Monday 26 August 2013

Bab 25


BAB 25

Mak long nak minta maaf pada korang berdua. Banyak salah mak long pada mak ko. Mak long menyesal sangat-sangat.” Dayana dan Liana saling berpandangan. 

Mak long kini memeluk mereka seerat-eratnya. Berjujuran air matanya tumpah menuruni pipi. Hampir lemas mereka berdua jadinya.

“Mak long, janganlah macam ni. Mak long tak buat salah apa pun dengan kami.  Yang dah berlalu tu, biarkanlah. Tak salah kalau kita buka buku baru mak long. Janganlah bagi kami serba salah mak long.” balas Dayana. 

 “Mak long menyesal sangat dik, terlalu ikutkan hati sangat. Cemburu tak tentu pasal, sudahnya mak korang yang jadi mangsa. Sebagai ganti kepada semua yang telah mak long buat pada mak ko, mak long janji akan jaga korang berdua.” Bersungguh-sungguh Zaleha melafazkan kalimah itu.  

Sejarah lama mula tersingkap...

Pada mulanya, Bakri telah masuk meminang Zakiah kerana dia telah jatuh hati pandang pertama pada wanita itu. Tetapi oleh kerana Seman, ayah Zakiah sangat mementingkan adat, maka terpaksalah Bakri menikahi Zaleha. Masa tu, orang kampung mula mengata tentang Zaleha bahawa dia anak dara tidak laku. Mana tidaknya, sudah berumur dua puluh tahun pun masih membujang. Apa lagi, menyiraplah darah orang tua itu. Selepas Seman berjaya memujuk Bakri, dengan berat hati pemuda itu terpaksa bersetuju. Tambahan pula, pinangan Bakri hanya dipandang sepi oleh Zakiah. 

Bakri sebenarnya merasa agak tercabar dengan reaksi Zakiah yang hanya buat tidak tahu saja. Kerana itu, terus sahaja dia bersetuju dengan perkahwinan itu kononnya ingin menyakiti hati Zakiah. Zakiah tetap juga begitu malah gembira kerana kakaknya bakal menemui kebahagiaan yang selama ini dinanti oleh Zaleha. Semakin lama, ego Bakri tewas dan dia mulai belajar untuk menyintai Zaleha hingga berjaya memadamkan segala perasaan cintanya pada Zakiah tetapi tidak pada Zaleha.

Dia begitu mencemburui Zakiah. Padanya, selagi Zakiah tidak dikahwinkan, Bakri akan berpaling tadah. Zaleha jugalah yang merancang perkahwinan pertama Zakiah. Dialah yang telah mengusulkan calon lelaki kepada ayahnya sedangkan dia tahu bagaimana perangai bekas suami adiknya itu. Bukan dia tidak tahu bagaimana terseksanya Zakiah ketika hidup bersama Herman. Berpuluh tahun lamanya berlalu, baru sekarang Zaleha sedar khilafnya. Zaleha sudah tidak sanggup lagi. Saban malam tidurnya sering didatangi mimpi-mimpi yang aneh dan ngeri. Dia nampak bagaimana dirinya diazab dengan begitu teruk sekali hingga terbawa-bawa ke alam nyata. Sakitnya begitu dirasai setiap kali dia terjaga dari tidur. Zaleha nekad, dia mahu menebus kembali segala dosa-dosanya.




Setelah hampir seminggu bercuti,  hidup mereka berdua kembali diabadikan di rumah kebajikan itu. Penghuninya kian memenuhi ruang bilik ini. Bermacam-macam jenis kuih raya yang di bawa oleh mereka. Masing-masing riuh menceritakan suasana sambutan raya mereka. Terhibur juga hati Dayana dengan telatah mereka itu. Liana, dari awal lagi sudah hilang bersama Marlia. Adalah cerita mereka. Dayana mula menyibukan diri dengan menggosok pakaian seragam sekolahnya. Esok, bermulanya hari persekolahan mereka setelah bercuti selama seminggu. Rindu di hati mahu  menghadap telatah riang ria Rathi dan kembarnya Ramesh.

“Hai, Yana! Macam mana dengan sambutan raya kau?” laung suara itu. Tetapi lain pula jadinya,

Opocot kau hantu raya!” Rathi sudah gelak dengan kuat.

 Hesy, apa ni Rathi! Pantang keturunan aku tau kalau orang sergah-sergah aku. Kena hempuk karang baru tahu!” agak kuat nada suara Dayana. Agaknya, Rathi kelaparan nak kena penangan darinya. Dayana mengurut dada. 

“Gugur jantung aku ni, kau kutip.” Sambung Dayana lagi. Rathi kembali menyambung gelaknya.

“Ada ke pula macam tu? Maaflah Yana, aku lupalah yang kau ni minah latah. Ingatkan, lepas bertapa kat kampung kau tu, latah kau dah hilang. Rupanya lagi teruk. Yana, Yana,” seloroh Rathi. 

“Banyaklah kau punya bertapa. Rasanya bukan dengan bertapa kes latah aku ni akan selesai, silap-silap kena berkubang dalam kubang kerbau agaknya baru boleh hilang latah aku ni.” 

“Hahaha...” kedengaran suara orang gelak.

‘Eh, suara siapa yang ketawa deras gila tu?’ desis hati Dayana. Dia menoleh. Humangaih, mamat perasan macho tu rupanya. Sejak bila pula dia berdiri di belakang Dayana? Mengekek-ngekek dia dengan Ramesh tertawa. Muka Dayana sudah terasa panas, panas beb! Kecil sahaja dia melihat dua jejaka di hadapannya itu. Rathi hanya menjongketkan bahunya.

“Korang ni dah tak ada kerja lain ke selain kerja yang tak menyumbangkan faedah dengan menggelakan orang ni, hah!” marah Dayana. Memang dia sedang marah, hinggakan entah apa yang dituturkan olehnya pun dia tidak faham. Hehehe, sengih Dayana dalam hati.

“Eh, apa pula tak ada faedahnya kerja kami ni. Sekurang-kurangnya, awak dah bantu kami buat senaman muka pagi-pagi buta ni. Kan Ramesh?” Balas Ammar lalu menyambung semula gelaknya. Gembira hatinya kerana dapat menatap wajah gadis yang dirindui setelah hampir seminggu tidak bertemu. Tidak disangka pula di hari pertama, gadis yang dirinduinya itu telah  membuatkan dia ketawa besar pagi ini.

“Ah, apa-apa jelah. Jomlah Rathi, malas aku nak layan mamat-mamat ni.”  Rathi mengikuti Dayana yang menarik tangannya. Tetapi malang tidak berbau kerana tiba-tiba, Dayana terpelecok dan menyebabkan dia hampir-hampir sahaja jatuh terduduk.  

 Hesy, kau ni pun longkang, masa nilah kau nak muncul depan aku.” Marah Dayana. Longkang pula yang disalahkan.

Kebetulan pula, kejadian itu terjadi betul-betul di sebelah Ammar. Apa lagi, dengan lagak hero pantas dia memaut bahu Dayana lalu pandangan mereka bersatu. Mereka saling terkedu! Debaran di hati Dayana begitu rancak, lebih hebat dari kejadian dahulu bersama Fahim. Pandangan mata Ammar membuatkan dia merasa seperti dipukau hingga tidak mampu untuk bergerak. Dia kemudiannya tersentak apabila Rathi menepuk lembut bahunya. 

“Kenapa tadi kau tak cakap ada longkang kat depan aku ni Rathi. Tengok, tak pasal-pasal aku nak jatuh.” Marahnya. Bukan niat mahu memarahi Rathi, cuma mahu menutup kegugupannya dengan panahan mata Ammar yang benar-benar menusuk ke kalbunya. Dayana tersedar, tangan jejaka itu masih memegang bahunya. Dia berdehem. Ammar kelihatan tersentak. Mata Dayana diisyaratkan pada tangan Ammar yang masih di bahunya.

“Maaf Yana. Awak okey ke? Ada sakit kat mana-mana ke” Bertubi-tubi soalan Ammar yang agak cemas. Serta-merta dia melepaskan pautannya. 

Tanpa menjawab soalan Ammar, Dayana terus sahaja melangkah meninggalkannya. Terpinga-pinga Ammar dengan respon dari Yana. Niatnya hanya mahu menolong sahaja. Hatinya tidak tenang dengan situasi itu. Apa yang perlu dia lakukan sekarang? Perlukah dia melutut untuk meraih kemaafan dari Dayana? Tetapi apa pula kesalahan yang telah dia lakukan? Renungan tadi, benar-benar menyentap jiwanya hingga membuatkan dia nanar seketika. Tahap gila bayangnya terhadap Dayana semakin meningkat ke paras yang maksima.

“Kenapa kau blah macam tu je Yana? Kesian aku tengok muka dia tau! Cubalah jangan kejam sangat. Kalau tak kerana dia, rasanya kau dah jatuh tadi. Bukan nak ucap terima kasih pun kat dia. Aku tak tahulah apa kena dengan kau? Cuba jangan sombong sangat boleh tak? Tak ke mana pun dengan kesombongan kau tu. Ditakdirkan satu hari nanti kau jatuh hati kat dia tapi dia tak layan kau macam mana yang kau buat pada dia tadi, baru kau nak menyesal ke, hah!” Nampaknya, Rathi betul-betul marah pada Yana.
Rathi bengang dengan perangai Dayana. Kesian Ammar. Padanya, Dayana sudah melampau. Geram betul dia dengan perangai kawannya itu. Entah apa-apalah Dayana ni. Dia kenal sangat Ammar itu bagaimana orangnya. Mereka berkawan sejak dari sekolah rendah lagi.

“Habis tu, kau nak aku buat apa? Peluk dia balik ke?” ke situ pula Dayana merepek. Bercakap tanpa berfikir dahulu jadinya.

“Kau ada akal, gunalah Yana. Aku tak suruh pun kau buat sampai macam tu. Cukup sekadar kau ucap terima kasih, tu pun kau tak boleh buat ke?” Balas Rathi pula. 

Dayana hanya mendiamkan diri sahaja. Tidak kuasa bertekak dengan Rathi lagi. Biarlah Rathi nak kata apa pun. Ya, memang dia bersalah. Rathi yang tidak faham apa perasaannya namun tidak mahu menundingkan kesalahan terhadap Rathi. Kerana kejadian tadi, Dayana teringatkan seseorang. Seseorang yang masih setia menantinya hingga ke hari ini. Tetapi kejadian sebentar tadi, membuatkan perasaannya jadi keliru. Dayana tidak mahu memberi Ammar sebarang harapan. Biarlah dia berterusan menyakiti hati Ammar. Bukan dia tidak perasan, selama ini Ammar cuba menarik perhatiannya.   

“Saya minta maaf atas kejadian tadi. Saya tak sengaja, Dayana. Niat saya ikhlas mahu menolong awak tadi.” Ammar cuba meraih kemaafan dari gadis itu. Dia merenung wajah yang membuat hatinya tidak tenang.

 “Saya malas nak bincangkan hal tu lagi. Lupakan je. Anggap macam tak pernah berlaku.” Kejamnya jawapan dari Yana. Dia memalingkan wajah ke arah lain. Tidak mampu untuk menatap wajah Ammar, bimbang cair hatinya nanti. Dayana tahu Ammar kecil hati dengannya. 

Sepanjang hari di dalam kelas, diam sahaja Ammar. Biarlah. Walaupun hatinya meronta-ronta mahu bercakap dengan jejaka itu tetapi ego diri mengatasi segala-galanya. Dia juga sedar, Rathi dan Ramesh juga sedang melancarkan mogok, enggan bercakap dengannya. Soalan darinya hanya dijawab dengan anggukan atau gelengan kepala sahaja. Sehati sejiwa benar pasangan kembar seiras itu. 

            Waktu rehat yang membosankan Dayana. Kali pertama dia makan sorang-sorang. Tiba-tiba sahaja Rathi seperti mencipta alasan, mengelak dari rehat bersama. Ah, seksanya Dayana hari ini. Cepat dia masuk ke dalam kelas sedang pelajar lain masih berlegar-legar di luar sementara menanti loceng tanda tamatnya waktu rehat kedengaran. Dia melihat susuk tubuh Rathi mendekatinya.

 “Yana, nama kau terpilih untuk skesta tu.” Ujar Rathi. Bulat mata Dayana memandangnya.

 “Jangan tengok aku macam tu. Bukan aku, Cikgu Wahid yang masukkan nama kau.” Balas Rathi. Bukan dia tidak perasan bagaimana besar bulatan mata sahabatnya tadi.

‘Ni yang aku malas dengan Cikgu Wahid. Sesuka suki aje masukkan nama aku. Hesy, sabar sajalah aku dengan cikgu aku yang sorang tu. Nasib baiklah aku ni jenis yang menghormati guru.’ Rungutnya.

“Macam mana?” soal Rathi selepas kebisuan Dayana menjadi santapan matanya.

“Aku okey je.” Jawab Dayana. Dia menyambung lagi,

“Lepas ni, tamatkanlah mogok kau dengan aku. Pesan sekali pada kembar bertuah kau dengan kawan baik dia tu. Aku mengaku, aku salah. Aku minta maaf.”  Akhirnya, runtuh juga tembok keegoan dirinya. Ya, rasanya memang dia keterlaluan. Terlalu mengikut perasaannya yang entah apa-apa itu. Dia memandang wajah Rathi sambil ekor mata menjeling sedikit ke arah wajah Ammar yang duduk di hadapan meja gadis itu. Dayana seperti terlihat jejaka itu sedang menyembunyikan senyuman machonya. 

“Betul ke Yana. Sayang kau. Barulah ceria hidup aku lepas ni.” Balas Rathi dengan nada riang rianya. Kemas pelukannya terhadap Dayana.

Hesy, boleh mati lemaslah aku Rathi.” Gerutu Dayana. Rathi tersengih. Pelukannya terlerai.

 “Bila latihannya? Kau pun ada sama tak Rathi?” soal Dayana.

 “Tentulah aku ada sama kalau tak, tak meriah nanti. Balik karang, kita berkumpul kat dewan sekolah.” Dari nada suara Rathi pun Dayana sudah dapat mengagak, betapa terujanya dia dengan sketsa itu. 

 “Hmm, bunyi macam menarik,” kata Dayana perlahan. 

No comments: