Friday 17 May 2013

Bab 1



BAB 1

Beberapa tahun dahulu....

Jam di dinding menunjukkan pukul 6.45 pagi. Sebentar lagi, pasti rakan-rakannya akan sampai dan berkumpul di halaman rumah sebelum mereka pergi ke sekolah bersama-sama. Rutin mereka setiap hari, apabila musim persekolahan tiba. Kelihatan, kakak kembarnya Lily Hasliana turut merapikan tudung. Ramai di kalangan rakan di sekolah mereka tidak tahu bahawa dia mempunyai pasangan kembar kerana mereka adalah kembar tak seiras. Kebetulan juga, mereka tidak pernah sekelas.

Lily Dayana duduk di kerusi yang terletak di laman rumah. Tangannya sibuk menyarungkan sarung kaki sambil menunggu kedatangan rakan-rakan yang lain. Itulah sahabat-sahabat yang akrab dengannya sejak dari sekolah rendah lagi. Tanpa berlengah, dia bingkas bangun. Menepuk lembut baju kurungnya yang sedikit renyuk itu. Dayana merapati tubuh tua emaknya yang sedang duduk di ambang pintu rumah mereka.
“Mak, adik pegi dulu ya,” Dayana membongkok tubuh, tangan emak dikucup.
Itulah Zakiah, seorang ibu tunggal yang terpaksa bekerja keras mencari duit lebih dengan mengambil upah menjahit bagi menampung perbelanjaan mereka sekeluarga setelah kematian suaminya. Walaupun arwah suaminya merupakan pesara kerajaan, wang pencennya itu tidak cukup untuk menampung kehidupan mereka anak beranak kerana kos hidup di bandar Johor Bahru itu teramatlah tinggi.
Hamid, meninggal sewaktu usia anak-anaknya baru mencecah lima tahun. Zakiah adalah segala-galanya untuk mereka. Selama beberapa tahun itu, dialah ayah dan ibu kepada mereka berdua. Suaminya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya hampir sepuluh tahun yang lalu. Kini, kedua kembar itu sudah pun berusia 15 tahun. Sekejap sahaja dirasakan masa berlalu oleh Zakiah dan kedua kembar itu juga adalah antara calon yang akan menduduki peperiksaan PMR tahun ini.
“Ya Allah, ampukanlah segala dosa ibu bapaku. Berkati dan kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihi aku. Semoga roh bapaku dicucuri oleh rahmat-Mu.” Itulah doa Dayana saban hari.
“Manalah pula bas ni. Dahlah hari ni hari pertama sekolah. Masa ni lah nak buat hal,” rungutan Farhana itu membuatkan mereka yang lain kian resah. Tidak sepatutnya mereka kelewatan pada hari pertama sekolah dibuka setelah hampir sebulan lebih mereka bercuti.
Selang beberapa minit kemudian, kelihatan bas bernombor 56 yang amat dinantikan oleh mereka. Apa lagi, setelah bas tersebut berhenti, cepat-cepat mereka menaikinya. Tapi ingat, beratur dahulu. Ini adalah pesanan yang tidak berbayar tau.
Masa masih berbaki lima minit lagi sebelum loceng menandakan bermulanya waktu sekolah berbunyi. Enam sahabat itu melangkah menuju ke tapak perhimpunan, berkumpul dan bertanya khabar sesama sendiri. Maklumlah hari pertama. Becok mulut masing-masing, menceritakan kenangan cuti sekolah masing-masing.
Kebetulan pula Dayana, Farhana, Hafiza dan Syakila berada di dalam kelas yang sama, kelas 3 Alim. Pastilah lebih meriah kelas mereka tahun ini. Hanya Aisyah dan Azreena berada di dalam kelas 3 Arif. Sama seperti tahun lepas juga, Dayana duduk bersebelahan dengan Sofia. Mereka berdua telah sepakat memilih tempat di bahagian belakang sekali
Ish, apa pasal mamat ni boleh duduk di meja sebelah pula?’ Dayana merungut di dalam hati. Sempat lagi dia mengerling ke arah meja di sebelah kanannya itu.
Eh, eh kau ni Yana. Kelas ni bukan hak milik kau. Jadi, kenapa kau nak sibuk sangat dengan mamat yang kat sebelah tu? Suara siapakah itu? Suara siapa lagi kalau bukan suara hati aku,’ Dayana hanya ketawa dalam hati. Jika terhambur gelaknya tadi bimbang pula disedari oleh Sofia nanti. Tak pasal-pasal dia akan ‘dicop’ gila pula.
‘Macam manalah dia boleh sama kelas dengan aku kali ni?  Sudahlah tu, Farhana pun sekelas dengan aku juga. Dari tadi dia dah pandang aku semacam aje. Janganlah ada apa-apa rancangan bernas Farhana nak kenakan aku lagi lepas ni,’ bisik hati kecil Dayana lagi.
Tidak terjangkau oleh akal fikirannya yang biasa itu tentang apa rancangan Farhana kelak. Bila difikirkan kembali, jika tiada Farhana bersama mereka boleh mati kutu agaknya mereka berlima kerana dilanda angin bosan. Farhana orangnya sangat periang. Mereka semua senang berkawan dengannya. Dia seorang yang gemar mengusik, membangkitkan suasana suram dengan telatah riang. Sukar hendak mencari orang seriang Farhana. Kadang-kadang terfikir juga oleh mereka, Farhana tidak pernah ada masalahkah di dalam hidupnya?
Zaki Irshad. Ya, mamat itulah yang digosipkan dengan Dayana semasa di darjah enam dulu. Pemukul canangnya siapa lagi kalau bukan Farhana. Riuh rendah satu sekolah masa tu hingga malu Dayana dibuat. Dia sedar akan kekurangan diri. Mana tidaknya, Zaki jejaka idaman Malayalah katakan. Dayana pula hanyalah seorang budak perempuan yang selekeh, kulit pun hitam. Manalah padan. Bak kata kembarnya Liana, macam Dayang Senandung.
Antara mereka berdua hanya Dayana yang berkulit gelap. Dia lebih banyak mewarisi warna kulit sebelah bapanya yang berkulit gelap. Seringkali dia bagai mahu menangis sahaja apabila terkenangkan sindiran kembarnya itu. Biasalah, walau besar mana pun perkelahian antara mereka, hubungan persaudaraan masih utuh. Ibarat kata pepatah, carik-carik bulu ayam lama-lama bercantum jua.
Tiba-tiba kedengaran satu suara dari belakangnya. Tersentak dan mujur baik tidak melatah Dayana dibuatnya. ‘Kuss semangat,’ katanya.  
Sempat lagi dia mengurut perlahan dadanya. Dayana mengerling pada jejaka yang kini sudah berdiri di sebelah kirinya. Erk alamak! Bulat mata Dayana sebaik melihat siapakah gerangan jejaka itu dan dengan pantas dia mengalihkan semula pandangan. Dia mula menjadi tidak keruan cuba berlagak biasa. Siapa yang tidak terkejut! Kali pertama dia disapa oleh pelajar lelaki yang diintai dalam rahsia selama ini. Kali pertama! Jantungnya berdebar dengan hebat sekali. Dirasakan bagai di alam mimpi pula.
‘Biar betul dia sekelas dengan aku tahun ni? Hai, kelas tak mula lagi dah nak pakai pembaris? Agak musykil aku dengan mamat ni. Untuk apa ya pembaris tu?’ Dia berteka-teki dalam hati. Keningnya kelihatan bertaut.
“Boleh ke tak Dayana?” soal pelajar lelaki itu sekali lagi. Soalan itu walaupun lembut nadanya, mampu memecahkan lamunan seketika Dayana tadi.
 Hah? Pem..pembaris. Sekejap ya,” Dayana sedikit gagap kerana rasa terkejut yang masih bersisa. Dia pantas memusingkan badan. Laju tangan memunggah beg sekolah yang disangkut di kerusi. Dayana kemudian menghulurkan pembaris. Tanpa disangka pula, jejaka itu menghadiahkan sebuah senyuman yang manis padanya. Terpana seketika Dayana. Dia merasakan jantungnya bagai mahu terkeluar dek debaran yang sangat laju. Hampir-hampir sahaja mulutnya terlopong tadi.
Mata Dayana mengikut arah pelajar lelaki itu berlalu. Barulah Dayana tahu, rupa-rupanya dialah pengisi kerusi kosong di sebelah Zaki. Tiba-tiba, dua jejaka itu secara serentak memandang ke arahnya yang sedari tadi merenung mereka.
 ‘Alamak!’ Getus Dayana. Terus sahaja dia memalingkan wajah menghadap papan hitam di hadapan. Cuba berlagak tenang sedangkan dalam hati, gelabah yang amat.
“Assalamua’laikum dan selamat sejahtera semua,” ucap satu suara dan mereka semua bingkas bangun menjawab salam guru yang baru sahaja melangkah masuk ke dalam kelas mereka.
 “Kamu semua boleh duduk. Saya, Cikgu Saparman yang akan mengajar matapelajaran Bahasa Melayu dan merangkap guru kelas kamu. Baiklah, memandangkan ini hari pertama kita di sekolah jadi saya tak nak buang masa lagi. Sekarang saya nak melantik ketua kelas. Sesiapa yang ada cadangan sila kemukakan sekarang,” sambung Cikgu Saparman. 
Ketua kelas? Ramai juga yang bangun memberi cadangan. Antara nama yang tersenarai ialah Zaki, Baharin dan Razif. Setelah undian dibuat, mereka telah sebulat suara memilih Zaki Irshad menjadi ketua kelas. Dia lantas bangun dari kerusi dan menundukan kepalanya membuat gaya ala-ala menang anugerah. Dayana yang melihat ragam Zaki, mencebikkan mulutnya.
Eleh, bajet bagus pula mamat ni. Tu baru jadi ketua kelas kalau ketua pengawas, tak tahulah aku macam mana?” rungutnya perlahan. Mulalah ayat dengki keluar dari lubuk hatinya. Dia perlu menepis perasaan negatif itu, mana boleh dilayankan sangat.
“Okey pelajar, sekarang kita akan memilih jawatan untuk penolong ketua kelas pula. Ada sesiapa yang nak kamu cadangkan?” soal Cikgu Saparman.
Kelihatan Farhana mengangkat tangannya, lalu dia berdiri. “Saya cadangkan Lily Dayana, cikgu,” matanya memandang ke arah gadis itu dengan senyuman sumbing terukir di bibir yang agak tebal.
Besar mata Dayana memandang ke arah Farhana yang sedang tersenyum, senyuman yang terkandung seribu makna itu. Tergamam Dayana.
“Tengok tu. Baru aje aku cakap tadi, dia dah mula. Macam nak kenakan aku lagi aje Farhana ni? Tak puas lagi ke dia menyakat aku dengan Zaki dulu? Ah, lantaklah. Nanti aku pujuk kawan-kawan jangan undi aku,” rungut Dayana perlahan. Terkumat-kamit mulutnya. Tersenget sana tersenget sini. Merungutlah apa lagi.
Sofia pula hanya tergelak kecil memerhatikan telatah Dayana di sebelahnya. Lucu barangkali. Sofia nampak betapa kelat muka Dayana sebaik Farhana mencadangkan nama sahabatnya itu. Kasihan Yana, nampaknya Farhana sudah ada rancangan untuk mengenakannya lagi.
Ketika undian terhadap Dayana dijalankan, rakan-rakan yang lain memandang ke arahnya. Beria-ia Dayana memberi isyarat dengan menggelengkan kepala untuk meraih perhatian mereka agar tidak mengundinya. Kemudian...
 “Baiklah kelas, nampaknya kamu semua telah sebulat suara memilih Lily Dayana sebagai penolong ketua kelas kamu tahun ini. Tahniah, Lily Dayana,” keputusan muktamad telah dibuat oleh Cikgu Saparman. Nampaknya terpaksalah Dayana akur sahaja.
‘Alahai, sabar ajelah aku dengan Farhana. Nasib baiklah kawan aku, kalau tak dah lama kena sembur dengan aku,’ rungutnya lagi dalam hati.
“Tahniah Dayana. Nampaknya awak dipilih jadi pembantu saya,” ucap suara yang  dimiliki oleh siapa lagi kalau bukan Zaki.
 Eh, sejak bila pula dia berdiri kat belakang aku ni?’ bisik Dayana. Dia menoleh, memandang pemuda itu dan terhala sekali ke arah dia yang turut sama berdiri di sebelah Zaki sambil tersenyum simpul.
‘Dia senyum lagi kat aku,’ desis hati Dayana.
Duduknya sudah tidak tentu arah. Lekas-lekas dia mengalihkan pandangan ke arah lain, langsung tidak membalas kata-kata Zaki. Bimbang jika dianggap perasan lebih pula nanti kalau asyik merenung lelaki-lelaki itu. Kelu lidah Dayana saat itu. Berdebar rasa di hati dengan pandangan jejaka itu. Pandangan yang menusuk ke kalbu, tertusuk tepat ke hati Dayana. Rasa gugup sudah bertebaran, memenuhi di segenap ruang tubuhnya.
Ish, dah kenapa dengan kau ni Yana? Semacam aje aku tengok. Kalau ya pun dia senyum kat kau, janganlah gelabah sangat. Bertenang,” tegur Sofia sebaik melihat Zaki beredar. Dari tadi dia memerhatikan tingkah laku Dayana yang tidak tentu arah itu. Hampir tergelak pula dia.
Dayana malu apabila ditegur sebegitu oleh Sofia. Lantas, dia membuka beg sekolahnya, mengeluarkan buku teks Bahasa Melayu. Berpura-pura membaca. Entah apa yang dibaca pun tidak tahulah? Terdengar ketawa halus dari Sofia. Dia menjelirkan sedikit lidah. Sofia pula menyambung tawa. Sudah macam perangai kanak-kanak ribena pula gelagat Dayana saat itu.
“Sofia, kalau iya pun janganlah gelakkan aku. Nampak dek Farhana nanti tak habis-habis aku kena sakat. Mana aku nak letak muka aku ni?” Dayana buat-buat menarik muka masam sambil memberi jelingan yang tajam ke arah sahabatnya itu. 
“Alah kau ni Yana, janganlah marah. Bawa bertenang. Aku seronok sebenarnya bila tengok muka kau yang suka gelabah tu,” seloroh Sofia dan kembali menyudahkan sisa tawanya.
 “Ya ke? Ceh hampeh betullah kau ni Sofia,” Dayana bergumam geram. Bahu Sofia ditampar. Perlahan saja pun. Sahabatnya itu mengaduh kecil. Gelak mengekek pula Sofia. Bertambah geram Dayana jadinya.
“Gelaklah puas-puas. Tak apa Sofia, hari ni hari aku,” katanya lagi dengan sedikit nada merajuk.
“Alahai, merajuklah pula kawan aku ni. Aku bukan apa, yang kau takut sangat dengan Farhana tu kenapa? Janganlah risau, aku kan ada. Apa yang berlaku nanti, aku akan pertahankan kau. Hehehe,” pujuk Sofia sambil menyengih.
Eleh, yalah tu,” menyenget mulut Dayana mengatakannya. Sekali lagi mulutnya dicebik.
Sofia menepuk lembut bahu temannya yang sedang mencebik itu. Sofia tergelak pun bukan kerana apa, sebulan lebih dia tidak bertemu dengan Dayana. Baru hari pertama di sekolah, Dayana sudah membuat lawak. Terhibur hatinya. Kebosanan yang melanda diri selama sebulan itu telah pun diubati dengan telatah rakannya. Dia sayangkan Dayana seperti saudara kandung. Sofia seorang anak tunggal. Sudah pastilah hidupnya bosan keseorangan.
“Alah kau ni Sofia, macamlah teruk sangat aku kena sakat dengan Farhana tu. Ni, bukan kat asrama tau, kena buli bagai. Dahlah, malas aku nak layan kau.”
Dayana meneruskan pembacaannya. Sedang Sofia hanya menjungkitkan bahu.