jatuh terjelepuk ke lantai dengan ayunya. Perasaan malu, mula menguasai Dayana saat itu. Dia merasakan hidung mancungnya sedikit kebas. 

‘Apa yang aku langgar? Keras gila! Nasib baik tak patah hidung mancung aku ni,’ getusnya sambil tangan menggosok hidung yang sedang kebas itu. 

Gamat bunyi kelasnya. Sah, dia sedang ditertawakan. Dayana mendongakkan kepala, memandang ke arah ‘benda’ yang dilanggarnya tadi. Terbesar anak matanya saat ini bagai mahu sahaja terkeluar dari sarung. Mujur masih kuat gam yang melekat di kantung matannya itu. Dayana mengeluh sebaik mengenal pasti ‘benda’ itu yang sedang tersengih memandangnya. Terkial-kial Dayana yang sedang cuba untuk bangun. Dalam keadaan yang agak kelam kabut itu entah bagaimana, dengan selamba dia telah menyambut satu tangan yang dihulurkan kepadanya. Setelah berdiri dengan stabil, dia memandang ke wajah budiman yang sudi menolongnya. 

“Awak okey ke Dayana?” soalnya. Wajahnya dimaniskan. Pertama kali tangan gadis itu berada di dalam genggamannya. 

“Ya,” jawabnya ringkas. Dayana terkedu seketika. Tangan yang tadiya menyambut huluran jejaka itu kini mencengkam tepi baju kurungnya. Kalau boleh disental bagi menghilangkan dosa yang tercalit tadi, sudah tentu dia lakukan sekarang juga. 

‘Haram ni, haram,’ dia membentak dalam hati. Hanya mampu berdoa, semoga kesalahannya diampunkan Allah S.W.T. Bibir bawahnya sudah digigit. Mukanya sudah lain macam sekarang tambahan pula apabila melihat Fahim mempamerkan senyum. Senyum lagi!

“Terima kasih..” ucap Dayana ringkas. 

Malu, geram... tidak tahu mana yang sepatutnnya mendahului. Ditahan sahaja, jauh ke lubuk hatinya. Dia berpaling dari Fahim, mula bergerak meninggalkan mereka yang lain. Mana tidaknya, semua orang sedang mentertawakannya. Kebas terasa mukanya kerana menahan malu. Tidak sanggup rasanya untuk dia berlama di situ. Sebelum telinganya berasap mendengar sindiran teman yang lain, lebih baik dia angkat kaki. Tambahan pula, melihat aksi Fara yang sedang bergelak sambil menekan perutnya. Lawak sangatlah tu.

 “Zaki ni pun satu. Masai nilah dia nak brek mengejut. Kalau tak, sah-sah aku tak jatuh tadi. Sakitnya hati aku dengan perangai Zaki yang tak semenggah tu.” Dayana meneruskan rungutannya. Geramnya dia. Lebih menyakitkan hati, apabila melihat Zaki juga turut seronok menggelakkannya. Sengal sungguh mamat itu.


Dayana mengelap peluh yang mula terbit di dahinya. Hampir kematu punggungnya menunggu. Kini, telah hampir sepuluh minit berlalu. Dari dia berdiri hinggalah melabuhkan duduk di kerusi batu yang ada di situ namun masih lagi tidak kelihatan bayang Azreena. 

 “Manalah Azreena ni pergi?” Rungut Dayana yang sedang menunggu sahabat bertuahnya. 

“Aku tinggal juga minah ni karang.” Rungutnya lagi. 

Tudung putih yang dipakainya, dikibas-kibaskan. Hampir melekit tubuhnya kini dek peluh yang terbit. Keadaan itu menjadikan dia kurang selesa. Hatinya sudah mula kepanasan seiring dengan cuaca yang sedang panas terik itu. Benar-benar penantian itu satu penyeksaan. 

“Tapi berani ke aku nak marah Azreena? Dahlah boleh tahan juga mulut minah tu.” Sambungnya lagi. Dia tersengih sendirian bila memikirkan semua itu. 

“Awak betul-betul okey ke Dayana?” Sapa satu suara. 

Tegak tubuh Dayana kerana terkejut seperti terkena renjatan arus elektrik pula jadinya dia. Dia menoleh ke arah tuan empunya suara. Tersentak dia sebaik menoleh. Rupa-rupanya, Fahim. Wajahnya kembali terasa panas. Peristiwa sebentar tadi mula bermain di kotak fikirannya.

 “Err... saya okey.” Jawabnya sedikit gugup. Dari jauh dia nampak kelibat Zaki sedang tersenyum kepadanya. Dia mengalihkan pandangan sambil menjulingakan mata ke atas. Senyuman Zaki agak menjengkelkannya. Dayana menggigit bibir bawahnya.

“Comel..” desis hati Fahim sambil tersenyum. Matanya masih lagi merenung gadis di hadapan tanpa menyedari akibat dari tenungannya itu.

Dayana menundukkan wajah. Malu kerana ditenung sebegitu. Kalaulah dia ada kuasa magik, sudah lama dighaibkan dirinya. Pandangan lelaki itu membuatkannya tidak tentu arah sekarang. Debar di dadanya sudah kian rancak.

 “Yana, lain kali kalau berjalan pandang ke depan bukannya bawah. Nasib baik awak langgar belakang saya yang berlapikkan beg mahal ni tau. Kalau awak langgar dinding tadi, tak ke benjol dahi awak tu?” kata Zaki sebaik tiba di pondok di mana Dayana dan Fahim berdiri. Dia tergelak kecil, menyudahkan tawanya yang masih bersisa. Hampir senak perutnya ketawa hari ini. Ternyata ‘lawak’ gadis yang sangat pendiam dari dahulu hingga sekarang, menjadi.

Terasa seperti berhaba dan meningkat kepada berbahang wajah Dayana apabila ditegur oleh Zaki. Siap perli lagi. Kalau ada termometer, mahunya pecah benda alah itu kerana tidak dapat menahan sukatan haba yang terhasil darinya. 

“Maaflah Zaki, saya tak perasankan awak tadi.” Balas Dayana ringkas. Acuh tidak acuh sahaja. Sikit pun dia tidak memandang ke arah Zaki. Mana dia nak sorokkan muka, takkan dalam beg sekolahnya pula. Dia cuba berlagak selamba. Cuba menahan getar di dada yang kian menyesak. Dia bukanlah berada di zon yang selesa sekarang dengan kehadiran dua mamat itu. Entah mengapa hari ini, boleh terlebih ramah-tamah pula dua jejaka itu?

‘Manalah kawan aku ni. Lambat lagi ke kau Azreena?’ Dayana merungut lagi. Kali ini rungutannya mengenai Azreena pula. Matanya melirik ke arah dua jejaka di sisi kirinya namun dengan pantas dia melarikan lirikan itu. Hingga kini, dia tidak punyai kekuatan untuk bertentang mata dengan mereka berdua. 

Walaupun dia mengenali Zaki sejak dari darjah enam lagi, sangat jarang dia bercakap dengan lelaki itu apatah lagi dengan rakan lelaki yang lain. Rasanya, boleh dibilang dengan jari sekiranya ada perbualan antara mereka. Bukan dia tidak pernah mencuba untuk menjadi peramah. Seperti ada sesuatu yang menghalangnya untuk jadi begitu. Dayana merasakan seperti dirinya tidak layak untuk bercakap dengan kaum lelaki kerana sedar perwatakannya yang tidak menarik. Disebabkan itu jugalah yang membuatkannya sering merasa tidak yakin dengan diri sendiri. Selama beberapa tahun mengenali Zaki, rasanya itulah dialog yang paling panjang pernah diucapkan oleh jejaka itu kepadanya. 

‘Zaki ni pun satu. Tak payahlah nak perli-perli aku. Eh, teremosional pula aku ni.’ Getus Dayana lagi. Sempat lagi menyambung ketidakpuasan hatinya terhadap Zaki. Sekilas dia menjeling lagi ke arah Fahim. Dayana nampak jejaka itu senyum. 

‘Ni sorang lagi. Tak habis-habis, asyik senyum je. Ada sawan senyum ke Fahim ni? Mana kau Azreena? Cepatlah, aku dah lemas ada kat sini!’ Jerit hati kecilnya. Meronta-ronta, terasa mahu saja dia lari dari kepungan debaran perasaan yang tidak pernah dirasakan sebelum ini. 

“Maaf aku lambat Yana. Eh, kau Zaki, Fahim. Apa pasal korang ada kat sini? Nak menyakat Yana ya?” ujar Azreena sambil keningnya ditautkan. Atas bawah dia melihat dua jejaka yang sedang menyengih itu. Pelik pula dia rasakan dengan kehadiran dua makhluk itu yang ada sama dengan sahabatnya, Yana. 

“Amboi, salam bagi pun tidak, main serbu je kau Azreena. Jomlah Fahim. Malas aku nak layan Azreena ni. Karang, tak pasal-pasal disemburnya kita lagi. Jom blah…” ajak Zaki sambil menarik lengan Fahim. Mereka terus berlalu meninggalkan Dayana dan Azreena. Terbantut hasrat Zaki mahu mengusik Dayana. 

Sempat lagi Fahim memandang Dayana lalu tersengih dan mengenyitkan mata pada gadis itu. Terpana seketika Dayana dengan tindakan Fahim itu. Dengan berbekal sedikit keberanian, dia membalas senyuman Fahim.

Yes...” kata Fahim dalam hati. Berbunga rasa hatinya apabila gadis yang dipuja dalam diam memberi respon sebegitu.

‘Biar betul Fahim ni atau aku yang sedang bermimpi di siang hari?’ bisik Dayana kemudian tertunduk malu. Dia berdoa, moga Azreena tidak perasan akan kejadian tadi.

“Hah, jomlah lekas. Yang kau tercegat kat situ lagi kenapa?” tegur Azreena. Dia sebenarnya menyedari insiden tadi, cuba berlakon berpura-pura tidak tahu. Dia mahu menjaga air muka Dayana kerana dia kenal sangat dengan perangai temannya yang pemalu itu.

Ekeleh, dahlah aku tunggu dia berejam. Boleh pula aku yang dia marah. Hesy, sabar jelah aku dengan kawan baik yang sorang ni.” Gerutunya dengan suara yang perlahan. Berani cakap kuat-kuat? Nak kena laser dengan Azreena?



No comments: