Wednesday 22 May 2013

Bab 8



BAB 8

Perjalanan meloyakan selama hampir dua jam yang terpaksa Dayana tempuhi akhirnya tiba di penghujung juga. Kini, mereka tiga beranak kelihatan sedang berdiri di hadapan pintu sebuah rumah kampung yang amat mereka rindui. Sepanjang berjalan kaki masuk ke perkarangan rumah kampung itu, terasa tenang jiwa masing-masing apabila menghirup udara kampung yang segar. Rumah kampung yang mendamaikan jiwa. Hiruk-pikuk suasana kota benar-benar meletihkan mereka. Ketenangan yang ada di sini, tidak mampu untuk diungkapkan dengan kata-kata. Setiap kali musim cuti sekolah tiba, di sinilah mereka tiga beranak akan kembali. 

“Senyap sunyi je mak rumah ni. Ade ke atuk kat rumah?” tanya Dayana sebaik berdiri di hadapan pintu dapur rumah kampung itu. Panjang leher Dayana meninjau dari celah tingkap cuba mencari kelibat atuknya. 

“Mesti ada kat dalam tu. Cuba ko bagi salam.” Arah Zakiah pula. Dia sudah melabuhkan duduk di atas sebuah kerusi usang yang diletak di tepi dinding. Di situlah emaknya, Zainab akan duduk saban pagi dan petang. Menabur biji jagung sambil riuh mulut memanggil ayam belaannya.

“Assalamua’laikum. Atuk..oo atuk.” Panggil Dayana. Lehernya dipanjangkan lagi.

“Wa’laikumussalam. Kejap, datang ni.” Sahut satu suara dari dalam.

“Lah korang ke? Aku ingatkan siapalah tadi. Kejap, atuk buka pintu.” Balas Zainab yang menjeguk dari tingkap.

Dari celahan tingkap itu, Dayana nampak dengan jelas tubuh tua atuknya merapati pintu. Lambat-lambat dia mengatur langkah. Nampak benar keuzuran atuknya itu. Bersusah payah mahu membuka pintu dapur rumahnya. Apa yang Dayana tahu, sejak akhir-akhir ini, sering sahaja atuknya mengadu sakit di kaki. Ada masanya, atuk hanya mampu mengesot sahaja. Menurut doktor yang merawat atuk, semua itu adalah  akibat daripada kekurangan kalsium. Masalah yang sering dihadapi oleh wanita di Malaysia, kurangnya pengambilan kalsium. Di negara barat, susu adalah sumber protein utama dalam membekalkan kalsium pada tubuh. Eh, ada ceramah kesihatan pula. Dayana tersengih sendirian.

 “Mak sihat ke?” soal Zakiah melangkah masuk sebaik daun pintu itu terkuak luas. Dia meraih tangan tua itu lalu menciumnya. Tubuh tua itu diraih pula di dalam dakapan. Kanan dan kiri pipi yang sudah jelas kedutannya itu, dicium. Sebak sedikit hati Zakiah melihat keuzuran emaknya itu. Dipelawa tinggal dengannya di Johor Bahru, emaknya enggan. Lebih selesa tinggal di rumah kampung katanya.

“Alhamdulillah Yah. Mehlah masuk.” pelawa Zainab. 

Zakiah melangkah masuk sedang pasangan kembarnya pula masih berdiri tercegat di luar. Belum puas agaknya menikmati panorama menghijau di luar sana.

“Mana budak berdua tu?” soal Zainab apabila hanya susuk tubuh Zakiah sahaja yang dia nampak.

“Tu, kat luar.” Balas Zakiah sambil memuncungkan mulut.

“Apa pula yang diorang buat kat luar tu? Bukan reti nak masuk dulu.” Rungutnya. 

“Entah.” Balas Zakiah, mengangkat kedua bahu. 

“Ada Kak Leha datang jenguk mak?” soal Zakiah pula setelah sejenak sepi suasana. Membongkok sedikit tubuhnya untuk meletakkan beg yang sedang digalas ke lantai. Dia berjalan merapati tubuh tua emaknya dan melabuh duduk di kerusi kosong yang ada berdekatan emaknya. Terdengar emaknya mengeluh.

“Ada. Tapi tulah, kalau datang tak adanya nak tunggu lama-lama. Panas katanya kalau lama-lama kat rumah aku ni.” Hambar balasan dari Zainab. Malas mahu memikirkan tentang hal anak sulungnya itu. Banyak benar berubah sejak senang-lenang sekarang.

 “Tak apalah mak. Sekurang-kurangnya dia datang juga jenguk mak.” Balas Zakiah ringkas cuba memujuk hati tua emaknya itu. 

“Entahlah Yah. Tak tahulah aku kenapa sampai macam tu dia berubah sejak senang ni. Mak pun dah tak tau nak kata apa-apa lagi.” Keluh Zainab. Sudah malas dia mahu berbicara mengenai anak sulungnya itu. Tidak habis-habis mahu memberontak. Mujurlah anak-anak Zaleha tidak mewarisi perangai itu. Suka benar mengungkit perihal lama. Bab berkira duit ringgit tak payah nak diceritakan lagi. Kalau mahu berkecil hati rasanya dah hilang hati Zainab sekarang. Yalah kalau dah selalu sangat kecil.

“Sabarlah mak. Lama-lama nanti dia berubah juga.” Pujuk Zakiah lagi.

“Yalah tu Yah. Dekat dua puluh lima tahun dah benda tu berlalu, tak tahulah mak kena tunggu berapa puluh tahun lagi nak tengok dia berubah. Takut kalau aku mati nanti macam tu juga dia. Asyik nak menyalahkan orang lain. Tak faham aku dengan perangai kakak kau tu.” Lagi panjang keluhan Zainab.

“Dahlah mak. Tak payah fikirlah pasal Kak Leha tu. Yah masuk dululah, nak letak beg-beg ni.” Terus sahaja dia bangun, meninggalkan emaknya yang masih berdiri di muka pintu dapur itu. Bukan sengaja Zakiah mahu mengecilkan hati tua emak dengan soalan mengenai kakaknya itu. Dia pun bersalah juga. Baru sahaja sampai terus saja menanyakan tentang kakak sulungnya, Zaleha. Itulah, terlajak perahu boleh saja diundur, terlajak kata... pandai-pandailah.

 “Mari masuk, adik kakak. Apa yang korang tercegat kat luar sana tu?” soal Zainab setelah melihat kembar itu hanya tercongok sahaja di luar rumahnya. Mereka berdua menyengih, memandangnya.

“Lah, kan atuk dengan mak tengah sembang tadi kat pintu. Manalah elok kami yang muda ni dengar” balas Dayana. 

“Yalah tu. Ada je jawapan ko. Dah mari masuk...” tingkah Zainab. 

Mereka berdua lekas-lekas menapak masuk, meraih tangannya untuk disalam. Zainab meraih cucunya Liana ke dalam dakapan. Melepaskan rindu dendam yang beberapa bulan terpendam terhadap cucu kesayangannya itu.

‘Rindulah tu. Maklumlah dah lama tak berjumpa.’ bisik hati kecil Dayana. Pernah juga terbit rasa cemburu di hatinya mengenai kelebihan layanan atuk terhadap Liana. Namun dengan pantas dia menepis semua itu. Tidak mahu ia nya berlarutan, buruk padahnya kelak.




Abang Iman tak datang ke tok?” soal Liana ketika sedang membantu atuknya menhidang makanan untuk makan malam. Terpaksa juga dia meluahkan soalan itu. Liana memang sudah lama meminati abang sepupunya itu dalam diam.

“Ada, minggu lepas. Kenapa tanya? Rindu ke?” Zainab sengaja memasang serkap jarang. Bukan dia tidak tahu lagak orang yang menyukai seseorang.

“Ish atuk ni, akak tanya aje.” Wajahnya sudah mahu menampakkan rona-rona merah. Dia tertunduk malu tetapi mahu.

“Bila dia nak datang lagi atuk?” Liana meyoal semula setelah sepi seketika suasana.

“Hah, kan betul atuk kata. Ada orang tu tengah rindu. Entahlah kak, katanya dia ada periksa. Habis nanti dia datanglah sini. Atuk ada cakap yang korang nak balik.” Terang Zainab. Wajah cucu kesayangannya dipandang, kelihatan sedikit riak kehampaan di wajah itu. Zainab tersenyum.

“Hmm..” balas Liana. Walaupun sedikit hampa, tak mengapalah. Kesabaran perlu ditingkatkan, menanti kedatangan lelaki itu. 

Dayana yang sedang berdiri di sebelah, menyiku lengan kembarnya. Liana pantas berpaling.

“Sakitlah dik.” Liana mengaduh sambil tangan menggosok lengan yang menjadi mangsa Dayana itu.

“Alah kau kak, nanti abang sepupu kesayangan kau tu muncul. Kau jangan risaulah.” Sampuk Dayana yang dari tadi hanya memicingkan telinganya. Dalam hati Dayana pula mengatakan, ‘kalau abang sepupunya itu tidak muncul lagi bagus’. 

“Banyaklah kau. Sibuk je.” Sedikit marah nada Liana. Dijelingnya Dayana yang sedang menyegih itu.

Walaupun mereka pasangan kembar, dia dan Dayana tidak begitu rapat. Masing-masing selalu dengan hal sendiri sahaja. Dayana dengan rakan-rakannya manakala dia dengan halnya. Payah jika mahu melihat mereka berkongsi cerita sesama mereka. Dalam bab kerja rumah juga selalu sahaja mereka berdua bertelingkah. Ada sahaja yang tidak kena hingga kadangkala Zakiah terpaksa masuk campur. Kebanyakkan masa, Dayana yang sering mengalah tetapi ketegasan adik kembarnya itu kadangkala menggerunkan Liana. Jangan sesekali dibangkang apa yang telah diputuskan oleh Dayana kalau tidak mahu diceramah dengan pandang lebar. Emak mereka selalu mendengar apa yang dicadang oleh Dayana. Liana akui, peranan sebagai kakak banyak digalas oleh Dayana yang kelihatan sedikit matang darinya.

“Eh, eh ko ni dik. Menyibuk aje. Dah, pergi ambil nasi kat dapur tu. Panggil mak ko sekali. Jom kita makan.” Sampuk Zainab pula. Kurang berkenan dia dengan perangai cucu yang seorang itu. Suka benar menyampuk. Dia hanya melihat gadis itu berlalu. Tidak tahulah di mana silapnya, dari dulu lagi hubungannya dengan Dayana tidak begitu rapat. Zainab sendiri tidak tahu kenapa?


No comments: