PROLOG
Bunyi
hempasan ombak yang memukul di dada pantai itu langsung tidak menganggu tumpuan
Lily Dayana yang sedang berjalan mengharunginya. Satu demi satu langkahnya
diatur. Terpapar jelas di belakang, jejak kakinya di lantai pasir pantai itu. Berbekas,
berlekuk jejak yang ditinggalkan. Jika diamati jejak itu agak jauh juga dia
berjalan langsung dia tidak sedar. Sedang di dalam kepalanya begitu sarat, memikirkan
pelbagai perkara yang kian menyesak. Bertubi-tubi masalah yang menimpa hingga
hampir membuatkannya tenggelam punca. Tercari-cari rentak untuk meneruskan
kehidupan yang penuh dengan likunya.
Langkahnya terhenti dan kini dia sedang berdiri tegak, menghadap lautan
yang luas. Lautan luas yang terbentang di depan matanya itu, dipandang. Begitu
jauh renungannya, telus hingga tidak perlu menembusi apa-apa pun di hadapan.
Hembusan bayu lembut yang menyapa ke seluruh tubuhnya, sedikit menenangkan
jiwa. Dia memejamkan mata sebentar, menarik nafas yang dalam kemudian
menghembusnya. Ketenangan yang ada di sekitar cuba diresap ke dalam dirinya. Kini
kedua tangannya sedang bersilang, dia sedang memeluk tubuh.
Lily Dayana menghela nafasnya lagi. Kali ini, panjang benar helaan
nafasnya itu. Dia benar-benar kepenatan sekarang. Satu demi satu masalah
mengejarnya. Mengapa selalu sahaja semua kekusutan itu perlu membayangi
dirinya? Mengapa harus kedukaan sahaja yang mengejar? Kenapa, kenapa dan
kenapa? Tiada berjawapan. Dia benar-benar nanar. Hampir terumbang-ambing
seluruh hidupnya saat ini. Dirinya terus dibiarkan hanyut, tenggelam dalam arus
kenangan yang kian terkuak, satu demi satu. Hidupnya yang kini keseorangan
kembali cuba direnung. Kalau dahulunya dia digelar gadis yatim piatu kini dia sudah
mendapat gelaran baru pula. Seorang janda! Dalam usia yang muda seperti ini,
mengapa perlu gelaran itu yang disandangnya?
Impiannya untuk membina mahligai
bersama lelaki yang dia kasihi hingga ke Jannah, runtuh ketika sedang dalam
pembinaan. Tidak tahu yang mana satu tidak kukuh, ‘tiang serinyakah’ atau ‘konkrit
binaan’ itu? Mengapa harus dirinya sahaja yang diuji dengan nasib malang? Mengapa
begitu payah tuah mendekati walau hanya sekadar sebagai bayangan sahaja. Tidak
adakah sisa kebahagiaan yang tertinggal untuk dia kecapi? Lily Dayana
benar-benar dirundung pilu. Dia terus-terusan meratapi nasib dirinya itu.
Meratap dengan begitu hiba sekali nasib malang yang selalu sahaja melekat
padanya bagaikan pasangan kembar siam hinggakan sukar untuk dipisah.
“Arghh!” jeritan yang nyaring keluar
dari mulutnya. Lengkingan suaranya itu seolah memantul kembali, tepat
mengenainya. Terasa lututnya menjadi lembut dan kini Lily Dayana sudah duduk
melutut di gigi air pantai itu.
Suasana menjadi pengap seketika. Tiada
sesiapa di situ yang boleh memberikan reaksi terkejut. Hanya dirinya sahaja,
seolah-olah kini dia terdampar di sebuah pulau yang tidak berpenghuni. Alangkah
bagusnya jika terjadi begitu. Tidak perlu lagi untuk dia menghadapi sesiapa
yang boleh menggoreskan hatinya. Tidak perlu lagi untuknya berpenat lelah mahu
menjaga hati sesiapa. Dia benar-benar letih! Letih menjadi mangsa keadaan.
Letih menjadi insan yang terlalu lembut dan baik hati. Letih, mengorbankan
dirinya untuk kegembiraan orang lain. Tegas yang ada padanya kadangkala tidak
kena pada tempat. Selalu sahaja dia mengalah.
“Kenapa mesti aku!” jeritnya lagi.
Kedua tangan semakin galak memukul ombak yang kian rakus membadai dirinya.
Tetapi, cepat-cepat Lily Dayana
tersedar akan khilafnya yang secara terang-terangan menyalahkan takdir yang
telah tersurat untuknya. Sedangkan masih ramai yang lagi berat musibah menimpa
mereka. Mengapa perlu dia mengeluh? Mengapa perlu dia mempertikaikan semua ini?
Mengapa harus menyalahkan takdir sedang dirinya yang tidak tahu bersyukur?
“Astaghfirullahalazim.” Istighfarnya,
memohon keampunan. Dia meraup wajah. Sekali lagi nafasnya dihela dengan panjang.
“Mak, adik rindukan mak. Kalaulah
mak masih ada, adik tak jadi macam ni. Kenapa mak tinggalkan adik? Kenapa mak
tak bawak je adik pergi sama. Adik
dah tak larat nak hadapi dunia ni lagi. Semua orang bencikan adik. Tak tahu,
apa salah adik pada mereka semua? Adik keseorangan mak, benar-benar kesunyian.
Tak ada sesiapa yang sudi mendengar keluhan adik mak. Mak,” rintih Lily Dayana.
Berjuraian air matanya gugur, bercampur aduk dengan air laut.
Ombak pantai kian galak memukul
dirinya hanya dibiarkan sahaja. Lily Dayana menangis sepuas-puasnya di situ.
Sedikit-demi sedikit memori silamnya hadir. Ibarat sebuah wayang, tergambar
jelas di ruang ingatannya. Kenangan lalu mula mengusik jiwa dukanya. Terlalu
banyak pahit dari manis kenangannya itu. Dia mula terkenang kembali masa
lampaunya. Lily Dayana masih duduk berteleku di situ.
Kenangan
lalu mula tersingkap. Satu demi satu helaian singkapannya mula terselak.
3 comments:
X UPADTE BLOG KE.
akan di update....sibuk sikit...lgpun br kuar ward...saya akan update dlm masa terdekat ni
Get a $200 Bonus at Harrah's Casino in Las Vegas
The new Harrah's 토토 사이트 Casino herzamanindir.com/ is one aprcasino of septcasino.com the https://deccasino.com/review/merit-casino/ most well-known Las Vegas-style casino resorts. It features a full-service spa, a full-service spa and
Post a Comment